KUALA LUMPUR, 7 April 2020 – Selepas memperkenalkan Pakej Prihatin Tambahan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (Prihatin PKS Tambahan), kerajaan perlu melihat langkah seterusnya seperti penyediaan insentif tertentu bagi membolehkan perniagaan untuk menyesuaikan diri dan belajar kemahiran baharu, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Pengurus Penyelidikan IDEAS, Lau Zheng Zhou berpendapat pakej rangsangan PKS ini adalah langkah sementara dan sebagai galakan kepada PKS untuk belajar kemahiran baharu, khususnya dalam bidang teknologi inovatif seperti penyelesaian digital yang akan membantu mereka pulih.
Beliau ketika mengulas mengenai Prihatin PKS Tambahan yang diumumkan semalam, mengakui bahawa ia bertujuan untuk memperluaskan liputan pakej rangsangan kerajaan bagi merangkumi pelbagai saiz PKS sebagai satu cara untuk menangani masalah kecairan jangka pendek.
“Ini adalah penting bagi mengurangkan risiko insolvensi perniagaan besar-besaran, yang akan mewujudkan lebih banyak masalah dengan pengangguran dan kerosakan terhadap keupayaan produktiviti ekonomi.
“Sudah tentu, perniagaan akan terus meminta lebih banyak daripada kerajaan, tetapi penting untuk kita berkongsi risiko kerana perniagaan juga harus menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” katanya kepada Bernama.
Prihatin PKS Tambahan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan peruntukan sebanyak RM10 bilion untuk membantu kumpulan sasaran seperti PKS tempatan. Ianya merupakan tambahan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat RM250 bilion seperti yang diumumkan pada 27 Mac lepas bagi mengurangkan trauma ekonomi akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mengenai pemberhentian pekerja oleh PKS, Lau berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melampirkan syarat-syarat positif sebagai sebahagian daripada aplikasi rangsangan tersebut.
“Sebagai contoh boleh diperkenalkan sistem skor kredit, yang mana perniagaan yang berjaya mengekalkan pekerja selepas menerima sokongan rangsangan, akan mendapat keutamaan atau kelebihan dalam program pembiayaan masa hadapan. Ini akan memberikan rangsangan kepada pemilik perniagaan untuk berfikir jangka panjang,” katanya.
Kerajaan juga perlu bersedia memandangkan pemberhentian merupakan opsyen yang tidak boleh dielakkan untuk beberapa perniagaan, “terutamanya jika sesebuah syarikat itu tidak mampu lagi membayar”.
Beliau berpandangan perniagaan yang menerima pakej itu perlu didaftarkan dalam program pemulihan PKS, yang mungkin melibatkan pembuatan pangkalan data pekerjaan khas dan program kemahiran semula.
Bercakap mengenai PKP, Lau percaya kerajaan mungkin akan melanjutkannya, “berdasarkan kepada pengumuman yang agak terhad mengenai bagaimana ujian massa akan dijalankan sebagai salah satu langkah untuk kembali normal.”
“Soalannya, apakah akan ada pelan untuk melonggarkan PKP secara berperingkat bagi membolehkan lebih banyak industri meneruskan operasi. Aktiviti ekonomi biasanya berjalan di sekitar kelompok geografi – adakah mungkin diadakan pendekatan yang lebih berdasarkan kepada lokasi atau sistem pengezonan?” katanya.
Mengenai sama ada pakej rangsangan PKS ini seharusnya merangkumi mereka yang bekerja sendiri dan informal, Lau menjawab, “Idealnya, ya, kerana mereka juga menjadi sebahagian dari rantaian bekalan.”
“Tetapi langkah-langkah yang diperkenalkan ini mungkin tidak terkena secara langsung kepada golongan ini memandangkan banyak perniagaan mereka yang, tidak didaftarkan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Oleh itu mereka mungkin tidak mempunyai akses kepada saluran agihan langkah-langkah rangsangan ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Lau berkata adalah penting bagi kerajaan untuk mempertimbangkan strategi ekonomi jangka panjang, sekurang-kurangnya selama enam hingga 12 bulan akan datang.
“Ini supaya ia dapat menghubungkan strategi ‘keluar’ daripada pakej rangsangan ini dan ia tidak perlu berpanjangan.
“Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mempercepatkan penyesuaian perniagaan dan kemahiran semula yang akan membawa kepada pemulihan adalah penting bagi meningkatkan keupayaan untuk menjana hasil cukai pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Lau, pelan pemulihan juga akan membantu meningkatkan keyakinan pasaran terhadap objektif penyatuan fiskal apabila ekonomi pulih.
“Ianya adalah tidak munasabah untuk memperlihatkan defisit bajet yang agak tinggi sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini, memandangkan kesan tiga hala perbelanjaan fiskal yang semakin naik, penyusutan hasil fiskal serta ekonomi domestik yang perlahan. Faktor-faktor ini akan meningkatkan defisit belanjawan sebagai peratusan KDNK,” katanya.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dilaporkan berkata defisit bajet negara akan lebih tinggi pada 4.7 peratus daripada jangkaan awal sebanyak 4.0 peratus berikutan peruntukan tambahan berjumlah RM10 bilion di bawah Prihatin PKS Tambahan. — BERNAMA
Kali pertama diterbitkan dalam BERNAMA, 7 April 2020