Kuala Lumpur, 30 April 2024: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pada hari ini telah menerbitkan satu laporan dasar bertajuk “Memimpin Perubahan Iklim di ASEAN: Penentuan Harga Karbon untuk Industri Keluli Malaysia.” Laporan ini meneroka industri keluli dalam keadaan Malaysia yang mengalami peralihan kepada ekonomi rendah karbon, memandangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) negara yang semakin meningkat. Ia menekankan keperluan menyesuaikan dasar industri dan alam sekitar Malaysia untuk memastikan sektor keluli menyokong komitmen pengurangan pelepasan GHG negara.
Komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan GHG, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015, menetapkan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Walaupun terdapat penurunan dalam kadar pelepasan, jumlah pelepasan mutlak telah meningkat dengan mendadak, memerlukan langkah untuk memacu ke arah objektif tahun 2050. Petanda perubahan sikap kerajaan yang semakin berlembut terhadap komitmen ini menimbulkan kebimbangan, diburukkan lagi dengan ketiadaan undang-undang perubahan iklim dan infrastruktur penetapan harga karbon.
Industri keluli Malaysia kini menghadapi masalah kapasiti berlebihan dan cabaran perdagangan, didorong oleh pembinaan kilang keluli relau bagas berskala besar. Dalam dekad yang lepas, peningkatan kapasiti pengeluaran Malaysia terutamanya dipacu oleh pelaburan dari China, kerana kapasiti berlebihan China dan penurunan permintaan telah mendorong peralihan pelaburan ke negara ASEAN. Trend ini diperkuat oleh cukai dan peraturan penjagaan alam sekitar yang lebih ketat di China, menjadikan ASEAN sebagai pilihan yang menarik.
Walaupun pelaburan ini menawarkan potensi untuk peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi, ia juga menimbulkan kebimbangan tentang peningkatan pelepasan GHG dan kekurangan pengeluar tempatan.
“Industri keluli Malaysia telah berubah daripada kadar karbon yang lebih rendah daripada purata dunia kepada kadar karbon lebih tinggi daripada purata dunia. Dalam erti kata lain, satu tan keluli yang dikeluarkan di Malaysia dahulu lebih mesra alam daripada purata dunia, tetapi kini tidak lagi. Sebaliknya, ekonomi utama dunia sedang melabur dalam pengeluaran keluli rendah karbon atau sifar pelepasan karbon.
Penyesuaian dasar yang segera diperlukan untuk menyelaraskan industri keluli Malaysia dengan sasaran pengurangan pelepasan karbon negara,” kata Prof Dr Renato Lima, salah seorang penulis bersama laporan dan Felo Kanan di IDEAS.
Ketiadaan sebuah kerangka kerja penetapan harga karbon dan undang-undang yang mengikat telah menghalang keupayaan kerajaan untuk menangani pelepasan GHG dengan berkesan. Walaupun penetapan harga karbon disebut dalam Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12) 2021-2025, tetapi pelan pelaksanaan segera tidak mencukupi. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menggariskan dasar yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan GHG, tetapi kurang memberikan butiran mengenai penetapan harga karbon. Sebaliknya, langkah kawalan tidak langsung sementara, seperti moratorium terhadap kapasiti pembuatan baharu yang dikenakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada tahun 2023, telah diperkenalkan untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Kebimbangan mendesak untuk mengatasi peningkatan pelepasan GHG daripada industri keluli menuntut tindakan dasar segera. Kajian ini mencadangkan saranan dasar dalam tiga bidang utama: Pertama, melaksanakan langkah penetapan harga karbon untuk mengawal peningkatan pelepasan karbon untuk peralihan ke sektor keluli rendah karbon. Kegagalan untuk bertindak akan menyebabkan kapasiti berlebihan dalam pengeluaran, lalu menghalang kemajuan dalam sektor berpelepasan karbon intensif lain. Terdapat juga keperluan untuk membangunkan pakatan bagi menyokong dan melancarkan pelaksanaan mekanisme penetapan harga karbon. Walaupun kebanyakan negara pengeluar keluli menyokong penetapan harga karbon, industri hilir menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan kesan inflasi. Untuk mengurangkan kebimbangan ini, pendapatan yang diperoleh daripada penetapan harga karbon boleh digunakan untuk membiayai inisiatif keluli hijau atau dana peralihan. Malaysia perlu mempertimbangkan skim cap-and-trade, bersama dengan langkah-langkah untuk menyokong tenaga boleh diperbaharui dan institusi tempatan. Pelaksanaan Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM) boleh menghalang kebocoran karbon ke negara-negara tanpa penetapan harga karbon.
Laporan ini juga mencadangkan satu garis masa untuk pelaksanaan langkah penetapan harga karbon bagi industri keluli tempatan seperti cukai sementara ke atas arang kok. Langkah ini, termasuk pembangunan infrastruktur kawal selia dan cukai import karbon (MY-CBAM), mungkin memberi cabaran dalam jangka pendek tetapi akan meningkatkan daya saing dan menjajarkan Malaysia dengan matlamat pengurangan pelepasan karbon global.
Menangani pelepasan GHG dalam industri keluli Malaysia memerlukan langkah proaktif dengan penetapan harga karbon sebagai satu alat penting untuk kelestarian dan pengurangan pelepasan karbon. Tanpa intervensi ini, peningkatan pelepasan karbon mengancam komitmen iklim Malaysia dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon. “Dengan memanfaatkan peluang ini dan mengambil tindakan tegas, Malaysia dapat memimpin ke arah industri keluli yang lebih hijau, menetapkan satu duluan untuk pembangunan lestari dan menginspirasi usaha serantau untuk memerangi perubahan iklim. Penting bagi kita untuk menggunakan peluang ini demi penjajaran semula haluan industri Malaysia dengan matlamat kelestarian global,” tegas Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my