• About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • Home
  • All Posts
  • News & Opinion Opinion
  • Lindungi Pelarian, Bukan Meminggirkan

Lindungi Pelarian, Bukan Meminggirkan

July 10, 2024
Categories
  • Opinion
Tags
  • Carbon Pricing
  • Economy
  • Energy
  • Malaysia

Ditulis oleh Zuhdi Farhan, Eksekutif Kanan, Advokasi dan Program di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)


Tanggal 20 Jun setiap tahun diraikan sebagai Hari Pelarian Sedunia. Siapakah sebenarnya pelarian? Pelarian berdasarkan takrifan Konvensyen Geneva 1951 merupakan individu yang berada di luar negara asalnya, mempunyai perasaan takut yang berasas akibat penindasan atas sebab bangsa, agama, kewarganegaraan, pandangan politik atau keahlian dalam sesuatu kumpulan sosial. Beberapa tahun belakangan ini, telah timbul seruan agar takrifan ini turut merangkumi pelarian iklim.

Malaysia merupakan tuan rumah kepada hampir 190 ribu orang pelarian. Menurut data daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), sehingga bulan Mei 2024 terdapat seramai 189,340 orang pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan badan tersebut di Malaysia. 166,290 orang daripada angka tersebut adalah pelarian warga Myanmar, 66.7% daripada mereka merupakan etnik Rohingya manakala selebihnya terdiri daripada  kumpulan etnik Myanmar lain. Terdapat juga pelarian dari pelbagai negara lain termasuk Pakistan, Yaman, Somalia, Syria, Afghanistan, Sri Lanka, Iraq serta Palestin. Sebahagian besar pelarian di Malaysia tertumpu di negeri Pantai Barat Semenanjung iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Kedah.

Malaysia bukan sahaja tidak meratifikasi Konvensyen Geneva 1951 serta Protokol Berkaitan Status Pelarian 1967, malah tidak mempunyai sebarang kerangka perundangan domestik berkaitan pelarian. Disebabkan itu, kehidupan para pelarian ini sentiasa dalam kesukaran bagai kerakap tumbuh di batu, tidak mendapat perlindungan dan hak yang sewajarnya. Pelarian sering kali dikelompokkan bersama dengan pekerja asing dan imigran dan berisiko ditangkap serta ditahan di depoh tahanan imigresen disebabkan tiada permit yang sah.

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh pelarian di Malaysia adalah tiada capaian kepada pendidikan formal. UNHCR pada tahun 2022 melaporkan bahawa sekitar 25% daripada jumlah pelarian yang berdaftar di Malaysa berusia bawah 18 tahun, hanya 14% mendapat pendidikan prasekolah, 44% menikmati pendidikan rendah manakala 16% mendapat pendidikan menengah. Namun, sekolah kebangsaan bukanlah suatu pilihan untuk mereka kerana ketidakwujudan kerangka undang-undang menyebabkan kanak-kanak dan remaja pelarian ini tidak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan formal di semua peringkat sekolah kebangsaan.

Berdasarkan laporan kajian oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pada tahun yang sama, antara faktor utama yang menjadi penghalang kanak-kanak pelarian mendapatkan pendidikan adalah kemiskinan dan ketidakmampuan ibu bapa dalam membiayai kos pendidikan. Ramai yang berhenti belajar di pusat pendidikan alternatif (ALC) kerana terpaksa keluar bekerja demi menambah pendapatan keluarga, manakala ada juga yang tinggal di rumah untuk membantu menjaga adik-adik yang masih kecil tatkala ibu bapa mereka membanting tulang mencari mata pencarian.

Situasi ini diburukkan lagi dengan jumlah ALC yang tidak mencukupi. Data UNHCR menunjukkan terdapat 133 buah ALC di Semenanjung Malaysia, dengan hanya 21 daripadanya menawarkan pendidikan menengah. Sumber  kewangan yang terhad sudah pastinya membataskan pusat pendidikan ini dalam menawarkan suasana pembelajaran yang kondusif serta menggajikan dan memberikan latihan kepada guru.
Apabila kanak-kanak pelarian diberikan hak untuk mendapat pendidikan formal, semakin tinggi potensi untuk mereka meraih mobiliti sosial pada masa hadapan. Hal ini disebabkan pendidikan memungkinkan kanak-kanak ini pekerjaan yang baik kelak, sekaligus masa hadapan yang lebih cerah berbanding ibu bapa mereka. Malah, interaksi dalam bilik darjah antara kanak-kanak pelarian dan kanak-kanak warganegara akan mencambahkan hubungan yang harmoni hasil interaksi dan integrasi antara dua komuniti. Bukankah kita juga yang merungut apabila pelarian tidak memahami bahasa percakapan kita? Nah, inilah peluang untuk kita meruntuhkan tembok pemisah ini.  

