Publications > Media Statements

Psikologi Sekatan Pergerakan dan “norma baharu”

Ditulis oleh Vaisnavi Mogan Rao, Eksekutif Kajian Kanan di IDEAS

Pertama kali diterbitkan dalam The Malaysian Reserve pada 28 April 2020

Krisis COVID-19 yang melanda dunia kini merupakan sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Pelbagai negara di seluruh dunia telah melaksanakan langkah-langkah penjarakan sosial yang drastik sebagai tindak balas kepada krisis ini dan sedang berusaha keras meratakan keluk COVID-19. Situasi ketika ini diumpamakan seperti dalam perang, dengan profesional penjagaan kesihatan berkhidmat di barisan hadapan melawan virus, menjadi tanggungjawab orang awam untuk patuh kepada protokol sekatan pergerakan ini supaya dapat membantu kita memenangi pertempuran ini.

Terdapat kira-kira 2.6 bilion orang yang terlibat dengan apa jua bentuk sekatan pergerakan di seluruh dunia, dianggarkan 32 juta orang di Malaysia – tidak termasuk para pekerja perkhidmatan perlu. Lapisan masalah lain yang terhasil disebabkan oleh pandemik dan sekatan pergerakan ini – krisis ekonomi yang mendatang, kehilangan pekerjaan dan pemimpin-pemimpin di seluruh dunia memberitahu kita untuk menerima “norma baharu” dalam langkah-langkah penjarakan sosial yang berterusan – ialah faktor tambahan yang menyumbang kepada tekanan emosi dan mental yang lebih teruk. Sekatan pergerakan yang berskala sebesar ini boleh dikatakan eksperimen psikologi yang terbesar, bersama kesan-kesan kesihatan mental yang belum dapat kita fahami.

Pengajaran dari perintah kuarantin yang disebabkan oleh epidemik-epidemik sebelum ini seperti SARS, pengasingan diri boleh membawa kepada peningkatan kadar keresahan, kemurungan dan PTSD. Lanskap ekonomi yang rapuh boleh membawa kepada tekanan kewangan, pengangguran, gelandangan, dan kerosakan dalam perhubungan, lebih memburukkan lagi keadaan. Dapatan-dapatan ini mungkin tidak mengejutkan, walau bagaimana pun, skala sekatan pergerakan yang sedang kita hadapi sekarang ini tiada tandingannya. Berserta dengan kesan-kesan psikologi akibat dari pemanjangan sekatan pergerakan, ketidaktentuan bagaimanakah bentuk “norma baharu” boleh menimbulkan kesan jangka panjang yang besar.

Kesan-kesan awal COVID-19, sebelum pelaksanaan sekatan pergerakan termasuk peningkatan dalam gejala ketidakhadiran, tatkala ketakutan dijangkiti penyakit di tempat kerja meningkat. Hal ini akan lebih meningkat selepas perintah sekatan pergerakan dibatalkan kerana kebimbangan dijangkiti virus sudah tentunya masih ada. Menguruskan isu-isu simptom kesihatan mental, di samping cuba mengadaptasi kepada “norma baharu”, boleh memberi kesan kepada produktiviti di tempat kerja. Tanpa campur tangan yang sewajarnya, keadaan ini akan menjadi lebih teruk, menyebabkan gejala ketidakhadiran dan keletihan.

Menyesuaikan diri kepada perubahan besar yang menanti selepas perintah sekatan pergerakan dibatalkan amat mencabar. Disebabkan kita masih belum boleh menjangka bagaimana “norma baharu” ini akan terungkap, memahami cara-cara menghadapi perubahan ini dengan berkesan dan secara individu menjadi amat penting. Dalam proses pemulihan daripada krisis ini, kita amat memerlukan pekerja-pekerja yang mampu memulihkan kembali kemerosotan ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi – satu lagi krisis kesihatan awam mesti dielakkan dengan apa jua cara.

