• About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • Home
  • All Posts
  • News & Opinion Media Statement
  • Pemarkahan Tinjauan Belanjawan Terbuka (OBS) 2021 tunjukkan kepentingan pembaharuan institusi yang lebih baik

Pemarkahan Tinjauan Belanjawan Terbuka (OBS) 2021 tunjukkan kepentingan pembaharuan institusi yang lebih baik

May 31, 2022
Categories
  • Media Statement
Tags
  • Bahasa Melayu
  • Malaysia
  • OBS
  • Procurement

Kuala Lumpur – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan pelancaran keputusan pemarkahan Tinjauan Belanjawan Terbuka (OBS) 2021 oleh International Budget Partnership (IBP) pada 31 Mei 2022. OBS menilai tahap ketelusan, penyeliaan dan penglibatan awam dalam amalan belanjawan di 120 buah negara. Keputusan menunjukkan Malaysia kekal pada tahap ketelusan yang terhad dengan mendapat 47 markah (daripada 100) sama seperti kali terakhir keputusan pemarkahan OBS dikeluarkan pada tahun 2019. Malaysia berada di kedudukan ke-57 daripada 120 buah negara yang dinilai dalam OBS tahun 2021. 

Malaysia berjaya menunjukkan peningkatan prestasi dalam penglibatan awam dan penyeliaan, walaupun kekal pada tahap yang sama dalam ketelusan belanjawan. Markah penglibatan awam Malaysia meningkat kepada 26 daripada 17 pada tahun 2019, menempatkan Malaysia pada kedudukan kedua tertinggi dalam rantau Asia Tenggara selepas Filipina. Markah penyeliaan Malaysia meningkat kepada 39 berbanding 31 pada tahun 2019. Pemarkahan penyeliaan ini mengukur sejauh mana Parlimen dan Jabatan Audit Negara dapat memberikan semakan bebas untuk memastikan kebertanggungjawaban kerajaan terhadap pengurusan kewangan. 

Sri Murniati Yusuf, Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, ketika mengulas keputusan ini berkata, “Peningkatan dalam kedua-dua pemarkahan penyeliaan dan penglibatan awam amat menggalakkan. Hal ini merupakan satu pengiktirafan kepada pelbagai inisiatif ketelusan yang dimulakan pihak kerajaan ketika pandemik seperti penerbitan laporan LAKSANA yang memberikan maklumat terkini kepada masyarakat awam mengenai status pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi. Ia juga satu pengiktirafan kepada perbahasan yang rancak ketika pembentangan belanjawan pada tahun 2020 yang menyaksikan beberapa cadangan untuk meminda belanjawan, terutamanya belanjawan untuk JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas).”   

“Namun, peningkatan ini mungkin tidak mampan kerana ianya bermusim serta tidak terikat pada amalan yang telah ditetapkan. Contohnya, laporan LAKSANA adalah contoh yang baik untuk penglibatan awam, tetapi hanya terhad kepada pakej rangsangan ekonomi; kemas kini berkala mengenai pelaksanaan belanjawan tahunan masih belum tersedia kepada awam. Perbahasan panjang tentang belanjawan pada tahun 2020 juga berlaku disebabkan oleh matlamat pembangkang untuk tidak meluluskan belanjawan tahun 2021 di Parlimen. Hal ini tidak berlaku disebabkan oleh kewujudan jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang ditetapkan.”

Malaysia memerlukan pembaharuan institusi agar dapat memastikan peningkatan amalan penglibatan awam, penyeliaan dan ketelusan ini kekal dalam proses belanjawan. IDEAS menyeru kerajaan untuk mempercepat pembaharuan yang diperlukan agar dapat menjadikan Parlimen Malaysia lebih profesional dan bertanggungjawab. Parlimen kita memerlukan jawatankuasa pilihan khas yang berfungsi dan diberikan semua sumber yang diperlukan supaya perbahasan yang meluas tentang perbelanjaan, dasar dan pentadbiran boleh dilakukan dengan kerap. Parlimen juga memerlukan satu sarana untuk penglibatan awam yang lebih aktif dalam amalan penyeliaan, seperti pendengaran awam untuk sesi jawatankuasa pilihan khas Parlimen tertentu. 