Pelarian di Malaysia juga tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mendapatkan pekerjaan formal. Kebanyakan mereka hanya bekerja dalam sektor tidak formal dan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dek kerana mendapat upah harian yang rendah dalam pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).  Pelarian perlu diberi jaminan dan hak untuk mendapatkan peluang pekerjaan secara sah kerana ia akan membantu mereka mendapatkan kerja dengan gaji yang lebih tinggi sekaligus memberi motivasi untuk meningkatkan taraf ekonomi dan membina kehidupan lebih baik. Mereka juga akan kurang berisiko terlibat dalam aktiviti jenayah dan secara tidak langsung, mengurangkan masalah sosial dalam masyarakat.

Tambahan pula, pelarian tidak terlepas daripada pelbagai tanggapan negatif oleh warganegara Malaysia disebabkan jurang dalam pergaulan seharian. Dr Melati Nungsari dan Rachel Decruz daripada Asia School of Business berkongsi kajian mereka bahawa rakyat Malaysia umumnya mempunyai tanggapan negatif terhadap pelarian, seperti mereka terlibat dalam jenayah dan akan merampas peluang pekerjaan warga tempatan. Walhal tanggapan ini hanyalah persepsi semata dan dapat dipadamkan dengan usaha pendidikan masyarakat serta berinteraksi dengan satu sama lain. Tanggapan ini mungkin disebabkan oleh pengalaman peribadi sebahagian daripada kita, tetapi itu tidak bermaksud keseluruhan pelarian mempunyai keperibadian serupa. Benar kerana nila setitik, rosak susu sebelanga namun sebahagian besar pelarian yang tidak bersalah perlulah dilayan selayaknya manusia.

Kita boleh memainkan peranan penting dalam membantu menawarkan penyelesaian terhadap permasalah cabaran yang dihadapi oleh pelarian. Sebagai anggota masyarakat, kita boleh menyertai pelbagai aktiviti sukarelawan yang melibatkan komuniti pelarian agar dapat mengenali dan berinteraksi dengan mereka. Selain itu, berikan sokongan anda kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana yang mengambil pelarian sebagai pekerja supaya masyarakat awam dapat membuka mata akan manfaat terhadap ekonomi apabila pelarian turut dilibatkan bersama.

Pihak kerajaan pula perlu segera melaksanakan perubahan dasar dan merangka undang-undang yang mengiktiraf hak pelarian di Malaysia agar mereka mempunyai capaian terhadap pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta peluang pekerjaan. IDEAS pernah menerbitkan kajian pada tahun 2019 yang menunjukkan bahawa memberikan hak  bekerja kepada pelarian akan memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada negara. Kumpulan ini akan menyumbangkan sekurang-kurangnya RM3 bilion KDNK dan juga peningkatan kutipan cukai sebanyak RM50 juta. Semakin besar pendapatan pelarian, semakin rancaklah ekonomi masyarakat sekeliling mereka. Bukankah wang ini akan pergi kepada para peniaga yang ada di sekitar komuniti pelarian dan menguntungkan masyarakat itu sendiri?

Tindakan mengiktiraf hak pelarian ini juga seiring dengan komitmen kerajaan pada tahun 2022 melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Hak dan Akses kepada Pendidikan untuk Pelarian dalam membantu dan melindungi hak pelarian. Sementelah pula, usaha ini selari dengan teras Malaysia MADANI yang keenam, iaitu ihsan.

Sebagaimana peribahasa, ayam berinduk, sirih berjunjung, kerajaan sebagai pemerintah harus mengambil tanggungjawab melindungi pelarian. Malaysia MADANI perlu kotakan apa yang dikata.


This article was first printed in Sinar Harian Malaysia on July 10, 2024.

Share

Related posts

October 21, 2025

Kicked around in the ugly game


Read more
October 15, 2025

Hidup dalam 2 dunia – renungan 15 tahun penubuhan IDEAS


Read more
September 8, 2025

The Government Procurement Act 2025: progress but some issues not addressed


Read more

Comments are closed.

Categories

  • Digital Media
    • Infographic
    • Podcast
    • Video
  • News & Opinion
    • Blog
    • Media Statement
    • News
    • Opinion

Follow Us

Contact Us

  • +603 – 2070 8881 / 8882
  • +603 – 2070 8883
  • admin@ideas.org.my

Sign up for our newsletter

© Copyright - 2025 | ideas.org.my | Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)