Kuala Lumpur, 16 Februari 2023 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah melancarkan sebuah laporan bertajuk Pantau Laksana: Assessing Malaysia’s Transparency and Accountability Initiatives in Implementing Emergency Fiscal Responses. Laporan ini menyeru pelaporan yang lebih seragam dan telus dalam pelaksanaan program kerajaan. Laporan ini membincangkan sumber dana, peruntukan dana, benefisiari, dan pelaksanaan sembilan pakej rangsangan ekonomi (ESPs) yang dilancarkan sewaktu kemuncak pandemik COVID-19 dari 27 Februari 2020 hingga 28 Jun 2021.
“Pantau Laksana adalah inisiatif daripada IDEAS untuk menggalakkan orang ramai dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) lain memantau perbelanjaan kerajaan yang dibiayai oleh belanjawan tahunan biasa atau pakej rangsangan. Pantau Laksana didorong oleh penggadaian atau tradeoff antara tindak balas krisis dan pengawasan yang berlaku semasa kemuncak wabak, di mana kebanyakan ESP diumumkan oleh kerajaan tanpa pengawasan Parlimen yang mencukupi,” kata Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS. Untuk merapatkan jurang pengawasan, Kementerian Kewangan telah menubuhkan unit LAKSANA yang ditugaskan untuk menyediakan maklumat terkini secara berkala tentang pelaksanaan inisiatif di bawah ESP.
Melalui Pantau Laksana, IDEAS telah mewujudkan satu set data untuk mendapatkan gambaran yang lebih baik tentang ESP, yang memberikan kita gambaran keseluruhan tentang jenis impak fiskal, sumber pembiayaan dan jenis benefisiari yang dicapai hasil daripada pelbagai pakej rangsangan. Set data ini boleh didapati di www.pantauwangkita.com. Secara keseluruhan, dianggarkan sebanyak RM526.3 bilion dalam nilai program diumumkan melalui 9 ESP yang diliputi dalam set data: ESP 2020, PRIHATIN, PRIHATIN SME+, PENJANA, KitaPRIHATIN, PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA+ dan PEMULIH.
Dalam menyusun data daripada ucapan-ucapan ESP, IDEAS mendapati bahawa nilai kewangan dalam 96 daripada 291 pengumuman berlainan adalah tidak didedahkan. Perbelanjaan kerajaan (24 pengumuman) dan kehilangan hasil (29 pengumuman) membentuk lebih separuh daripada anggaran kesan fiskal yang tidak didedahkan ini. Sumber pembiayaan untuk beberapa program juga tidak dapat dibezakan. Sebagai contoh, pengumuman ESP tidak menunjukkan sepenuhnya nilai diskaun terbahagi yang disediakan oleh TNB, subsidi yang diambil daripada Dana Industri Elektrik, atau subsidi daripada Dana COVID-19 yang diperuntukkan oleh kerajaan.
Set data Pantau Laksana ini mencadangkan bahawa kira-kira 35% daripada nilai pakej rangsangan yang diumumkan (RM186.2 bilion) datang daripada kerajaan, manakala selebihnya datang daripada ekosistem kerajaan (badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan), sektor swasta, atau campuran daripada mana-mana dua sumber. Perbelanjaan langsung membentuk hampir separuh daripada rangsangan sumber kerajaan (RM96.6 bilion), dengan kategori perbelanjaan terbesar adalah subsidi gaji diikuti dengan bantuan tunai. Peruntukan nilai kedua terbesar bagi rangsangan kerajaan adalah dalam kemudahan jaminan pinjaman berjumlah RM75 bilion. Sumbangan tunggal terbesar dalam nilai kepada ESP adalah daripada anggaran RM210 bilion yang ditambah pada program moratorium pinjaman, satu langkah kecairan tunai yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.
Set data ini juga merekodkan data pelaksanaan daripada laporan LAKSANA kerajaan bermula 14 April 2020 hingga 31 Oktober 2021 (jumlah keseluruhan sebanyak 73 laporan). Set data ini menunjukkan bahawa LAKSANA hanya melaporkan 86 daripada 201 program. Program yang paling banyak dilaporkan adalah sebahagian daripada Dana COVID-19, menunjukkan bahawa tumpuan laporan adalah pada perbelanjaan langsung kerajaan, dengan Program Subsidi Upah sebagai program yang paling banyak dilaporkan dalam jangka masa kajian.
“IDEAS memuji usaha yang diambil kerajaan untuk menyediakan laporan yang kerap mengenai program-program utama ESP. Bagaimanapun, jurang pendedahan dan format laporan yang tidak konsisten menimbulkan halangan terhadap orang ramai untuk memantau pelaksanaan ESP secara aktif dan seterusnya memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadapnya,” kata Alissa Rode, Pengurus Penyelidikan Unit Kewangan Awam di IDEAS. “Walaupun mungkin tidak semua program memerlukan perhatian dan sumber laporan mingguan, menetapkan jadual laporan bulanan atau suku tahunan yang selaras untuk program yang kurang kritikal akan memberikan lebih kebolehramalan dan konsistensi dalam tahap maklumat yang diberikan.”
IDEAS mengesyorkan agar kerajaan menyediakan mandat dan sumber digital yang kukuh untuk menginstitusikan pelaporan awam mengenai pelaksanaan untuk mencapai ketelusan dan konsistensi yang lebih besar dalam pendedahan. Kami berharap hal ini boleh dilakukan tidak lama lagi dengan menetapkan piawaian penanda aras dalam Akta Tanggungjawab Fiskal apabila ia diperkenalkan. Kerajaan juga harus mengekalkan konsistensi dalam penunjuk dan kekerapan laporan, untuk memastikan data dapat dibandingkan secara bermakna.
Pantau Laksana adalah sebahagian daripada projek Pantau Wang Kita, satu inisiatif IDEAS untuk memantau ketelusan dalam belanjawan dan perbelanjaan kerajaan di Malaysia.
Muat turun laporan penuh di sini.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Alissa Rode, Pengurus Penyelidikan, Unit Kewangan Awam
T: +603 2070 8881/8882 | E: alissa@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my