IDEAS Lancar Laporan mengenai Kawal Selia Pelaburan Negara ASEAN

IDEAS Lancar Laporan mengenai Kawal Selia Pelaburan Negara ASEAN

Kuala Lumpur, 21 Januari 2026: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini menerbitkan kertas kajian ringkas terbaharu mengenai rangka kerja pelaburan semasa ASEAN yang bertajuk Mempersiapkan Kawal Selia Pelaburan Masa Hadapan di Seluruh ASEAN. Laporan ini menganalisis pengaruh perkembangan geopolitik dan ekonomi terkini terhadap pendekatan rantau ini dalam kawal selia pelaburan bagi mengimbangi keselamatan dengan daya saing pelaburan.

Pertumbuhan bagi ekonomi ASEAN yang berprestasi lebih baik telah lama disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh yang memacu perindustrian, pemindahan teknologi, dan pertumbuhan diterajui eksport. Walau bagaimanapun, sejak tahun 2019, landskap pelaburan dunia telah berubah secara drastik, didorong oleh ketegangan geopolitik yang memuncak, gangguan rantaian bekalan, serta kepentingan strategik teknologi, data, dan infrastruktur kritikal yang semakin meningkat. Di sebalik cabaran dunia dan serantau ini, ASEAN kekal berdaya tahan, dengan aliran masuk FDI meningkat 8.5% pada tahun 2024 untuk mencecah US$226 bilion, sekali gus membuktikan daya tarikan berterusan blok tersebut kepada pelabur. Laporan ini menegaskan bahawa kelestarian keyakinan pelabur akan bergantung kepada usaha melaksanakan peraturan pelaburan yang jelas, prosedur yang telus, dan kapasiti tadbir urus yang kuat.

Walaupun negara-negara ASEAN masih mendambakan FDI untuk pembangunan ekonomi, di peringkat dunia, FDI semakin dilihat sebagai sumber potensi risiko kepada keselamatan negara, teknologi, dan iklim. Negara ekonomi termaju telah bertindak balas dengan memperluas mekanisme saringan pelaburan asing mereka untuk melindungi aset strategik sambil kekal terbuka kepada aliran masuk modal. Negara anggota ASEAN kini berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan daya saing dan aliran masuk modal sambil menguruskan risiko yang berkaitan dengan pemilikan asing, pendedahan sektor kritikal, dan pergantungan strategik.

“ASEAN kini di persimpangan jalan; rantau ini mesti terus menarik masuk pelaburan sambil melindungi kepentingan nasional, teknologi, dan objektif iklim. Keseimbangan ini akan menentukan daya saingnya untuk dekad-dekad mendatang,” kata Mohammad Jamil Hilmi A Ghani, penulis utama dan calon PhD di S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura.

Kertas kajian ini meneliti cara kerajaan negara anggota ASEAN bertindak balas terhadap cabaran ini dengan memperkemas rejim pelaburan terbuka mereka. Singapura, Vietnam, Filipina, dan Indonesia menggambarkan trend ini, menunjukkan bahawa akses pasaran boleh kekal luas seiring dengan perlindungan yang lebih kukuh bagi sektor yang berkaitan dengan keselamatan negara.

Laporan ini menonjolkan empat pendekatan berbeza dari seluruh rantau:

  • Singapura melaksanakan Akta Semakan Pelaburan Signifikan (2024), mewujudkan mekanisme saringan pelaburan paling menyeluruh di Asia Tenggara, dengan memusatkan kawal selia pelaburan sambil mengekalkan pendirian pro-pelaburan.
  • Vietnam memberi tumpuan kepada liberalisasi pasaran terpilih dan mengurangkan halangan pelaburan, sambil memperkenalkan dasar kawal selia pelaburan yang lebih besar untuk meminimumkan risiko, dengan menggunakan sistem “senarai negatif” bagi memudahkan semakan pelaburan.
  • Filipina meliberalisasikan pelaburan asing bagi industri dan sektor terpilih, menggubal dasar, serta menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Promosi Pelaburan Antara Agensi (IIPCC) untuk mempromosikan pelaburan asing.
  • Indonesia menstruktur semula rangka kerja saringan pelaburannya dengan menggantikan sistem senarai negatif kepada senarai positif, di samping memodenkan peraturan ke atas entiti asing untuk mengurangkan halangan kemasukan dan operasi. Namun, mereka juga memperkenalkan sekatan eksport untuk memacu penambahbaikan pelaburan hiliran.

“Pengalaman dalam ASEAN menunjukkan bahawa mempersiapkan pelaburan untuk masa hadapan datang daripada meningkatkan kejelasan kawal selia, bukannya keterlaluan dalam aspek keselamatan. Daya tahan ekonomi dan strategik datang daripada mengekalkan disiplin keterbukaan persaingan dan menjadi rakan kongsi yang boleh diramal kepada pelabur dunia,” kata Dr Stewart Nixon, Pengarah Penyelidikan di IDEAS.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web IDEAS untuk muat turun laporan penuh.

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my

Share this post

Related Post

Search