Menghindari krisis kesihatan mental awam

Nilai teras dalam perkhidmatan kesihatan mental awam ialah kebolehcapaian awam yang mencukupi, halangan yang Malaysia sudah hadapi. Sebagai permulaan, penjagaan kesihatan mental di Malaysia masih di peringkat awal dan kadar celik kesihatan mental secara amnya rendah – kajian oleh Relate Malaysia mendapati 62% responden tidak mahu diketahui orang ramai mereka menghadapi masalah-masalah kesihatan mental, dan hanya 29% orang menganggap kesihatan mental sebagai penyakit perubatan yang betul. Untuk menangani tahap kecaknaan yang rendah yang mungkin akan menyebabkan sikap tawar hati untuk mendapatkan bantuan ketika krisis ini, kita perlu memikirkan kesihatan mental sebagai sebahagian daripada tindak balas kesihatan awam.

Sebagai contoh, ketika wabak MERS 2005 melanda, kerajaan Korea telah melihat ada keperluan untuk menubuhkan sistem perkhidmatan kesihatan mental untuk penyakit berjangkit. Sistem pemantauan yang proaktif dilaksanakan untuk mangsa-mangsa MERS, individu-individu yang dikuarantin serta ahli keluarga pesakit. Mereka menggunakan pendekatan pentadbiran yang aktif dengan menghubungi individu bermasalah, lantas menghasilkan kadar penggunaan perkhidmatan kesihatan mental yang lebih tinggi.

Melancarkan program sebegini mungkin bukan satu pelaksanaan yang praktikal untuk jangka pendek di Malaysia. Walau pun begitu, ia boleh disesuaikan untuk menangani kumpulan-kumpulan berisiko secara khusus, termasuklah pekerja barisan hadapan penjagaan kesihatan, ahli keluarga, dan mereka yang terkesan oleh COVID-19. Kumpulan lain yang turut terdedah kepada masalah kesihatan mental ialah golongan lebih dewasa yang kesunyian, kanak-kanak dan dewasa yang mempunyai masalah perkembangan dan mengalami gangguan ketara terhadap rutin dan sokongan kebiasaan mereka.

Untuk menangani masalah kesihatan mental di dalam populasi umum ketika krisis ini, baru-baru ini Belgium telah melancarkan satu peranti atas talian – Everyone OK. Platform tersebut menggunakan pengantaraan dan protokol sedia ada untuk menilai kesejahteraan mental seseorang dan menyediakan alatan bantu diri. Mewujudkan platform atas talian yang relevan kepada kawasan tempat dan mempromosikan ia di aliran perdana dan media sosial dapat membantu mengintegrasikan kesihatan mental ke dalam tindak balas kesihatan awam. Menyediakan peralatan kepada orang awam untuk membina daya kesedaran terhadap simptom-simptom mereka sendiri akan menggalakkan mereka untuk mendapatkan rawatan secara proaktif.

Di Lubnan, program kesihatan mental kebangsaan sedang berusaha untuk mengintegrasikan program kesihatan mental dan sokongan psikososial WHO dalam tindak balas COVID-19 dengan menjadikan kesihatan mental satu aliran perdana dalam tindak balas kebangsaan. Langkah-langkah termasuk pembangunan kempen media sosial mengenai kesihatan mental disasarkan kepada populasi umum, pengasuh kanak-kanak, dan dan tempat kerja yang memberi sokongan kepada para pekerja dengan susunan kerja yang fleksibel.

Kementerian Kesihatan Malaysia terus melakukan tugas yang cemerlang dalam melawan pandemik ini menggunakan langkah-langkah yang betul dan tepat pada masanya, serta tanpa disangka. Bagaimana pun, terdapat lapisan masalah lain yang mungkin telah kita cipta dalam perjuangan memenangi pertempuran ini. Sebagai sebuah negara yang sedang menghadapi jurang dalam rawatan kesihatan mental, kita memerlukan penyelesaian-penyelesaian yang melangkaui laporan statistik peningkatan masalah kesihatan mental. Kita perlu mengambil langkah ke arah membina daya tahan rakyat menyesuaikan diri dengan “norma baharu” – tanpa mengira bagaimana bentuknya. Untuk menghindari satu lagi krisis kesihatan awam pada ketika yang mencabar ini, langkah-langkah campur tangan bersasar perlu diintegrasikan ke dalam tindak balas kesihatan awam semasa.

2020-04-28T13:33:34+08:00 28th April 2020|Opinion|Comments Off on Psikologi Sekatan Pergerakan dan “norma baharu”