Kuala Lumpur, 25 Mac 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengambil maklum cadangan terkini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memperkenalkan tiga undang-undang baharu yang menangani salah laku dalam jawatan awam, pengawalseliaan kutipan dana awam serta pendanaan politik.
Cadangan ini berpotensi memperkukuh kerangka pencegahan rasuah Malaysia. Namun begitu, tanpa pelaksanaan yang jelas, perlindungan yang kukuh, dan penguatkuasaan yang konsisten, terdapat risiko bahawa penambahan undang-undang baharu hanya akan menambah kerumitan tanpa meningkatkan kebertanggungjawaban.
Pada masa ini, tiada draf perundangan yang didedahkan kepada umum. Hal ini mengehadkan keupayaan pihak berkepentingan untuk menilai skop, perlindungan serta implikasi potensi undang-undang yang dicadangkan secara bermakna. Oleh itu, ketelusan dan proses perundingan yang lebih luas adalah penting untuk memastikan sebarang kerangka baharu yang diperkenalkan adalah berkesan dan seimbang.
Malaysia sudah mempunyai kerangka perundangan yang meluas dalam menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Oleh itu, pengenalan undang-undang tambahan perlu melangkaui sekadar memperluas skop kawal selia, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan keselarasan institusi, konsistensi penguatkuasaan dan kepercayaan awam. Dalam bidang seperti pendanaan politik dan kutipan dana awam, di mana perundangan sama ada belum wujud atau masih terdapat jurang kawal selia, reformasi perlu dirangka dengan teliti bagi memastikan kejelasan dan keseimbangan.
Cadangan pengawalseliaan kutipan dana awam memerlukan perhatian khusus. Walaupun ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan sumbangan awam adalah penting, sebarang kerangka baharu mesti dirangka dengan teliti agar tidak membebankan organisasi masyarakat sivil secara tidak seimbang. Langkah kawal selia mestilah jelas, berkadar dan dilaksanakan secara konsisten bagi mengelakkan kekangan yang tidak disengajakan terhadap penyertaan sivik.
Perkembangan terkini juga menunjukkan kebimbangan daripada organisasi masyarakat sivil bahawa tindakan penguatkuasaan yang berkaitan dengan siasatan berprofil tinggi mungkin telah melangkaui skop asalnya. Ini menekankan keperluan kepada sempadan undang-undang yang jelas serta perlindungan yang kukuh. Keyakinan awam terhadap usaha pencegahan rasuah bukan sahaja bergantung kepada penguatkuasaan, tetapi juga kepada persepsi bahawa kuasa tersebut digunakan secara adil dan tidak melampaui batas.
Pada masa yang sama, IDEAS menegaskan bahawa reformasi pendanaan politik kekal sebagai keutamaan kritikal yang telah lama tertangguh. Pengukuhan ketelusan dalam pembiayaan politik adalah penting untuk menangani risiko rasuah sistemik dan wajar diberi keutamaan sebagai sebahagian daripada kerangka kebertanggungjawaban yang menyeluruh.
“Sebarang peluasan undang-undang pencegahan rasuah mesti disertai dengan perlindungan yang sama kukuh bagi memastikan kebertanggungjawaban dilaksanakan secara konsisten merentasi aktor politik, institusi awam dan juga aktor bukan negara. Keyakinan awam bukan sahaja bergantung kepada kewujudan undang-undang, tetapi juga kepada kebolehpercayaan, kebebasan dan keadilan institusi yang menguatkuasakannya. Tanpa keseimbangan ini, terdapat risiko nyata bahawa langkah baharu ini akan dilihat sebagai berat sebelah dan bercanggah dalam pelaksanaannya,” kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
IDEAS menegaskan bahawa reformasi kawal selia yang melibatkan masyarakat sivil, tadbir urus dan kewangan awam akan memberi kesan langsung kepada ekosistem dasar yang lebih luas di Malaysia. Pengukuhan pemantauan tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan persekitaran yang terbuka dan kondusif untuk penglibatan sivik.
Dalam sebarang proses yang melibatkan perundangan baharu, perundingan inklusif dengan pihak berkepentingan, termasuk organisasi masyarakat sivil, pengamal undang-undang dan pembuat dasar adalah amat penting. Orang awam tidak boleh dibiarkan dalam ketidaktahuan mengenai undang-undang yang akan memberi kesan kepada mereka, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my</p:

Global order stands on the brink