Kuala Lumpur, 22 Jun 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah melancarkan Policy Ideas No. 72 bertajuk “Corruption in the Supply Chain: forms and impacts on consumers”, dengan kerjasama Coalition for Business Integrity (CBI). Kertas dasar ini meneliti kesan rasuah terhadap kos sara hidup kebanyakan pengguna di Malaysia melalui kewujudan tekanan ke atas peningkatan harga makanan dan perkhidmatan.
Kajian kedua belah pihak ini bertujuan untuk menjana kesedaran awam bahawa rasuah sistemik bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi sesebuah masyarakat. Ia turut memberi kesan negatif terhadap kehidupan seharian rakyat melalui inflasi kos sara hidup.
Kajian oleh IDEAS dan CBI memberi tumpuan kepada sektor pembinaan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan. Kajian mendapati walaupun pemberian sogokan merupakan bentuk rasuah yang paling meluas dalam sektor swasta dan awam, terdapat pelbagai lagi bentuk rasuah termasuklah pemerasan, penggelapan wang, penipuan, salah guna budi bicara, dan pilih kasih.
Kajian ini telah mengenal pasti tiga sebab utama rasuah di Malaysia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, “Hal ini termasuk penyalahgunaan ‘asimetri maklumat’ untuk keuntungan peribadi. Mudahnya, hal ini melibatkan penjawat awam yang menyalahgunakan kedudukan dan budi bicara mereka ke atas orang awam disebabkan kekurangan pengetahuan dan maklumat tentang peranan dan tanggungjawab penjawat awam tersebut. Rasuah juga sering berlaku sebagai tindak balas kepada birokrasi yang keterlaluan serta tidak diurus dengan baik. “Memudahkan urusan” ditafsirkan sebagai “minyak untuk melicin dan melancarkan urusan” pada setiap peringkat birokrasi yang ketat.
“Akhir sekali, rasuah juga berkembang kerana budaya, terutamanya apabila individu melihat perlakuan rasuah sebagai ‘tatacara operasi piawai (SOP)’ dalam menjalankan perniagaan di Malaysia.”
IDEAS juga mendapati bahawa kewujudan rasuah dalam rantaian bekalan Malaysia mempunyai kesan ekonomi yang ketara terhadap kebanyakan pengguna Malaysia. Kajian mendapati apabila pembekal barangan dan perkhidmatan terlibat dalam amalan rasuah, kos menjalankan perniagaan akan meningkat lalu kos tersebut akan ditanggung oleh pengguna akhir.
Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay mengulas bahawa pelbagai masalah yang dihadapi Malaysia adalah kerana kekurangan integriti dalam mengurus sumber oleh beberapa pihak yang memegang kuasa serta pengendali perniagaan. Manakala rakyat pula terpaksa menanggung bebannya.
Rasuah juga didapati telah mengganggu persaingan, menghalang pembangunan sektor swasta, meningkatkan halangan kemasukan, menjejaskan pelaksanaan perkhidmatan awam serta mengakibatkan perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap. Akhir sekali, perlakuan rasuah boleh menyumbang kepada inflasi harga barang yang lebih tinggi dan menyekat pendapatan, lalu menggalakkan lebih banyak rasuah dan membawa kepada satu kitaran yang tidak sihat.
Laporan ini menyimpulkan, dalam menangani rasuah di Malaysia pada skala sistemik, ia memerlukan dasar yang mampan dan merentasi semua segmen masyarakat. Antara saranan dasar yang dikemukakan oleh laporan ini termasuk:
- Mengekalkan momentum pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional;
- Mengutamakan pembaharuan perolehan awam, termasuk membangunkan Akta Perolehan Kerajaan berserta piawaian ketelusan dan mekanisme penilaian;
- Mempromosi pembaharuan yang lebih meluas untuk meningkatkan ketelusan, termasuk penggubalan rang undang-undang kebebasan maklumat;
- Mengukuhkan kuasa dan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
- Memperkasakan sektor swasta dalam pencegahan rasuah dengan cara menggalakkan pembangunan garis panduan yang khusus kepada industri, memberi contoh dalam beberapa sektor, dan melindungi pemberi maklumat dengan cara meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat;
- Memudahkan persekitaran pengawalseliaan agar dapat mengurangkan insentif terhadap rasuah, termasuk memperkasakan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menjalankan penilaian yang lebih agresif terhadap peraturan yang tidak perlu;
- Mempromosi pasaran yang lebih berdaya saing dan inovatif sebagai satu penyelesaian jangka panjang, untuk membantu mengurangkan insentif kepada rasuah dan menjadikan perlakuan rasuah lebih sukar dilakukan.
— TAMAT —
Muat turun Policy Ideas No. 72, “Corruption in the Supply Chain: forms and impacts on consumers” di sini.
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah Hubungan Luar, IDEAS
T: +603 2070 8881/8882 | E: zokhri@ideas.org.my
Global order stands on the brink