NACS 2024 – 2028 tetapkan arah yang positif, perlu usaha berterusan dan dwipartisan untuk capai matlamat

NACS 2024 – 2028 tetapkan arah yang positif, perlu usaha berterusan dan dwipartisan untuk capai matlamat

Kuala Lumpur, 9 Mei 2024: IDEAS mengalu-alukan pendekatan proaktif kerajaan Malaysia dalam memperkuat langkah antirasuah melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 (NACS) yang baru dilancarkan. Inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam memerangi rasuah dan mempromosikan ketelusan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi negara.

Usaha mencapai matlamat bercita-cita tinggi yang ditetapkan oleh NACS memerlukan keazaman politik dwipartisan yang kuat, usaha yang serius, sokongan daripada perkhidmatan awam, dan pendekatan yang berfokus. Adalah penting bagi semua parti politik untuk mengenepikan perbezaan dan bekerjasama sepenuh hati dalam agenda memerangi rasuah. Untuk mencapai tujuan ini, gangguan pada isu yang tidak berkaitan dengan usaha antirasuah, seperti yang berkaitan dengan kaum, agama, dan raja (3R), harus diminimumkan.

Apa yang lebih penting adalah membina semula kepercayaan dalam institusi untuk mengurangkan defisit kepercayaan antara rakyat dan kerajaan. Satu lagi keutamaan dalam NACS adalah melaksanakan Akta Pembiayaan Politik (PFA). Pelaksanaannya memerlukan keazaman politik yang serius daripada kepimpinan tertinggi, walaupun langkah telahpun diambil untuk memulakan proses ini. Amat penting untuk akta ini diluluskan sebelum pilihan raya seterusnya.

Sayang sekali pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak termasuk dalam NACS, memandangkan konflik kepentingan antara kedua-duanya merupakan salah satu halangan utama dalam memerangi rasuah. Walaupun IDEAS memahami bahawa kerajaan sedang menjalankan kajian mengenai perkara ini, masih tidak jelas sama ada garis masa sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini akan dipatuhi, kerana ia tidak termasuk dalam dokumen penting ini.

Ketua Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh, menyatakan, “Dalam empat tahun seterusnya ini, adalah penting bagi semua pihak berkepentingan untuk memberi keutamaan kepada NACS. Untuk melakukannya secara berkesan, kita tidak boleh terganggu oleh isu-isu perkauman dan keagamaan, dan semua usaha harus diberikan kepada pembinaan semula kepercayaan dalam institusi kita. SPRM mendapati bahawa Malaysia mengalami kerugian berjumlah RM277 bilion disebabkan oleh rasuah. Trend ini tidak boleh berterusan jika kita serius dalam membina Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik, dengan asas yang kukuh dan mekanisme yang mantap untuk memerangi rasuah dan pengurusan yang tidak berkesan. Pada akhirnya, pihak yang rugi sebenarnya ialah rakyat Malaysia apabila amalan rasuah tidak dihukum.”

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search