Kuala Lumpur, 28 JULAI 2023 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memuji penyertaan United Kingdom (UK) ke dalam Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP), mengiktirafnya sebagai langkah penting ke arah mengukuhkan hubungan perdagangan. IDEAS mengalu-alukan lebih ramai rakan perdagangan untuk mengambil bahagian dan menerima CPTPP. Selain itu, IDEAS menggesa kerajaan Malaysia menyediakan pelan tindakan bagi pelaksanaan penuh perjanjian perdagangan komprehensif ini bagi merealisasikan faedahnya dalam meningkatkan aktiviti ekonomi di negara ini.
CPTPP telah dinamakan sebagai perjanjian perdagangan penting dengan implikasi besar bagi rantau Asia-Pasifik dan rantau luarnya. CPTPP mewakili perjanjian perdagangan bebas mega dengan 11 penandatangan, yang kesemuanya adalah negara Asia Pasifik yang secara kolektif menyumbang sebanyak 13 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global. Dengan mengurangkan halangan kepada perdagangan barangan dan perkhidmatan dalam kalangan negara anggota, CPTPP menyasarkan untuk mewujudkan persekitaran perdagangan yang lebih lancar dan bersepadu di rantau ini. CPTPP melangkaui sekadar penghapusan halangan tarif dan levi import, dengan tanggungjawab bersama dalam pelbagai isu, termasuk dasar alam sekitar, piawaian buruh, ekonomi digital, pelaburan dan peraturan makanan.
Sebagai negara yang menandatangani CPTPP, Malaysia telah pun mengambil langkah ke arah melaksanakan perjanjian itu dan akan mendapat manfaat yang ketara daripada peningkatan aliran perdagangan dan pelaburan. Menurut laporan Analisis Kos-Faedah yang dihasilkan pada tahun 2022, ratifikasi Malaysia diunjurkan akan menyaksikan KDNK dan pelaburan meningkat masing-masing sebanyak AS$56.5 bilion dan AS$112.3 bilion, sepanjang tempoh 2021 hingga 2030, manakala Malaysia akan menikmati lebihan dagangan berterusan sebanyak AS$53.5 bilion. Hal ini akan membawa kepada peningkatan yang ketara kepada Malaysia, dengan unjuran peningkatan sebanyak AS$15.1 bilion pada 2030.
Selain itu, tiga tahun selepas keluar daripada Kesatuan Eropah, United Kingdom telah berjaya menandatangani CPTPP, dan kini negara tersebut merupakan sebahagian daripada konsortium dengan 11 buah negara lain. Penambahan United Kingdom baru-baru ini sebagai penandatangan terbaharu kepada CPTPP adalah petunjuk jelas tentang kepentingan pakatan perdagangan ini yang semakin meningkat di peringkat global.
Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan di IDEAS, menegaskan bahawa “dengan penyertaan UK ke dalam CPTPP, negara anggota seperti Malaysia dapat mengembangkan pasaran di luar sempadan mereka. CPTPP akan memberi peluang kepada perniagaan tempatan kita. Tambahan pula, kami menganggapnya sebagai pencapaian penting bahawa Malaysia dapat merundingkan secara berkesan penghapusan tarif ke atas minyak sawit Malaysia sebanyak 12 peratus pada tahun pertama kemasukannya dengan UK.”
Melalui perjanjian perdagangan bebas, persaingan diberdayakan dan hal ini mewujudkan pengeluar yang cekap, yang memberi manfaat kepada pengguna domestik yang kini boleh mengakses barangan dan perkhidmatan yang lebih murah dan berkualiti tinggi. Pengeluar domestik juga akan dapat mengakses pasaran asing yang lebih besar, meningkatkan potensi pendapatan mereka. IDEAS telah menjalankan kajian pada tahun 2020, menilai kesan ekonomi ke atas Malaysia jika rakan kongsi berpotensi lain seperti Taiwan menyertai CPTPP dengan menggunakan konsep ekonomi luas yang dinyatakan di atas. Dapatan kajian itu menunjukkan implikasi makroekonomi yang sebahagian besarnya adalah positif; KDNK Malaysia akan meningkat sebanyak 0.15 peratus, atau lebih AS$500 juta setahun, dalam jangka sederhana hingga panjang. Eksport dan import diunjurkan terus meningkat, dengan guna tenaga keseluruhan dianggarkan meningkat sebanyak 0.13 peratus lagi, dengan hampir 20,000 orang tambahan pekerja.
IDEAS turut berpendapat bahawa, dengan UK sebagai ahli CPTPP, adalah diharapkan bahawa hubungan perdagangan dapat diperkukuh dari semasa ke semasa dan amalan terbaik dari UK dan negara anggota lain boleh menjadi panduan untuk Malaysia apabila ia melengkapkan proses pelaksanaannya dan menterjemahkan perjanjian itu kepada undang-undang dan garis panduan yang jelas dalam beberapa tahun akan datang.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dr Juita Mohamad
Pengarah Penyelidikan;
Pengarah, Unit Ekonomi dan Perniagaan
T: +603 2070 8881/8882 | E: juita@ideas.org.my