Publications > Media Statements

Tiga Cabaran Buku Harapan

Ditulis oleh Aira Azhari, Pengurus Penyelidikan IDEAS

Hampir tiga dekad telah berlalu semenjak Wawasan 2020, buah fikiran Tun Dr. Mahathir dilancarkan, rasa optimistik yang membawa ramai rakyat Malaysia mengharungi 1990-an dan awal 2000 hanya tinggal ironi. Tahun 2020 muncul sebagai satu kejutan besar kepada rakyat Malaysia yang setakat ini sudah menyaksikan satu pertukaran kerajaan melalui cara yang tidak demokratik dan satu wabak yang telah menyebabkan ekonomi dunia terhenti. Walaupun perebutan kuasa yang berlaku pada hujung Februari seolah-olah terpisah dari realiti, impak Covid-19 telah mendedahkan betapa kita, sebagai satu spesies, saling memerlukan – dari segi sosial dan ekonomi – satu sama lain. Sementara Perikatan Nasional (PN) tidak dapat memilih masa yang lebih buruk untuk menjadi kerajaan, walaupun agak janggal, Covid-19 juga memberikan alasan kepada PN untuk menggantung dan mengganggu norma-norma demokratik atas nama keselamatan awam. Sementara itu, rakyat Malaysia terus menderita kesan-kesan pengangguran, kehilangan pendapatan serta nyawa orang tersayang, semuanya menjadi lebih buruk akibat ketidakstabilan politik dan pergaduhan elit politik.

Rakyat biasa bukan sahaja keliru untuk memahami kemelut politik yang sedang berlaku ini, bahkan ia juga amat menyakitkan apabila melihat Pakatan Harapan (PH) bergelut untuk mengutip sisa-sisa pemerintahan selama 21 bulan yang masih ada. Buat pengkaji dasar, walaupun Buku Harapan tidak sempurna, ia memberi sekelumit harapan kepada wacana politik berorientasikan dasar berbanding wacana politik berorientasikan individu. Didorong oleh pelbagai janji yang ada di dalam Buku Harapan, IDEAS menerajui usaha-usaha masyarakat sivil dalam memastikan PH terus komited untuk memenuhi aspirasi mereka dengan cara memulakan Projek Pantau, satu projek bertujuan untuk memantau kemajuan PH dalam melaksanakan manifesto mereka. Keseluruhannya, kami menerbitkan 4 kad laporan, yang keempat dan terakhir dilancarkan pada 15 Mei 2020, seminggu selepas tarikh yang sepatutnya menjadi ulang tahun kedua pentadbiran PH. Bersempena dengan pelancaran itu, kami telah menganjurkan satu webinar untuk membincangkan prestasi keseluruhan PH dalam memenuhi janji-janji manifesto mereka. Dua orang pemimpin muda dari kedua-dua gabungan, iaitu YB Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR dan Shahril Hamdan dari UMNO, telah bercakap dalam webinar tersebut.

Satu tema menyeluruh yang sering muncul dalam perbincangan ialah cabaran mengimbangi antara memenuhi janji kepada rakyat dan menangani realiti mentadbir sebuah negara yang kompleks. Cabaran ini boleh dipecahkan kepada tiga isu utama, pertama; kegagalan pimpinan PH untuk benar benar menjadikan manifesto tersebut milik mereka, kedua; kegagalan untuk berkomunikasi mengenai perubahan kepada rakyat, dan terakhir; janji yang tidak realistik.

Akar kepada permasalahan Buku Harapan ini terdapat pada tahap komitmen yang berbeza untuk melaksanakannya dalam pakatan itu sendiri, diburukkan lagi dengan pengakuan Mahathir yang PH tidak menjangka akan memenangi PRU14 oleh itu, membuat janji-janji yang terlalu sukar untuk dipenuhi. Walaupun sebahagian pimpinan PH mengambil serius akan manifesto itu, komitmen Perdana Menteri terhadap manifesto kerajaannya sendiri amat penting bukan sahaja dalam memastikan pelaksanaannya, bahkan untuk membuktikan kepada rakyat, yang telah memberi undi kemenangan berdasarkan kepada janji manifesto, bahawa harapan mereka tidak sia-sia. Malangnya, PH telah mempersendakan manifesto seawal pemerintahan lagi, sekaligus telah menjejaskan usaha-usaha pemimpin lain yang serius dalam melaksanakan perubahan, dan menyebabkan rasa kurang senang kepada ramai rakyat Malaysia yang telah memberi undi kepada perubahan disebabkan cadangan-cadangan segar yang ditawarkan di dalam Buku Harapan.

