Kuala Lumpur, 15 November 2023: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru kerajaan untuk memuktamadkan peruntukan Dana Pembangunan Kawasan (CDF) untuk menstabilkan politik di Malaysia serta menyamaratakan peluang di antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Dalam menghadapi perkembangan terkini mengenai pertukaran sokongan empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Perdana Menteri, kami semakin bimbang bahawa peruntukan CDF yang tidak saksama di antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan terus menjadi faktor penyumbang kepada ketidakstabilan dalam sistem politik kita. Untuk mencapai keyakinan ekonomi dan pelaburan, sistem politik yang stabil adalah penting,” kata Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
Malaysia memerlukan undang-undang yang memuktamadkan pembahagian peruntukan CDF yang telus, adil, dan bertanggungjawab kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik. IDEAS sedang bekerjasama dengan Bersih dan mengadakan sesi libat urus untuk mendapatkan sokongan daripada parti politik di peringkat negeri tentang bagaimana peruntukan CDF boleh ditambah baik. Beberapa cadangan kami termasuk memuktamadkan formula yang akan memastikan pembahagian yang saksama serta keperluan pelaporan dan pengisytiharan oleh semua wakil rakyat untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam penggunaan dana tersebut.
“Salah satu langkah segera yang boleh diambil untuk memastikan CDF yang sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira gabungan politik adalah untuk memulakan dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang mengandungi keperluan ini – bersama-sama dengan komitmen reformasi lain – antara kerajaan dan pembangkang, sebagaimana sebelum ini yang ditandatangani di bawah bekas Perdana Menteri Ismail Sabri pada September 2021. Kestabilan politik hanya dapat dipastikan apabila ahli politik di kedua-dua belah pihak diberikan layanan yang adil dan diikat kepada piawaian kebertanggungjawaban yang sama. Malaysia tidak mampu menanggung ketidakstabilan politik yang berterusan, maka amat penting bagi kerajaan untuk melaksanakan satu kerangka kerja CDF yang akan mengikat semua kerajaan pada masa hadapan, tanpa mengira gabungan parti.” kata Dr Yeoh sebagai kesimpulan.
Muat Turun Laporan Penuh Di Sini
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Aira Azhari
Pengurus Kanan
T: 012-6646059 | E: aira@ideas.org.my