• About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • Home
  • All Posts
  • News & Opinion Opinion
  • Peluang Terlepas untuk Pendidikan Orang Asli dalam Belanjawan 2025

Peluang Terlepas untuk Pendidikan Orang Asli dalam Belanjawan 2025

December 9, 2024
Categories
  • Opinion
Tags
  • Education
  • Inclusive Development
  • Malaysia
  • Orang Asli

Ditulis oleh Durrah Sharifah Ahmad Azlan, Pegawai Penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)


Dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan bulan Oktober, kerajaan Malaysia telah menjanjikan sejumlah besar RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan, menjadikannya peruntukan tertinggi bagi mana-mana kementerian. Belanjawan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan capaian kepada pendidikan berkualiti untuk semua. Sebagai Ahli Parlimen Orang Asli yang pertama, YB Dato Dr. Ramli Mohd Noor telah mempengerusikan sesi belanjawan dengan memakai tempok kepala tradisional Semai, mencerminkan wujudnya perwakilan Orang Asli. Detik ini memberikan harapan bahawa keperluan Orang Asli akan mendapat lebih tumpuan, termasuk dalam sektor  pendidikan. Walaupun mendapat peruntukan belanjawan, perancangan yang benar-benar menghormati semangat perwakilan dan ekuiti dalam pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli masih belum mencukupi.

Kurang Pelaburan Pendidikan Rendah dan Menengah Orang Asli

Belanjawan 2025 terlepas peluang kritikal untuk memberi peruntukan secukupnya dalam pendidikan rendah dan menengah untuk kanak-kanak Orang Asli. Walaupun ada tumpuan diberikan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk komuniti Orang Asli serta peningkatan peruntukan sebanyak 3.64% untuk kelas bagi para ibu bapa Orang Asli (KEDAP), kumpulan umur yang lebih muda kurang diberikan perhatian. Kajian oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2017 ada menyatakan bahawa intervensi langsung yang lebih awal adalah penting kerana terdapat impak positif terhadap kehadiran ke sekolah menengah dalam membasmi kemiskinan. Tiada maklumat khusus telah diberikan dalam Belanjawan 2025 tentang pertambahan jumlah sekolah K9 atau K11, walaupun pelan penambahan ada disebut oleh wakil kerajaan dalam penglibatan lain. Sekolah-sekolah ini, yang menyediakan sembilan hingga 11 tahun pendidikan berterusan bermula daripada Darjah 1 hingga Tingkatan 3 atau Tingkatan 5, telah diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 sebagai model penting untuk memudahkan pelajar Orang Asli untuk mendapatkan capaian pendidikan. 

Lebih banyak perhatian perlu diberikan bagi pemantauan dan penilaian berterusan program kerajaan sedia ada yang bertujuan untuk meningkatkan pendidikan Orang Asli. Hal ini termasuk program-program di bawah projek Inisiatif #57 yang direka untuk merapatkan jurang pendidikan untuk pelajar Orang Asli dan Program Anak Kita yang dilancarkan baru-baru ini yang diperuntukkan tambahan RM30 juta untuk menangani keciciran pelajar sekolah. Laporan tahun 2022 oleh Bernama menyatakan bahawa kekurangan penilaian program pendidikan Orang Asli adalah membantutkan usaha yang dilakukan untuk menangani cabaran pendidikan masyarakat Orang Asli. Pemantauan dan penilaian yang menyeluruh adalah penting untuk menilai keberkesanan program ini dan membuka ruang untuk pembaikpulihan mengikut keperluan pendidikan pelajar Orang Asli.

Pengajaran daripada Luar Negara

Di peringkat global, keperluan untuk pembiayaan yang disalurkan untuk pendidikan masyarakat peribumi adalah jelas. Dalam belanjawan persekutuan tahun 2024 Australia, A$110 juta telah diperuntukkan untuk penggunaan selama empat tahun bagi membangunkan pendidikan peribumi mereka termasuk untuk menggubal dasar pendidikan yang menyeluruh dan menambah bilangan guru terdiri daripada masyarakat peribumi mereka sendiri, iaitu masyarakat ‘First Nations’. Malah, Institut Lowitja Australia melaporkan perbelanjaan per kapita kerajaan untuk komuniti peribumi dianggarkan pada kadar dua kali ganda berbanding untuk masyarakat bukan peribumi demi menangani cabaran sistemik yang dihadapi. Sementara itu di Kanada, lebih daripada $6.1 bilion telah diperuntukkan sejak tahun 2015 untuk penyediaan pendidikan rendah dan menengah berkualiti tinggi bagi kanak-kanak First Nations. Kedua-dua negara ini sedar akan keperluan pembiayaan khusus bagi menangani cabaran unik dan sistemik yang dihadapi oleh masyarakat asal mereka.

Sebagai perbandingan, peningkatan dalam pembiayaan Malaysia untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di bawah Belanjawan 2025 adalah satu langkah yang bagus, tetapi hasil yang bermakna hanya boleh diperoleh dengan adanya pelaksanaan yang cekap serta penilaian yang telus. Tanpa rangka kerja yang jelas, dana ini berisiko akan terbazir dalam urusan pentadbiran dan bukannya memberikan faedah yang boleh diukur kepada pelajar Orang Asli.