“Kami berharap agar pemarkahan ketelusan yang tidak menunjukkan peningkatan ini mengukuhkan lagi keazaman pihak kerajaan untuk melakukan pembaharuan fiskal yang menyeluruh. IDEAS memperakui inisiatif kerajaan untuk menambah baik ketelusan belanjawan menerusi penerbitan kenyataan pra-belanjawan (PBS) dan pengenalan kepada Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA). Satu penambahbaikan segera yang kami galakkan pihak kerajaan lakukan tahun ini adalah untuk menerbitkan dokumen Semakan Belanjawan Pertengahan Tahun yang mengandungi laporan mengenai pelaksanaan belanjawan tahunan kepada masyarakat awam, termasuk kemas kini perbelanjaan dan hasil pendapatan serta prestasi program belanjawan.”  

IDEAS mengalu-alukan kemasukan Indeks Belanjawan Terbuka (pemarkahan ketelusan oleh OBS) sebagai salah satu sasaran dalam Rancangan Malaysia ke-12, iaitu untuk mencapai 61 markah menjelang akhir tahun 2025. Amalan baharu dan pengenalan FRA ini, terutamanya jika FRA mempunyai autoriti untuk menerbitkan dokumen penting belanjawan, lebih penglibatan Parlimen dalam melakukan penyeliaan serta pendedahan risiko fiskal dan liabiliti secara menyeluruh, akan membantu mencapai markah ini. Paling penting, ia akan meningkatkan secara keseluruhan tadbir urus fiskal di negara ini.

— TAMAT —

Tinjauan Belanjawan Terbuka 

Tinjauan Belanjawan Terbuka (OBS) adalah salah satu inisiatif International Budget Partnership (IBP). IBP merupakan sebuah badan penyelidikan dan advokasi global bagi mempromosikan akses masyarakat awam terhadap maklumat belanjawan dan pengamalan sistem belanjawan yang terangkum dan bertanggungjawab. Dilancarkan buat kali pertama pada tahun 2006 dan dilakukan dua tahun sekali, OBS 2021 adalah pusingan kelapan inisiatif ini.

Tinjauan Belanjawan Terbuka menilai tiga komponen bagi sesebuah sistem kebertanggungjawaban belanjawan. Komponen pertama, Ketelusan, menunjukkan pemarkahan ketelusan belanjawan (juga dikenali sebagai Indeks Belanjawan Terbuka). Komponen ini mengukur kewujudan 8 dokumen utama belanjawan: Kenyataan Pra-Belanjawan, Cadangan Belanjawan Eksekutif, Belanjawan Diluluskan, Belanjawan Rakyat, Laporan Tahunan, Semakan Pertengahan Tahun, Laporan Akhir Tahun dan Laporan Audit. Semua dokumen ini harus diterbitkan dalam talian dalam satu tempoh masa yang konsisten dengan amalan baik, dan mesti mengandungi maklumat yang menyeluruh dan berguna.

Komponen kedua adalah Penglibatan Awam. Komponen ini mengukur kadar peluang keterlibatan orang awam dalam  proses belanjawan oleh badan eksekutif, Parlimen dan Jabatan Audit Negara. 

Komponen ketiga adalah Penyeliaan Belanjawan. Komponen ini menilai fungsi institusi penyeliaan rasmi seperti Parlimen dan Jabatan Audit Negara dalam proses belanjawan. Ia juga melihat sejauh mana pemantauan terhadap belanjawan yang mampu dilakukan oleh badan-badan rasmi tersebut.

Malaysia telah disenaraikan dalam OBS semenjak tahun 2008 dan IDEAS adalah badan penyelidik bagi penilaian Malaysia semenjak tahun 2015.

Maklumat lanjut, sila layari https://internationalbudget.org/open-budget-survey selepas 0800 pada 31 Mei 2022.

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Sri Murniati Yusuf, Timbalan Pengarah Penyelidikan
T: +603 2070 8881/8882 | E: unie@ideas.org.my

Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my

Share

Related posts

August 27, 2025

IDEAS: Proposed Government Procurement Bill Falls Short of Safeguards Needed to Protect Public Funds


Read more
August 27, 2025

IDEAS: Cadangan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan Tidak Memadai untuk Melindungi Peruntukan Awam


Read more
August 27, 2025

KDPP Welcomes a Stronger Parliament Committee System in Parliament, Urges States to Emulate these Reforms at the Dewan Undangan Negeri (DUNs)


Read more

Comments are closed.

Categories

  • Digital Media
    • Infographic
    • Podcast
    • Video
  • News & Opinion
    • Blog
    • Media Statement
    • News
    • Opinion

Follow Us

Contact Us

  • +603 – 2070 8881 / 8882
  • +603 – 2070 8883
  • admin@ideas.org.my

Sign up for our newsletter

© Copyright - 2025 | ideas.org.my | Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)