Publications > Media Statements

IDEAS: Skor Malaysia yang merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 buktikan keperluan untuk memberikan keutamaan kepada melaksanakan Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP)

Kuala Lumpur, 29 Januari 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) merasa gusar dengan kejatuhan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020. Tahun 2020 merupakan tahun yang sukar, dengan 2/3 negara seluruh dunia mendapat skor lebih rendah daripada 50/100. Sungguh pun begitu, prestasi mengecewakan Malaysia ini merupakan satu isyarat kepada negara untuk kembali memberikan tumpuan dan mengutamakan pembaharuan institusi serta pelaksanaan Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP).

“Transparency International-Malaysia (TI-M) dengan jelas menggariskan penangguhanpembaharuan institusi sebagai satu faktor yang mempengaruhi kemerosotan dalam kedua-dua kedudukan dan skor. Walaupun usaha Perdana Menteri dalam memastikan komitmen penuh untuk memenuhi pelaksanaan NACP, kami tidak melihat sebarang langkah penting ke arah pelaksanaannya. Kami menyeru pihak kerajaan untuk memberikan satu pelan pelaksanaan yang konkrit supaya NACP ini maju ke hadapan.

“Tambahan pula, kemajuan berkenaan Akta Pendanaan Politik dan Perolehan Kerajaan telahterhenti, dan pengurangan kuasa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah mendapat kritikan dari kumpulan-kumpulan masyarakat sivil. Pihak kerajaan perlu meletakkan keutamaan tertinggi kepada pembaharuan-pembaharuan ini, atau kedudukan Indeks Persepsi Rasuah kita akan terus merosot. Hal ini telah menghakis kepercayaan awam terhadap institusi- institusi negara, lalu akan memberi kesan kepada sentiment perniagaan dan keyakinan para pelabur,” ulas Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh.

“Kesan COVID-19 serata dunia telah menekankan lagi keperluan terhadap ketelusan dan amalan tadbir urus baik. Indeks Persepsi Rasuah 2020 menunjukkan bahawa rasuah yang berterusan melemahkan system penjagaan kesihatan dan menyumbang kepada kemunduran demokrasi di seluruh dunia. Di Malaysia, bukan sahaja perebutan kuasa telah menyumbang kepada peningkatan jangkitan COVID19, seperti yang dilihat selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, malah kekecewaan juga kelihatan kerana hukuman pelanggaran tatacara pengendalian piawai (SOP) yang berat sebelah. Lebih merisaukan, Parlimen juga telah digantung kerana Pengisytiharan Darurat. Saya merasa amat gusar COVID-19 berterusan digunakan sebagai alasan untuk melemahkan kedaulatan undang-undang serta semak dan imbang dalam demokrasi Malaysia,” tambah Tricia.

IDEAS menggesa kerajaan untuk memberi sepenuh perhatian terhadap keputusan Indeks Persepsi Rasuah dan mengambil tindakan tegas dalam melaksanakan saranan yang dikemukakan oleh TM-I. Menentang rasuah harus menjadi keutamaan kepada mana mana negara, dan amat mustahak pada ketika ini terutamanya tatkala piawaian tadbir urus baik berhubungkait secara langsung dengan kesihatan awam serta membina semula ekonomi.

— TAMAT —-

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di sini

2021-01-29T18:11:25+08:00 29th January 2021|Media Statements|Comments Off on IDEAS: Skor Malaysia yang merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 buktikan keperluan untuk memberikan keutamaan kepada melaksanakan Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP)