Kuala Lumpur, 23 April 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru kepada lebih ketelusan berkenaan keputusan terkini kerajaan meluluskan ordinan darurat membenarkan penggunaan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) berjumlah RM 17.4 bilion untuk perbelanjaan vaksin.
Wang berjumlah RM 5 bilion telah pun diperuntukkan untuk tujuan ini, iaitu sebanyak RM 3 bilion telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021 dan tambahan RM 2 bilion diumumkan pada bulan Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, “Ketika ditubuhkan pada tahun 1988, KWAN dibayangkan sebagai satu alat untuk pihak kerajaan menyimpan sebahagian daripada keuntungan berasaskan petroleum yang diraih demi generasi masa hadapan rakyat Malaysia. Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 serta kajian pihak kami sendiri, pengeluaran wang ini hanya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan atau sebagai pinjaman kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Ordinan ini merupakan satu tindakan luar biasa dan menetapkan duluan terhadap pengeluaran daripada Kumpulan Wang ini pada masa hadapan.”
“Pada dasarnya, KWAN merupakan satu-satunya dana berkaitan minyak di Malaysia. Mengambil kira kebergantungan negara ini terhadap hasil pendapatan minyak dan gas, tadbir urus dana ini merupakan satu perkara yang amat penting. Wang berjumlah RM 17.4 bilion ini telah dikumpulkan semenjak 33 tahun kewujudan KWAN, dan hasil simpanan ini perlu dianggap sebagai satu sumber berharga kepada generasi masa hadapan Malaysia yang hanya boleh digunakan dalam situasi kecemasan yang luar biasa. Semenjak tahun 1988, pengeluaran hanya pernah berlaku sekali sahaja menunjukkan tidak pernah ada keperluan untuk bergantung kepada dana ini sebelum ini. Sebaliknya, kerajaan mampu untuk membiayai apa-apa perbelanjaan tambahan menerusi pinjaman.”
Yeoh berkata, kerajaan perlu mendedahkan jumlah wang yang ingin dikeluarkan agar dapat memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, serta jumlah keseluruhan wang yang ada dalam dana tersebut.
“Pihak kerajaan juga perlu memberikan lebih perincian tentang penggunaan wang tersebut, kerana pakej rangsangan ekonomi telah memperuntukkan RM 2 bilion untuk perolehan vaksin, iaitu tampanan sebanyak RM 3 bilion untuk perbelanjaan berkaitan pemvaksinan yang lain termasuk pengagihan, komunikasi dan pemasaran agar dapat meningkatkan pendaftaran pemvaksinan. Penjelasan diperlukan tentang sebab lebih daripada RM 5 bilion diperlukan untuk aktiviti pemvaksinan,” katanya.
“Dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu mempertimbangkan pelaksanaan peraturan pengeluaran wang yang lebih khusus untuk KWAN, seperti menetapkan peratusan wang yang boleh dikeluarkan yang dipersetujui pada masa hadapan supaya dapat memastikan kestabilan belanjawan. Kami juga menanti untuk melihat sama ada Akta Tanggungjawab Fiskal yang sedang dirangka akan menetapkan undang-undang agar dapat memastikan tanggungjawab fiskal, termasuk pengawasan mana-mana perbelanjaan negara seperti yang diambil daripada KWAN atau belanjawan yang disatukan. Asasnya, pengawasan Parlimen sangat penting dan kami tekankan sekali lagi kepentingan Parlimen kembali bersidang dalam masa terdekat.
Yeoh menambah, “Dalam konteks kemampanan masa hadapan hasil pendapatan minyak dan gas Malaysia, rizab negara semakin susut manakala persekitaran tenaga dunia sedang berubah maka KWAN tidak boleh dilihat sebagai satu sumber kewangan tidak terhad untuk perbelanjaan akan datang pihak kerajaan. Hal ini akan dapat memastikan keterbukaan berkenaan tadbir urus wang berjumlah RM 17.4 bilion yang merupakan kunci kepada kesihatan fiskal masa hadapan negara.”
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di sini
Muat turun Policy IDEAS No. 19, “The New Face of KWAN: Proposals to Improve Malaysia’s Natural Resource Fund” di sini.
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Amir Ridzuan Jamaludin, Penolong Pengurus, Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E:amir@ideas.org.my