KUALA LUMPUR, 11 Mac 2024: IDEAS mendesak kerajaan untuk menyelaraskan operasi dengan menutup anak syarikat yang berlebihan dan tidak cekap dalam menguruskan kos yang bersaing dengan perniagaan kecil, berikutan Laporan Ketua Audit Negara yang baru dikeluarkan mendedahkan kerugian kewangan besar dalam anak syarikat agensi persekutuan. Laporan tersebut menggariskan angka yang membimbangkan, anak syarikat di bawah lima agensi persekutuan pada tahun 2022 menunjukkan kerugian hampir RM2 bilion walaupun mencatatkan pelaburan tertinggi sebanyak RM54.574 bilion. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sebagai contoh, mengalami kerugian sebanyak RM1 bilion, menekankan keperluan mendesak untuk meninjau semula secara menyeluruh dan menggabungkan semula agensi dan anak syarikat kerajaan untuk memastikan kecekapan dan mengelakkan kemunduran kewangan yang tidak perlu.
IDEAS khususnya bimbang akan kelestarian FELDA dan PR1MA. “Tanpa penyusunan semula yang signifikan, peningkatan kerugian dan kebergantungan kepada bantuan kewangan akan menjadi beban jangka panjang kepada kerajaan dan pada akhirnya, pembayar cukai,” kata Alissa Rode, Pengurus Kanan IDEAS. IDEAS menekankan pertanggungjawaban terhadap salah urus, mencadangkan bahawa agensi yang menghadapi isu berulang dalam bidang audit utama dipantau rapat oleh Parlimen dan melalui Papan Susulan Laporan Ketua Audit Negara yang telus kepada orang awam.
IDEAS tidak bersetuju bantuan kewangan dan jaminan kerajaan persekutuan yang berterusan sebagai penyelesaian masalah kerana ketidaklestarian kewangan dan kesan negatif terhadap penarafan kredit kerajaan. Sebaliknya, IDEAS menekankan keperluan pengawasan yang lebih ketat daripada kedua-dua cawangan eksekutif dan legislatif untuk memastikan tadbir urus yang baik dan tanggungjawab kewangan dalam agensi kerajaan dan anak syarikat mereka.
“IDEAS menyeru kerajaan untuk mengurus secara aktif risiko kewangan daripada anak syarikat dan menggabungkan aktiviti tidak relevan atau berisiko tinggi yang menyimpang daripada objektif dasar sebenar agensi. Agensi harus berhenti menjalankan aktiviti pasaran tidak berkeperluan yang lebih baik dilakukan oleh sektor swasta,” kata Alissa.
IDEAS mencadangkan agar kerajaan memberikan kejelasan tambahan mengenai langkah-langkah yang akan diambil untuk meningkatkan profesionalisme lembaga pengarah dan menjadikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap prestasi agensi. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) juga harus diberikan peranan aktif untuk memantau kementerian-kementerian tertentu dan agensi-agensi di bawah mereka. Malah, JKPK seharusnya diberikan kuasa untuk memanggil ahli lembaga pengarah agensi-agensi ini. “Parlimen juga sepatutnya menerima pelan pengurangan risiko daripada agensi-agensi yang berisiko gagal membayar jaminan kerajaan, seperti yang diperlukan oleh Seksyen 24 Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (PFFRA),” ulas Alissa. PFFRA telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2024.
IDEAS juga ingin menekankan kepatuhan yang rendah secara konsisten dalam menghasilkan penyata kewangan tepat pada masanya oleh pihak yang diaudit, mendedahkan risiko yang signifikan kepada pemahaman kerajaan tentang kedudukan kewangan badan berkanun dan risiko yang berkaitan. Laporan tersebut menekankan bahawa hanya 11 daripada 134 agensi yang telah mengemukakan penyata kewangan yang diaudit kepada Parlimen, dan empat agensi persekutuan menunggu untuk diaudit. Menurut undang-undang, Parlimen sepatutnya menerima laporan akaun yang diaudit dalam tempoh enam bulan selepas akhir tahun kewangan untuk badan-badan berkanun. Alissa Rode menyatakan, “kes salah urus sebegini menimbulkan keperluan yang mendesak untuk meningkatkan pematuhan kewangan, pelaporan tepat pada masanya, dan peningkatan profesionalisme lembaga pengarah untuk memastikan pengurusan dan kecekapan yang lebih baik dalam perusahaan negara”.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my