Kuala Lumpur, 12 Ogos 2024: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah mengumumkan bahawa Dr Tricia Yeoh akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada akhir September 2024, selepas 11 tahun berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi, Felo, dan akhirnya Ketua Pegawai Eksekutif. Dr Tricia akan beralih ke peranan baru dalam bidang akademik selepas tempoh beliau di IDEAS.
Di bawah kepimpinan beliau, IDEAS telah memperluas pengaruh dan impak terhadap dasar awam, menjalin hubungan kukuh dengan rangkaian dan rakan kongsi dalam bidang seperti demokrasi dan tadbir urus, kewangan awam, serta dasar ekonomi dan sosial. Antara pencapaian penting beliau adalah penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik, di mana IDEAS bertindak sebagai Sekretariat, memperjuangkan reformasi pendanaan politik yang penting dan merangka versi pertama Rang Undang-Undang Pendanaan Politik di Malaysia. Di bawah kepimpinan beliau, IDEAS telah mencapai kestabilan kewangan dan mencatat prestasi terbaik dalam sejarah.
Mengulas mengenai tempoh perkhidmatan beliau di IDEAS, Dr Tricia berkata, “11 tahun yang saya habiskan di IDEAS adalah yang paling memuaskan dalam kehidupan profesional saya. IDEAS telah memberi impak besar terhadap kerjaya saya dalam dasar awam dan kajian politik. IDEAS telah menjadi platform yang luar biasa yang memberikan saya peluang untuk mengembangkan pengetahuan dan pengalaman dalam penyelidikan dan advokasi dasar awam, pengurusan, dan pembinaan pasukan. Saya juga berterima kasih kepada IDEAS kerana telah menaja pengajian kedoktoran saya. Saya akan sentiasa bersyukur untuk semua ini”.
“IDEAS berterusan menjadi organisasi terbaik di Malaysia bagi sesiapa yang berminat untuk menjalankan penyelidikan dasar awam yang bebas dan membuat perubahan. Organisasi ini telah mengalami perubahan dan transformasi yang besar sejak zaman awalnya, semuanya ke arah yang lebih baik dan selaras dengan konteks setiap fasa. Saya percaya bahawa perubahan kepimpinan adalah baik untuk pembaharuan organisasi. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Pengarah, para pendana, dan rakan kongsi kami yang menjadikan tempoh saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di IDEAS satu pengalaman yang luar biasa. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih secara peribadi kepada ahli pasukan saya yang telah bekerja bersama saya tanpa jemu—saya tidak mungkin mencapai kejayaan ini di IDEAS tanpa mereka. Saya amat berbangga atas peluang menerajui pasukan hebat ini,” tambah Dr Tricia.
Lembaga Pengarah dengan sukacitanya mengumumkan bahawa mulai 16 September, Aira Azhari, Pengurus Kanan Advokasi dan Program, akan menggantikan Dr Tricia sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS. Beliau telah bersama IDEAS selama hampir sembilan tahun, bermula sebagai Eksekutif Penyelidikan pada tahun 2016 selepas menamatkan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics and Political Science. Sepanjang tempoh tersebut, Aira telah menyumbang kepada pertumbuhan IDEAS, terutamanya dalam memperjuangkan reformasi institusi. Baru-baru ini, beliau telah mengetuai serta mengubah pasukan Advokasi dan Program IDEAS, meningkatkan profil dan kredibiliti IDEAS dengan pihak berkepentingan utama. Aira juga telah menjadi penganalisis yang dipercayai mengenai politik dan hal ehwal semasa, mewakili IDEAS dalam media tempatan dan antarabangsa.
Menyatakan kegembiraannya tentang peranan baharu ini, Aira berkata, “Ia adalah satu penghormatan dan keistimewaan yang luar biasa untuk diamanahkan memimpin organisasi sepenting IDEAS. Peranan penting yang dimainkan oleh IDEAS dalam membina Malaysia yang menjunjung kebebasan dan keadilan untuk semua adalah tanggungjawab yang saya ambil serius, dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan sekerja saya yang cemerlang dalam memajukan wacana dasar awam di negara ini. Saya juga berterima kasih kepada Lembaga Pengarah atas kepercayaan dan sokongan mereka sepanjang proses peralihan ini dan seterusnya. Kepada Dr Tricia, saya bersyukur atas kepimpinan teladan yang telah beliau tunjukkan kepada kami semua, dan saya mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan masa hadapannya.”
YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Presiden Pengasas IDEAS dan Pengerusi Lembaga Pengarah, mengulas, “Lembaga Pengarah berterima kasih kepada Dr Tricia atas kepimpinan dan dedikasi yang luar biasa yang telah membawa IDEAS maju dalam pelbagai cara. Saya telah menikmati tempoh bekerja dengannya selama dekad yang lalu, dan saya tahu beliau akan cemerlang dalam peranan seterusnya. Kami teruja untuk menyambut Aira, yang kami percaya akan meneruskan legasi Dr Tricia dan membawa IDEAS ke tahap yang lebih tinggi.”
IDEAS tetap komited untuk memperbaiki dasar awam dan membina Malaysia yang lebih baik untuk semua. Kami mengucapkan terima kasih kepada Dr Tricia Yeoh atas sumbangan cemerlang beliau dan mendoakan kejayaan dalam kerja akademik masa hadapannya.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my