Kuala Lumpur, 9 November 2023: Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik telah menyelesaikan perbincangan dan perundingan peringkat akhir mengenai Rang Undang-Undang Pendanaan Politik. Dalam proses penyediaan Rang Undang-Undang ini, KRPPM telah menerima maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pemimpin kanan parti, ahli politik dan komuniti akar umbi, dan organisasi masyarakat sivil (CSO).
Kami juga telah menganjurkan bengkel di Pahang, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, dan Melaka, di mana ahli politik dan NGO tempatan, pelajar universiti, serta orang awam memberi maklum balas berharga mengenai peruntukan utama dalam rang undang-undang ini. Rang undang-undang yang dikeluarkan hari ini telah dikemas kini daripada versi sebelumnya yang kami kemukakan sebagai Rang Undang-Undang Persendirian pada 13 Julai 2022.
Salah satu komponen yang paling penting dalam rang undang-undang kami ini adalah peruntukan dana awam kepada parti politik. Dana awam adalah satu sistem di mana sebahagian daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada aktiviti parti politik. Ia adalah mekanisme yang boleh memastikan kesaksamaan yang lebih baik antara parti-parti politik, mengurangkan ketergantungan kepada penyumbang persendirian, dan membina persaingan yang lebih sihat dalam kalangan parti politik. Melaksanakan sistem dana awam akan melibatkan kos bagi pihak kerajaan, tetapi kami percaya belanjawan ini adalah penting untuk kelestarian jangka panjang demokrasi Malaysia.
Kami bersedia untuk membantu kerajaan dalam proses penyediaan undang-undang yang akhirnya akan diluluskan oleh Parlimen sebagai Akta Pendanaan Politik (PFA). Kami mengulangi pendirian kami bahawa PFA adalah keperluan mendesak untuk Malaysia melangkah lebih ke hadapan dalam mewujudkan demokrasi yang lebih berdaya saing dan mampan.
Muat Turun Fail Berkaitan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik:
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Aira Azhari
Pengurus Kanan
T: 012-6646059 | E: aira@ideas.org.my
Tentang KRPPM Mengenai Pendanaan Politik
KRPPM Mengenai Pendanaan Politik telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 23 April 2023. Objektif utama KRPPM Mengenai Pendanaan Politik adalah untuk mewujudkan satu sarana supaya para Ahli Parlimen, Senator dan organisasi masyarakat sivil (CSO) dapat mengadakan perbincangan serta mempertimbangkan kepentingan pembaharuan pendanaan politik di Malaysia.
Anggota KRPPM Mengenai Pendanaan Politik
Ahli Parlimen
Senator
Ahli CSO