Publications > Media Statements

Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 satu peluang untuk menilai hubungan antara kaum dengan lebih kritikal

Kuala Lumpur, 16 Februari 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memuji pelancaran dua dokumen penting oleh Kementerian Perpaduan Negara iaitu Dasar Perpaduan Negara dan juga Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 tetapi mengambil sikap berhati-hati terhadap kedua-dua dokumen ini jika kerajaan hanya bercakap kosong mengenai isu-isu yang mendasari hubungan antara kaum di Malaysia. Beberapa elemen positif dalam Rangka Tindakan merangkumi penekanan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta pengiktirafan kepada kepentingan satu sejarah bersama. Semua ini memberikan satu naratif yang lebih jelas dalam isu identiti negara dan pembentukan satu Bangsa Malaysia. Dokumen-dokumen ini tepat pada masanya disebabkan peningkatan polarisasi dan perpecahan yang melanda politik dan masyarakat di dalam Malaysia serta di luar negara.

Lebih penting, Rangka Tindakan ini memberikan satu peluang keemasan kepada Malaysia untuk menilai dan berbincang dengan lebih kritikal mengenai dasar-dasar berkaitan kaum seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB). “Tahun 2021 menandakan genap 50 tahun sejak DEB diperkenalkan dan semenjak itu belum ada satu penilaian kritikal terhadap dasar ini di peringkat nasional. Pengenalan Rangka Tindakan ini dapat menjadi satu permulaan yang baik untuk memulakan perbincangan ini. Malah, dokumen-dokumen ini dapat menyumbang ke arah menyelesaikan beberapa isu yang mendesak seperti situasi pelarian intelektual yang dihadapi oleh Malaysia dan juga ketidakseimbangan struktural dan ekonomi,” ulas Aira Azhari, Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus di IDEAS.

“Pelancaran Rangka Tindakan ini tiba pada waktu yang sesuai untuk IDEAS. Kami kini sedang mengetuai satu projek selama 2 tahun mengenai Perpaduan Nasional dan Keharmonian Antara Kaum, di mana kami telah menjalankan beberapa perbincangan kelompok sasaran dan sidang meja bulat di seluruh negara, bertujuan untuk lebih memahami pandangan rakyat Malaysia terhadap hubungan antara kaum. Kami akan memulakan kempen awam untuk projek ini tidak lama lagi dan mengalu-alukan sebarang keterlibatan dengan pihak kerajaan dalam isu penting ini,” tambah Aira.

Rangka Tindakan ini bagaimana pun turut menimbulkan beberapa kebimbangan. Kedua-dua Rangka Tindakan dan dokumen dasar hanya menyoroti kerangka kerja konsep dan tujuan keseluruhan secara umum, tetapi malangnya tidak memperincikan kepada pemegang taruhnya proses-proses operasi serta mekanisme-mekanisme berkaitan dalam merealisasikan tujuan tersebut. Apakah idea-idea baharu dan inovatif yang diperkenalkan oleh dokumen-dokumen baharu ini yang akan menghasilkan natijah yang berbeza? Kami berharap penglibatan yang lebih inklusif oleh pemimpin masyarakat sivil dapat diadakan dalam beberapa bulan yang akan datang di mana perinciannya akan diselesaikan,” ulas Aira.

Tambahan pula, menggunakan indeks semata-mata bukan satu penanda aras yang mencukupi dalam mengukur perpaduan negara. Pendekatan ke arah perpaduan perlu lebih menyeluruh dan perlu menunjukkan keberanian dalam menghadapi isu-isu rumit seperti tindakan afirmatif dan amalan diskriminasi harian. Pihak kerajaan perlu belajar dari pengalaman kegagalan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR) yang mencadangkan akta-akta berkaitan anti diskriminasi dan keharmonian nasional. Kini tiba masa untuk menunjukkan bahawa topik-topik sukar tidak seharusnya dielak tetapi sebaliknya menggambarkan suasana sebenar,” kata Aira.

“Satu lagi kerisauan kami ialah Rangka Tindakan ini menggunakan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 sebagai sebagai satu titik mula sedangkan pergelutan mengenai hubungan antara kaum ini harus mengikut konteksnya iaitu bermula ketika kita mencapai kemerdekaan dan juga sejarah penjajahan negara kita jika benar dokumen-dokumen ini ingin menangani aspek sejarah bersama sebagai satu nilai sepunya. Jika dibiarkan tanpa pengawasan, kelalaian ini berisiko menjadi satu peluang yang terlepas untuk mempunyai perbincangan yang konkrit dan matang mengenai pelbagai cabaran yang kita sedang hadapi dalam membina hubungan antara kaum yang positif,” simpul Aira.

— TAMAT —

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Amir Ridzuan Jamaludin, Penolong Pengurus, Perhubungan Luar

T: +603 2070 8881/8882 E: amir@ideas.org.my

Aira Azhari, Pengurus, Demokrasi dan Tadbir Urus

T: +603 2070 8881/8882 E: aira@ideas.org.my

2021-02-16T18:26:39+08:00 16th February 2021|Media Statements|Comments Off on Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 satu peluang untuk menilai hubungan antara kaum dengan lebih kritikal