Mengutamakan Dasar Pendidikan Responsif Budaya

Belanjawan 2025 memberi peluang untuk memperjuangkan pendidikan responsif budaya untuk pelajar Orang Asli, tetapi tiada langkah bersasar yang diperlukan untuk mencapai matlamat ini telah diketengahkan. Kertas kajian dasar oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pada tahun 2020, yang dihasilkan dengan kerjasama masyarakat Orang Asli, menekankan kepentingan mengintegrasikan budaya dan sejarah Orang Asli ke dalam kurikulum arus perdana. Cadangan ini, dipadankan dengan latihan untuk para pendidik bagi menyampaikan pelajaran yang sesuai dengan budaya, boleh mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih terangkum.

Selain itu, masyarakat Orang Asli mesti terlibat secara aktif dalam menggubal dasar berkaitan pendidikan untuk memastikan cerminan aspirasi masyarakat. Tidak seperti pendekatan di Australia, di mana A$2.4 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada organisasi First Nations untuk membangunkan secara bersama dasar pendidikan di seluruh negara, dasar Malaysia yang memberi kesan kepada masyarakat Orang Asli sering mengecualikan suara Orang Asli semasa proses perancangan dan membuat keputusan, seperti yang dilaporkan oleh Center for Orang Asli Concerns (COAC). Menggabungkan perspektif Orang Asli dalam perancangan pendidikan adalah penting untuk merangka dasar yang sesuai dengan pengalaman hidup mereka.

Menangani Masalah Di Luar Bilik Darjah

Kerajaan mesti menangani isu asas sosial dan alam sekitar yang menghalang kanak-kanak Orang Asli daripada mendapatkan pendidikan untuk mewujudkan perubahan yang berkekalan. Capaian kepada infrastruktur asas, seperti jalan raya yang selamat, elektrik, air bersih, dan internet, masih menjadi cabaran di kebanyakan perkampungan Orang Asli. Apabila masyarakat Orang Asli sibuk mengurus keperluan asas kelangsungan hidup seperti air, tanah runtuh dan perumahan, mereka tidak diberikan peluang untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM10 juta untuk pembinaan rumah dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) di bawah program EPIC Homes, iaitu satu inisiatif yang dialu-alukan yang akan meningkatkan keadaan hidup masyarakat Orang Asli. Komitmen kerajaan untuk membelanjakan RM18 juta bagi membangunkan profil kawasan cerun berisiko tinggi di perkampungan Orang Asli demi mengelakkan tanah runtuh juga amat penting. Usaha yang baik ini sudah lama tertangguh dan menunjukkan langkah positif ke arah memperbaiki keadaan hidup masyarakat Orang Asli. Walau bagaimanapun, kerajaan perlu sentiasa cakna dalam berterusan menangani isu ini secara lebih bersepadu, dengan memastikan faktor persekitaran yang mengganggu pendidikan dan kestabilan komuniti tidak hanya ditangani melalui penyelesaian yang bersifat sementara.

Hala Tuju Masa Hadapan

Kesimpulannya, walaupun Belanjawan 2025 menawarkan beberapa langkah positif untuk masyarakat Orang Asli, masih terdapat kekurangan dari segi wujudnya perubahan transformatif untuk pendidikan Orang Asli. Program intervensi awal, pembelajaran yang responsif budaya, dan penglibatan lebih besar masyarakat Orang Asli dalam penggubalan dasar adalah penting untuk merapatkan jurang pendidikan mereka. Di luar peruntukan kewangan, komitmen terhadap mengurangkan isu sistemik dan memperbaiki infrastruktur bagi pendidikan Orang Asli adalah penting. Dalam perangkaan Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 yang sedang dijalankan ketika ini, suara Orang Asli mesti diketengahkan dan diutamakan bagi apa-apa dasar berkaitan masyarakat mereka. Penglibatan mereka penting bagi memastikan Malaysia boleh menyokong kanak-kanak Orang Asli untuk berjaya secara akademik sambil mengekalkan warisan budaya mereka yang kaya.


This article appeared printed at Utusan Malaysia

Pandangan yang diutarakan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian IDEAS Malaysia. Semua pendapat adalah milik penulis sendiri.

Share

Related posts

August 27, 2025

Conflicting mandates dilute effectiveness of our retirement pension scheme


Read more
August 22, 2025

Building teams for nation-building


Read more
August 12, 2025

Reformasi bersejarah Akta Orang Asli


Read more

Comments are closed.

Categories

  • Digital Media
    • Infographic
    • Podcast
    • Video
  • News & Opinion
    • Blog
    • Media Statement
    • News
    • Opinion

Follow Us

Contact Us

  • +603 – 2070 8881 / 8882
  • +603 – 2070 8883
  • admin@ideas.org.my

Sign up for our newsletter

© Copyright - 2025 | ideas.org.my | Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)