Kuala Lumpur, 23 April 2025: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), dengan sokongan Yayasan Sime Darby (YSD), telah melancarkan sebuah laporan baharu hasil pelaksanaan projek rintis yang memfokuskan kepada Pendidikan Terangkum untuk Orang Asli. Laporan ini menawarkan pandangan baharu, mengangkat suara Orang Asli, dan mencadangkan sokongan kepada penyelesaian bersadurkan budaya untuk menangani ketidaksamaan pendidikan yang sekian lama wujud dalam kalangan komuniti Orang Asli di Malaysia melalui tiga komponen utama.
Komponen-komponen tersebut ialah:
“Pelancaran laporan ini bukan sekadar penutup kepada satu kajian yang penting, tetapi titik mula kepada iltizam baharu demi memastikan tiada anak Orang Asli yang terus tercicir daripada arus pendidikan negara. Kajian ini turut menyerlahkan keperluan mendesak untuk merapatkan jurang antara dasar negara dan realiti pelaksanaan di lapangan. Semua pihak—kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat sivil—perlu berganding bahu, mendengar dengan lebih teliti suara komuniti, dan bertindak secara tuntas serta berkesan,” kata Y.A.M. Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Pengerusi YSD.
Saranan utama daripada laporan ini termasuk merangka semula naratif pendidikan supaya menumpukan kepada kekuatan, budaya, dan nilai anak-anak Orang Asli, serta memastikan komuniti, khususnya ibu bapa, terlibat secara aktif dalam membentuk dan melaksanakan dasar pendidikan. Selain itu, laporan ini turut menekankan kepentingan mewujudkan kerjasama jangka panjang antara semua pemegang taruh, termasuk kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan komuniti Orang Asli sendiri, sambil menangani halangan sistemik seperti isu pengangkutan, cabaran sosioekonomi, dan capaian kepada perkhidmatan asas seperti air bersih.
Projek Pendidikan Terangkum untuk Orang Asli ini dijalankan selama lebih lima tahun sejak November 2020 dan berasaskan pendekatan mengutamakan komuniti yang mendalam. Ia dimulakan dengan penilaian keperluan pemegang taruh secara menyeluruh dan berkembang menjadi program rintis yang direka bentuk untuk dilaksanakan bersama komuniti. Para pelaksana projek bekerjasama rapat dengan tokoh tempatan seperti Tok Batin dan ibu bapa bagi memastikan setiap intervensi berasaskan kepercayaan, hubung kait budaya, dan pemilikan bersama.
“Projek ini mencerminkan komitmen IDEAS untuk memastikan pendidikan terangkum bukan sekadar satu istilah dasar, tetapi satu pengalaman sebenar untuk semua kanak-kanak, termasuk mereka daripada komuniti yang telah lama terpinggir. Dengan mendengar dan bekerjasama dengan suara Orang Asli, kami mengambil langkah penting untuk membayangkan semula pendidikan yang adil, berasaskan konteks tempatan, dan bersedia menghadapi masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari.
Kajian ini turut menggunakan kaedah penyelidikan melibatkan penyertaan Orang Asli seperti kaedah ‘suara melalui gambar’ (photovoice) dan ‘perkongsian berkelompok’ (sharing circles) untuk membolehkan pelajar dan ibu bapa Orang Asli menyuarakan pandangan mereka. “Di Malaysia, kaedah penyelidikan berteraskan komuniti Orang Asli masih terhad, dan kami berharap untuk mengembangkan kaedah ini supaya suara Orang Asli dimasukkan dalam perancangan dan intervensi yang paling memberi kesan kepada mereka,” terang Dr Suria Angit, Felo Kanan IDEAS dan penyelidik utama projek ini.
“Walaupun laporan Aktivis di Lapangan mengiktiraf bahawa dasar pendidikan telah beralih ke arah intervensi yang lebih bersasar untuk kanak-kanak Orang Asli, laporan Suara dari Lapangan mendapati masih wujud keperluan untuk penyelarasan dan sokongan yang lebih kukuh di peringkat akar umbi bagi meningkatkan keterangkuman, terutamanya dalam konteks komunikasi antara para pendidik dan ibu bapa,” tambah Dr Suria.
IDEAS berharap pandangan yang dikongsi melalui penerbitan ini dapat menjadi sumber penting buat para penggubal dasar, penyumbang dana, pendidik, dan organisasi akar umbi dalam merealisasikan impian pendidikan terangkum, adil, dan berpaksikan komuniti untuk semua.
Layari laman web kami untuk memuat turun laporan ini. (Pautan dibawah)
— TAMAT —
Yayasan Sime Darby merupakan sebuah yayasan korporat yang disokong oleh Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad dan Sime Darby Property Berhad. Ditubuhkan pada tahun 1982, yayasan ini memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu Pendidikan, Alam Sekitar, Komuniti & Kesihatan, Sukan, dan Seni & Budaya. Di bawah pimpinan Majlis Tadbir Urus, yayasan ini diuruskan oleh pasukan yang berdedikasi dan bekerjasama rapat dengan ketiga-tiga syarikat penderma YSD dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama. Sejak penubuhannya, yayasan ini telah melebarkan sayapnya daripada menawarkan biasiswa kepada individu yang cemerlang dan berkelayakan, kepada membiayai pelbagai program pemuliharaan alam, pemerkasaan komuniti, dan pembangunan yang berimpak tinggi. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.yayasansimedarby.com
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my