IDEAS: Kembalikan Demokrasi Berparlimen dan Perbahasan Terhadap Pemansuhan Ordinan Darurat Dengan Segera

IDEAS: Kembalikan Demokrasi Berparlimen dan Perbahasan Terhadap Pemansuhan Ordinan Darurat Dengan Segera

Kuala Lumpur, 29 Julai 2021: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan untuk bertindak jujur dan telus dengan segera mengadakan perbahasan tentang pemansuhan Ordinan-ordinan Darurat di Parlimen. Perkara 150(3) mengatakan bahawa “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu,…”.

IDEAS mengambil maklum akan teguran tegas Yang di-Pertuan Agong terhadap pengumuman mengejutkan tentang pemansuhan Ordinan-ordinan Darurat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, di Parlimen pada Isnin 26 Julai 2021. Kenyataan Istana Negara menekankan YDPA telah bertitah bahawa Ordinan ini harus dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen ketika majlis menghadap secara maya bersama Menteri dan Peguam Negara pada 24 Julai 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, “Hal ini pertama kali berlaku dan ia membayangkan keparahan isu ini. YDPA dengan tegas bertitah bahawa tindakan kerajaan memansuhkan Ordinan ini dengan tergesa-gesa tanpa membentangkannya di Parlimen, berserta dengan pelbagai kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan, menunjukkan kegagalan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terdapat dalam Rukun Negara. Kami percaya pihak kerajaan perlu mempertimbangkan keseriusan isu ini berdasarkan perkembangan terbaharu.”

IDEAS melihat kenyataan rasmi baginda YDPA sebagai satu isyarat krisis perlembagaan, iaitu pihak kerajaan telah menggunakan kuasa eksekutif melampaui batasan perlembagaan. Selama tujuh bulan persidangan Parlimen digantung, terdapat defisit ketelusan dan pertanggungjawaban yang parah dalam proses membuat keputusan perundangan. 

Sejajar dengan kenyataan baginda YDPA, IDEAS menyeru pihak kerajaan untuk membahaskan pemansuhan Ordinan-ordinan Darurat seperti yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Undang-undang,  Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan. Proses ini akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap demokrasi Parlimen sebagai salah satu tonggak demokrasi.

Yeoh menyeru satu perhatian dan kepentingan serius diberikan kepada titah YDPA serta kekhuatiran baginda melalui kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini. Beliau menambah, “Kita tidak harus membenarkan kemerosotan demokrasi, dan Malaysia layak memperoleh lebih ketelusan dan pertanggungjawaban dalam menghadapi krisis Covid-19, ekonomi dan kini perlembagaan.”

— TAMAT —

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah, Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: zokhri@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search