CSO kunci bagi menambah baik program bantuan makanan di Malaysia.

CSO kunci bagi menambah baik program bantuan makanan di Malaysia.

Ditulis oleh Alysia Yu Xuan, seorang pelatih penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)


Kesinambungan hidup ramai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, kini bergantung pada bantuan makanan. Suasana pasaran negara pada masa ini amat mencabar, ketika lebih ramai terpaksa diberhentikan kerja serta simpanan peribadi yang semakin berkurang setelah mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan selama lebih 17 bulan. Pengagihan bakul makanan kepada keluarga terkesan penting untuk menyakinkan rakyat bahawa bekalan makanan tidak terputus dan anak-anak tidak kelaparan.

Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan telah menyuntik dana untuk menggerakkan inisiatif-inisiatif bantuan makanan pada peringkat bidang kuasa masing-masing. Dalam pakej rangsangan ekonomi PEMULIH, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300ribu kepada semua ahli parlimen serta RM10juta kepada golongan Orang Asli bagi program bakul makanan. Menurut Kementerian Kewangan, 438,376 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan terkesan setakat minggu pertama bulan Julai 2021. Di peringkat negeri, Kerajaan Negeri Selangor dalam Pakej Kita Selangor 2.0 telah menambah peruntukkan berjumlah RM3.28juta untuk meneruskan usaha bantuan makanan di kesemua 56 kawasan dewan undangan negeri. Manakala di peringkat pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam masing-masing telah mewujudkan bank makanan dengan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan badan korporat.

Pelbagai cabaran dan halangan dihadapi bank makanan sepanjang operasi, daripada fasa perancangan hingga pelaksanaan. Terdapat tiga isu utama yang harus dibangkitkan berkaitan pelaksanaan bank makanan sedia ada, iaitu: kesesakan orang ramai, barangan yang dimasukkan dalam bakul makanan serta semakan silang penerima bantuan dalam pangkalan data.

Kaedah semasa bagi operasi kebanyakkan bank makanan mewajibkan penerima bantuan untuk hadir ke lokasi awam seperti dewan komuniti untuk mendapatkan bantuan makanan. Perkumpulan secara beramai-ramai di tempat-tempat awam sebegitu berisiko menjadi kluster penularan Covid-19, berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan. Sebelum ini, pihak media melaporkan kehadiran anggota polis di bank makanan yang dianjurkan oleh pejabat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang bertujuan untuk menghentikan pengedaran bantuan makanan kepada golongan terkesan berikutan kehadiran orang yang terlalu ramai.

Bantuan makanan, secara amnya, merangkumi barangan jenis makanan kering tidak mudah rosak dan tahan lama. Satu contoh yang baik adalah arahan dan senarai 13 barangan makanan yang disertakan bersama peruntukkan RM300ribu yang diamanahkan kepada Ahli-ahli Parlimen. Senarai tersebut mengandungi barangan makanan seperti beras, minyak masak, tepung, susu pekat, bihun, tin ikan sardin dan biskut. Sebanyak RM100 diperuntukkan bagi setiap bakul makanan- termasuk 13 barangan makanan, kos pengendalian kotak, percetakan serta logistik.

Walaupun barangan jenis makanan kering tidak mudah rosak dan tahan lama senang untuk diedarkan kepada penerima, namun terlepas keperluan setiap golongan rentan yang berbeza. Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming telah membangkitkan isu-isu iaitu Ahli Parlimen tidak diberi kebebasan dalam perancangan pelaksanaan bantuan makanan serta senarai barangan makanan yang kurang seimbang dari segi nutrisi, manakala Ahli Parlimen Subang Wong Chen mencadangkan supaya bantuan makanan diberikan dalam bentuk baucar supaya dapat menjimatkan kos logistik dan mematuhi SOP. Kebanyakan Ahli-ahli Parlimen menzahirkan permintaan agar kerajaan persekutuan mengemukakan arahan dan SOP agihan yang lebih fleksibel supaya program bantuan makanan dapat dilaksanakan dengan efisien mengikut demografi kawasan masing-masing.

Kewujudan bank makanan yang semakin banyak di seluruh negara telah menimbulkan kesukaran dalam mengesan dan membuat rujukan silang nama individu golongan rentan yang telah menerima bantuan makanan dan mereka yang belum pernah menerima bantuan kerana tiadanya perkongsian pangkalan data di antara entiti-entiti yang menyediakan bantuan makanan. Terdapat individu yang mengambil kesempatan ke atas kelompangan sistem sedia ada, tanpa memikirkan hakikat bahawa tindakan yang tidak bertanggungjawab itu telah merampas peluang mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Seorang pengendali bank makanan tempatan berkongsi bahawa terdapat pemohon bantuan makanan yang jujur dan memberitahu bahawa mereka telah menerima bantuan daripada entiti lain, namun terdapat juga segelintir individu yang tidak berterus terang dan menerima bantuan makanan daripada pelbagai pihak.

Inisiatif- inisiatif bantuan makanan yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak sempurna dan mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki. Mungkin ada baiknya jika kerajaan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil (CSO). CSO terdiri daripada komuniti-komuniti setempat, organisasi kumpulan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan agama yang menyumbangkan masa mereka dalam pelaksanaan kegiatan pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi. Tujuan pertubuhan masyarakat sivil sejak sebelum penularan wabak Covid-19 adalah untuk merapatkan jurang yang dihasilkan akibat dasar-dasar kerajaan dalam masyarakat. CSO melancarkan kempen kutipan dana sepanjang tahun untuk membiayai usaha mereka dan menggerakkan operasi apabila diperlukan oleh mana-mana lapisan masyarakat. Hal ini membuktikan bahawa CSO mengenali komuniti setempat dan mempunyai mekanisme sokongan serta rangkaian sukarelawan yang komprehensif.

Mereka meneruskan usaha untuk menggiatkan lagi kerja-kerja pembangunan masyarakat semasa pelaksanaan fasa-fasa PKP dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat rentan. Dengan sokongan dan peruntukan daripada kerajaan, pihak kerajaan dan CSO masing-masing dapat meningkatkan kapasiti dan berkongsi pangkalan data penerima bantuan untuk memastikan bantuan makanan disampaikan kepada golongan yang memerlukan. Walaupun tiada laporan berkaitan kemajuan kerjasama antara kerajaan PN dengan CSO dapat dijumpai, sebanyak RM25juta dan anggaran RM5.4 juta diperuntukkan kepada NGO bagi membantu golongan rentan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi, khususnya, PRIHATIN dan PENJANA.

Oleh itu, dalam menangani isu-isu berkaitan inisiatif bantuan makanan, kerajaan haruslah menggiatkan perbincangan bersama CSO untuk lebih memahami keperluan rakyat dan merangka dasar yang boleh membawa manfaat serta melindungi semua lapisan masyarakat. Dengan ini, penting untuk kerajaan mengiktiraf sumbangan CSO dan bekerjasama untuk mengemukakan penyelesaian yang praktikal serta strategi untuk mengangkat masyarakat rentan terhadap pelbagai krisis yang melanda negara ketika ini.

Share this post

Related Post

Search