Komunikasi merupakan satu cabaran berterusan yang dihadapi oleh pentadbiran PH. Disebabkan sudah terbiasa berada dalam kedudukan memberi tindak balas reaksioner akibat bertahun-tahun menjadi pembangkang, mereka tidak mampu mempelajari strategi komunikasi yang konsisten, rapi, dan pelbagai dimensi sewaktu menjadi kerajaan. Mereka bukan sahaja terperangkap bermain api dalam pelbagai kontroversi yang mencetuskan ketegangan agama dan perkauman, memberikan respons yang acuh tidak acuh dan tidak teratur kepada persoalan mengapa beberapa janji tidak dapat dipenuhi (seperti memansuhkan tol, memansuhkan undang-undang yang menindas). Mungkin penyelesaian kepada perkara ini ialah melantik seorang Pengarah Pelaksanaan Manifesto, seorang individu dalam PH yang bertanggungjawab memantau kemajuan dan pelaksanaan Buku Harapan. Sebaliknya, usaha ini hanya diharapkan kepada organisasi-organisasi masyarakat sivil semata-mata, sedangkan pengetahuan mereka cuma terhad kepada maklumat yang tersedia untuk umum, yang sering kali tidak mencukupi.

Satu lagi isu berkenaan Buku Harapan ialah beberapa janji yang tidak realistik, terutamanya yang berkaitan perihal sosio-ekonomi. Kos sara hidup merupakan kerisauan terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia ketika PH sedang berkempen, dan secara jelas menjadi isu utama dalam Buku Harapan. Ketika janji-janji seperti penghapusan GST, pemansuhan tol, pembinaan sejuta buah rumah mampu milik, peningkatan gaji minimum, dan penangguhan pembayaran pinjaman pelajar merupakan umpan yang berkesan untuk mendapatkan sokongan, kos yang tinggi untuk menunaikan janji-janji berikut telah menghambat PH apabila mereka mendapat kuasa pemerintahan. Ramai rakyat Malaysia tidak merasa peningkatan kesejahteraan hidup seperti yang dijanjikan kepada mereka sebelum PRU14, sebaliknya PH telah mengalami nasib malang yang berganda apabila tidak mampu mendanai ‘janji-janji kos sara hidup’ dan keengganan dalam menuntut perubahan institusi.

Webinar yang dianjurkan IDEAS telah berjaya mengenalpasti cabaran-cabaran yang telah disebutkan di atas, tetapi nilai sebenarnya ialah kemampuan kedua-dua panelis mengakui kesilapan-kesilapan yang dilakukan ketika PH memegang kuasa. Masih jauh lagi sebelum kita mampu menunjukkan budi pekerti dan rendah hati dalam berpolitik, tetapi ia merupakan satu permulaan yang menggalakkan jika sekurang-kurangnya ahli politik muda mempunyai kematangan untuk mengakui kesilapan yang dilakukan. Ketika mereka cuba memahami ‘norma baharu’ ini – dari segi politik dan wabak – PH haruslah merenung kembali prinsip dan kepimpinan mereka, supaya mereka mampu kembali menjadi mirip PH yang sebelum ini.


Rakaman webinar IDEAS “21 Bulan Kerajaan Pakatan Harapan Memerintah: Sebuah Harapan Atau Sekadar Mimpi” boleh ditonton di sini. Kad Laporan ke-4 Projek Pantau boleh dimuat turun di sini.

2020-06-02T12:42:40+08:00 2nd June 2020|Opinion|Comments Off on Tiga Cabaran Buku Harapan