Kuala Lumpur, 14 Disember 2023: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah mengeluarkan Polisi Ringkas IDEAS No. 39 hari ini, bertajuk “Keberkecualian Daya Saing dalam Sektor Tenaga Malaysia: Menghapuskan Halangan demi Industri Tenaga yang Lebih Hijau dan Inovatif.” Ditulis oleh Dr Renato Lima de Oliveira, Felo Kanan IDEAS dan Penolong Professor Pengurusan di Asia School of Business bersama pasukan penyelidikan IDEAS, laporan ini merungkai aspek penting industri tenaga Malaysia, menangani halangan dan mencadangkan hala tuju untuk medan yang lebih saksama dalam kalangan pemain industri, membolehkan peralihan yang lebih lancar dan cekap ke arah penggunaan tenaga boleh baharu di Malaysia.
Sejarah dominasi syarikat milik kerajaan yang menggunakan model bersepadu menegak dalam sektor tenaga telah terganggu oleh kebimbangan alam sekitar yang semakin meningkat dan peningkatan sumber tenaga boleh baharu. Tiada keraguan bahawa model bekalan tenaga ini telah berjaya menyediakan tenaga yang boleh diharap dan berpatutan kepada rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, model ini tidak lagi sesuai dengan haluan negara ke arah sumber tenaga bersih, berkala, dan tidak berpusat. Dengan matlamat penting untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih dalam masa terdekat, sektor tenaga Malaysia perlu menyaksikan peningkatan pelaburan dan inovasi yang ketara.
Kajian ini menilai lanskap kawal selia dalam sektor tenaga Malaysia dan sama ada terdapat medan yang lebih saksama bagi menggalakkan penyertaan pemain industri baharu. Dengan menggunakan keberkecualian daya saing sebagai konsep utama, penulis menganalisis sifat persaingan dalam sektor tenaga dan cabaran yang dihadapi oleh pemain industri. “Menurut pakar dalam Perbincangan Kumpulan Berfokus yang diadakan untuk kajian ini, banyak pemain industri menghadapi sekatan dalam mengembangkan perniagaan mereka disebabkan oleh kekangan dasar dan kurangnya capaian kepada sumber yang diperlukan untuk penjanaan tenaga,” kata Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan IDEAS.
Dua cadangan telah dikemukakan dalam kertas ini. Pertama, ia mencadangkan reformasi menyeluruh dalam industri bekalan elektrik untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu, memupuk pasaran yang lebih berdaya saing selaras dengan prinsip-prinsip asas Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Kedua, laporan ini menekankan kepentingan meningkatkan keberkecualian daya saing sama ada secara meluas dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau secara khusus dalam industri bekalan elektrik. Hal ini akan membuka peluang pelaburan baharu dan mendorong pertumbuhan amalan hijau yang mampan.
“Menyedari risiko yang berkaitan dengan ketidakcukupan persaingan, terutamanya dalam sektor-sektor yang menghadapi cabaran sebegini, terdapat keperluan untuk usaha yang berterusan untuk memperkukuh kerangka kawal selia sektor tenaga Malaysia,” kata Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Aira Azhari
Pengurus Kanan
T: 012-6646059 | E: aira@ideas.org.my