• About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • Home
  • All Posts
  • News & Opinion Media Statement
  • IDEAS: Selepas setahun, perlu usaha yang lebih giat untuk laksana pembaharuan politik dan ekonomi untuk harungi landskap global yang lebih mencabar

IDEAS: Selepas setahun, perlu usaha yang lebih giat untuk laksana pembaharuan politik dan ekonomi untuk harungi landskap global yang lebih mencabar

November 27, 2023
Categories
  • Media Statement
Tags
  • Anwar Ibrahim
  • Bahasa Melayu
  • democracy
  • Malaysia
  • Malaysia Madani
  • Prime Minister

Kuala Lumpur, 27 November 2023: Selepas setahun berkhidmat, penilaian Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) terhadap prestasi kerajaan Madani adalah bercampur aduk. Beberapa komitmen positif terhadap reformasi institusi penting telah dilaksanakan, sementara beberapa janji tidak dilaksanakan. Dari segi ekonomi, walaupun langkah-langkah ke arah rasionalisaso subsidi dan reformasi perdagangan telah dilakukan, yang merupakan kunci ke arah merangsang pertumbuhan ekonomi, tumpuan perlu diberikan untuk meluaskan langkah-langkah ini, dengan kebimbangan dalam pelaksanaan dan usaha pembangunan kapasiti yang terhad di lapangan.

Bagi mengiktiraf usaha kerajaan, terdapat kemajuan yang dicapai dalam reformasi institusi semasa tahun pertama pentadbiran, seperti penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (PFFR), pengenalan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Parlimen, dan peranan yang lebih besar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) dalam mendapatkan maklum balas daripada organisasi masyarakat sivil (CSO) dan agensi kerajaan. Reformasi yang sedang dirancang termasuk pemisahan jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Pendanaan Politik (PFA), penggubalan Akta Perolehan Kerajaan, Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, serta pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA). Malah, kerajaan telah menetapkan jangka masa untuk beberapa agenda reformasi ini: Akta Pendanaan Politik dijangka diluluskan menjelang akhir tahun 2025, sementara Akta Perolehan Kerajaan akan dibentangkan pertengahan tahun hadapan. Kerajaan juga perlu mengumumkan garis masa yang jelas untuk usaha pembaharuan lain.

“Bagaimanapun, tindakan kerajaan yang tidak melaksanakan beberapa reformasi yang dijanjikan kepada rakyat menggusarkan kami. Satu contoh yang ketara adalah terhentinya usaha reformasi untuk Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama. IDEAS mengulangi seruan kami  kepada Perdana Menteri untuk menetapkan pembahagian peruntukan CDF yang telus, saksama, dan bertanggungjawab kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik dan gabungan. Menginstitusikan pengagihan CDF melalui undang-undang akan memakan masa; kami mencadangkan agar kerajaan memulakan satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pihak pembangkang yang akan menjamin peruntukan yang saksama sebagai pertukaran untuk kestabilan politik. Kami percaya bahawa hal ini adalah suatu keperluan, kerana menjadikan sokongan sebagai imbalan kepada peruntukan CDF, walaupun masih dalam batasan Undang-Undang Anti-Lompat Parti, bermakna pertukaran wang sebagai galang ganti kepada sokongan politik masih berlaku. Selain itu, mengekang peruntukan adalah satu penentangan terhadap cita-cita reformis yang didokong oleh Perdana Menteri,” ulas Dr Tricia Yeoh, Ketua Eksekutif IDEAS.

Dalam reformasi ekonomi, dalam setahun yang lepas, beberapa langkah bertahap dalam rasionalisasi subsidi, termasuk penghentian subsidi untuk ayam dan telur, penghapusan subsidi elektrik bagi isi rumah berpendapatan tinggi, dan pelaksanaan pendekatan bertumpu untuk subsidi diesel telah dilaksanakan. Menyedari bahawa rasionalisasi subsidi sebagai suatu reformasi struktural yang penting adalah petunjuk positif terhadap komitmen kerajaan untuk memperkuat ketahanan ekonomi dan memperluas sumber pendapatan negara. Walau bagaimanapun, terdapat ruang untuk penambahbaikan dengan meluaskan mekanisme rasionalisasi terutamanya dalam menangani ketirisan dan memastikan impak yang seimbang, terutamanya untuk segmen berpendapatan rendah. “Selain itu, untuk menambah hasil kerajaan secara mampan dalam jangka sederhana, pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu dikaji semula. Ahli ekonomi Bank Dunia menekankan bahawa pada tahun 2017, GST menyumbang kira-kira 2.8% kepada KDNK. Pada tahun 2022, jumlah itu akan bersamaan dengan RM50 bilion ringgit, mengatasi kutipan SST pada tahun 2022, yang berjumlah RM31 bilion.”

“Apabila sumber pendapatan diperluaskan, perbelanjaan awam boleh dilaksanakan secara berkesan untuk mengukuhkan pelaburan dalam kepentingan awam seperti infrastruktur dan perlindungan sosial,” tegas Dr Juita Mohamad, Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan.

Berkenaan dengan reformasi perdagangan, kedua-dua Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) terus dilaksanakan – tiada pembatalan keputusan yang dibuat, sementara perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN – China untuk merangkumi lebih banyak komitmen seperti perlindungan alam sekitar dan e-dagang telah bermula. Walau bagaimanapun, IDEAS ingin melihat rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah (EU) – Malaysia juga dijalankan. Tambahan pula, lebih banyak usaha perlu dilakukan dari segi pelaksanaan dan pembangunan kapasiti untuk memastikan pemain industri tempatan mendapat manfaat daripada peningkatan capaian pasaran. Selain itu, ketelusan yang lebih baik diperlukan dalam pelaporan pelaburan yang dicadangkan berbanding pelaburan sebenar kepada orang awam, pemain industri, dan pihak pengawalseliaan, kerana hal ini akan mengurangkan ketidakseimbangan maklumat dan dapat meningkatkan kecekapan pelaburan dalam jangka panjang,” tambah Dr Juita.

Tahun 2024 akan membawa cabaran yang lebih besar kepada Malaysia, ketika kita bergelut dengan kemungkinan perubahan besar di peringkat global, dengan Indonesia, India, dan Amerika Syarikat – negara demokrasi terbesar di dunia – akan menghadapi pilihan raya. Prospek konflik yang  meningkat di Timur Tengah, dan perang perdagangan AS – China yang sedang berlangsung juga tidak memberikan harapan yang baik. Malaysia perlu bersedia dengan mengukuhkan daya tahan demokrasi, ekonomi, dan iklim pelaburan negara.

— TAMAT —

Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Aira Azhari
Pengurus Kanan
T: 012-6646059 | E: aira@ideas.org.my

Share

Related posts

October 12, 2025

IDEAS: Budget 2026 Balances Pressures Prudently but Lacks Serious Fiscal Reform


Read more
October 12, 2025

IDEAS: Belanjawan 2026 Berhemah dalam Imbangi Tekanan Namun Kurang Reformasi Fiskal


Read more
August 27, 2025

IDEAS: Proposed Government Procurement Bill Falls Short of Safeguards Needed to Protect Public Funds


Read more

Comments are closed.

Categories

  • Digital Media
    • Infographic
    • Podcast
    • Video
  • News & Opinion
    • Blog
    • Media Statement
    • News
    • Opinion

Follow Us

Contact Us

  • +603 – 2070 8881 / 8882
  • +603 – 2070 8883
  • admin@ideas.org.my

Sign up for our newsletter

© Copyright - 2025 | ideas.org.my | Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)