Kuala Lumpur, 3 November 2023: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia menyambut baik perkembangan terkini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya, dan Reformasi Institusi yang bermula pada 26 Oktober untuk menangani keperluan memisahkan peranan Peguam Negara daripada jabatan Pendakwa Raya.
Pada 26 Oktober, IDEAS telah bertemu dengan JKPK ini yang dipengerusikan oleh YB William Leong dan membentangkan kertas kerja kami bertajuk ‘Separating the Attorney-General and Public Prosecutor: Enhancing Rule of Law in Malaysia‘. IDEAS mencadangkan pelantikan Pendakwa Raya ke Jabatan Pendakwaan Awam dan Peguam Negara sepatutnya menjadi anggota Kabinet. Pendekatan ini menjamin kebebasan dan ketelusan pendakwaan. IDEAS juga mencadangkan penggunaan proses pelantikan dan penyingkiran Pendakwa Raya daripada Kanada dan Amerika Syarikat.
“IDEAS berpendapat bahawa jalan terbaik untuk reformasi adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tatacara Jenayah (CPC), dan Akta Tafsiran. Kami berharap untuk terlibat dalam semua perbincangan berkenaan dengan perkara ini pada masa depan, termasuk dengan Pasukan Petugas Khas untuk Kajian Perbandingan dan Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Seri Azalina Othman Said pada bulan September lalu,” kata Dr Tricia Yeoh, Ketua Eksekutif IDEAS.
“Kami berharap kerajaan akan memberikan kemas kini kepada organisasi masyarakat sivil (CSO) mengenai proses pembangunan, dan IDEAS tetap komited untuk membantu usaha-usaha reformasi. Kami menantikan pelaksanaan segera bagi memisahkan Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kerana hal ini penting dalam memastikan kebebasan institusi dan mengurangkan campur tangan politik dalam proses undang-undang negara,” tambah Dr Yeoh.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Aira Azhari
Pengurus Kanan
T: +603 2070 8881/8882 | E: aira@ideas.org.my