Ditulis oleh Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Tahun 2025 menyaksikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-15. Idea untuk menubuhkan IDEAS, sebuah badan pemikir berasaskan ideologi liberalisme klasik bercambah pada 2007 di kota London oleh tiga rakyat Malaysia yang menetap di sana ketika itu – Tunku Zain al-’Abidin Tuanku Muhriz, Wan Saiful Wan Jan dan Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad.
Perbincangan antara mereka akhirnya melahirkan IDEAS pada 2010 yang tertubuh hingga hari ini. Kisah di sebalik penubuhan IDEAS agak unik dan sedikit-sebanyak mencerminkan semangat zaman awal 2000-an tersebut. Pemerintahan Dr Mahathir Mohamad baru sahaja berakhir, dan era Allahyarham Pak Lah membuka ruang untuk aktivis dan organisasi masyarakat sivil tumbuh dengan subur. Antara gerakan penting yang bermula pada 2006 ialah Bersih. Penubuhan IDEAS juga hasil daripada penggunaan blog yang meluas untuk menggerakkan kerja aktivisme pada masa itu. Tunku Zain dan Wan Saiful bertukar-tukar pendapat tentang liberalisme klasik di blog masing-masing sebelum mereka berjumpa secara bersemuka.
Lima belas tahun bukan satu jangka masa pendek. Sebagai sebuah badan pemikir yang tidak mempunyai sumber pembiayaan tetap daripada mana-mana pihak, untuk berdiri dan terus tumbuh selama 15 tahun adalah pencapaian sangat membanggakan. Peranan penting semua kakitangan (yang sedang bekerja di IDEAS dan yang telah berhenti) dan ahli lembaga pengarah memastikan IDEAS kekal relevan dan berpengaruh. Penyelidikan IDEAS meliputi isu berkaitan pengukuhan demokrasi, ketelusan kewangan awam, ekonomi yang berdaya saing, keterangkuman dan kelestarian. IDEAS kini sinonim dengan diskusi dasar awam seperti pendanaan politik, ketelusan belanjawan dan pembaharuan institusi.
Kerja advokasi IDEAS juga mendapat perhatian ramai, contohnya seperti persidangan liberalisme yang dianjurkan setiap tahun dan dihadiri orang muda, mahasiswa dan aktivis pelbagai latar belakang. Usaha IDEAS untuk meluaskan pengaruh ke peringkat negeri juga membuahkan hasil, dengan jaringan seperti Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) dan Pantau Wang Kita yang semakin mendapat sambutan.
Lazimnya, sebuah badan pemikir seperti IDEAS beroperasi secara terasing daripada dunia aktivisme, atau istilah yang lebih luas, masyarakat sivil. Badan pemikir biasanya fokus kepada kerja penyelidikan dan libat urus bersama pembuat dasar, penjawat awam dan ahli politik. Tetapi IDEAS memiliki keistimewaan tersendiri kerana mempunyai reputasi baik dalam kalangan organisasi masyarakat sivil yang lebih cenderung kepada aktivisme dan aksi secara langsung. Kongres Progresif (Progres25) yang dianjurkan oleh Architects of Diversity baru-baru ini menjadi medan di mana kumpulan mahasiswa, aktivis hak asasi manusia, jaringan anak muda, ahli politik, bekas aktivis mahasiswa dan badan pemikir bergabung untuk membincangkan hal-hal berkaitan gerakan progresif di Malaysia.
Walaupun masih banyak persoalan tentang makna progresif yang tidak dapat diselesaikan, nilai tambah sebenar Progres25 ialah solidariti yang dibina apabila pelbagai gerakan dalam masyarakat berkumpul untuk saling memahami dan bertukar idea. Paling memuaskan buat saya ialah peluang untuk mengenali dengan lebih dekat kumpulan aktivis mahasiswa. Idealisme dan semangat mereka mengagumkan dan wajar dicontohi oleh semua.
Interaksi dengan aktivis mahasiswa juga membuka semula persoalan yang telah lama saya tinggalkan. Bagaimana perubahan besar dalam masyarakat dapat dicapai? Mengapa sesetengah aktivis memilih untuk menyertai politik kepartian, dan sesetengah lagi menjauhinya? Ada juga peserta Progres25 yang mengkritik gerakan masyarakat sivil yang dikatakan terlalu elit dan tidak membumi. Jawapan kepada ketiga-tiga persoalan tersebut saling berhubung kait antara satu sama lain. Kepada kritikan bahawa kebanyakan gerakan masyarakat sivil adalah elit, sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan elit? Adakah golongan bangsawan dianggap elit, golongan taikun jutawan dianggap elit, atau golongan berpendidikan tinggi dianggap elit?
Tidak wajar untuk semua golongan tersebut dianggap sebagai elit yang jauh daripada nadi masyarakat. Tidak ada satu pun manusia di dunia ini yang mampu menentukan siapa ibu bapa mereka, di mana mereka lahir dan keadaan sosioekonomi keluarga mereka ketika dilahirkan. Oleh sebab itu, mereka yang lahir daripada keluarga yang mempunyai keistimewaan (dari segi material mahupun kedudukan sosial) sepatutnya lebih bertanggungjawab untuk memikirkan perihal masyarakat.
Bagaimana pula dengan mereka yang bernasib baik dalam menerima peluang mendapatkan pendidikan, khususnya hingga menara gading? Wajarkah mereka juga dilabel elit (dengan konotasi negatif) yang kurang memahami keadaan masyarakat? Saya tegaskan tidak. Malah, mereka yang berpeluang memegang segulung ijazah sepatutnya berada di barisan paling hadapan dalam perlawanan menentang kezaliman dan penindasan. Perjuangan melawan penindasan memerlukan seseorang peka dengan keadaan masyarakat, menguasai penggunaan bahasa yang baik dalam percakapan mahupun penulisan dan kebolehan berhujah dengan meyakinkan. Lihat sahaja tokoh-tokoh sejarah dunia yang berjaya membawa perubahan besar dalam masyarakat – Sukarno, Mahatma Gandhi, Martin Luther King, Nelson Mandela, bahkan tokoh revolusi seperti Che Guevara dan Sun Yat Sen – mereka semua memiliki kemahiran berfikir tentang keadaan masyarakat dan kebolehan meyakinkan pengikut mereka untuk menentang penindasan. Kemahiran sebegitu bukan datang secara semula jadi semata-mata, tetapi dibentuk oleh pendidikan yang kritis. Orang yang berpendidikan mempunyai tanggungjawab besar kepada masyarakat. Jika ini golongan yang mahu dilabel elit – maka golongan elitlah yang memikul beban untuk menggerak perubahan dan menegakkan kebenaran.
Ulang tahun IDEAS dan penyertaan dalam Progres25 menjemput renungan mendalam buat diri saya. Mengemudi sebuah badan pemikir yang hidup dalam dua dunia – dunia cendekiawan, pembuat dasar dan penyelidikan, sekaligus dunia aktivisme, perlawanan dan gerakan sosial – adalah satu penghormatan besar. Hakikatnya, dua dunia ini berkongsi tujuan sama, membawa Malaysia ke arah lebih baik. Semoga IDEAS terus utuh dan tumbuh selama 15 tahun ke hadapan.
This article was featured in FreeMalaysiaToday online, 15 October 2025
Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian IDEAS Malaysia.