Kuala Lumpur, 3 Jun 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kebimbangan akan keputusan terkini kerajaan untuk menghentikan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan bermula 1 Jun 2022 sebagai satu penyelesaian jangka pendek dalam menangani isu kekurangan bekalan ayam di Malaysia. Keputusan tersebut akan menyebabkan pelbagai kesan negatif tidak diingini terhadap pengguna Malaysia dan ekonomi yang lebih besar seperti harga yang lebih tinggi untuk ayam import serta kehilangan pasaran penting dalam jangka panjang.
Di kala mengalami ketidaktentuan, negara seperti Malaysia cenderung ke arah dasar-dasar makanan sara diri seperti larangan mengeksport makanan agar dapat memberi keutamaan kepada keperluan sendiri berbanding semangat kerjasama serantau. IDEAS percaya bahawa dasar-dasar sebegini adalah dasar pandang dalam dan sering kali menyebabkan gangguan terhadap pasaran tempatan serta dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, mengulas, “Larangan mengeksport ayam yang baru diperkenalkan ini berpotensi merosakkan industri secara keseluruhan, terutamanya kepada para penternak ayam. Eksport ayam Malaysia telah meningkat daripada 40.19 juta ekor ayam pada tahun 2007 kepada 59.08 juta ekor ayam pada tahun 2020. Apabila kerajaan menetapkan harga siling RM8.90 untuk seekor ayam agar harga kekal rendah, pembekal tempatan bergantung pada eksport ke negara-negara seperti Singapura, Thailand, Jepun, Hong Kong dan Brunei untuk menampung kos serta memastikan mereka dapat kekal beroperasi.”
IDEAS memberi amaran bahawa larangan eksport ini akan menyebabkan penternak ayam mengalami kerugian ketara kerana margin keuntungan yang rendah disebabkan oleh kebergantungan penuh kepada jualan tempatan yang tidak mampu menampung kos pengeluaran yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan ramai pembekal gulung tikar dan akhirnya merosakkan industri ayam secara keseluruhannya. Malah, perancangan pelaburan dan pengembangan dalam sektor ini kemungkinan akan terbantut pada masa hadapan jika kerajaan memotong akses terhadap pasaran-pasaran yang lumayan disebabkan penggunaan penyelesaian jangka pendek apabila kekurangan bekalan makanan berlaku. Larangan eksport juga akan menyebabkan lencongan perdagangan oleh negara-negara pengimport seperti Singapura, lalu akan menjejaskan industri tempatan untuk jangka panjang kerana kehilangan satu pasaran penting. Larangan mengeksport secara terburu-buru akan memburukkan lagi kedua-dua bekalan ayam tempatan dalam jangka masa panjang dan juga keselamatan makanan kita.
Kita dapat melihat baru-baru ini bahawa pelaksanaan larangan mengeksport telah menyebabkan beberapa kesan negatif. Ketika pandemik pada tahun 2020, Vietnam dan Kemboja telah melaksanakan larangan mengeksport beras. Hal ini telah menyebabkan kenaikan kos mengimport dan harga beras import yang menjejaskan ramai pengguna dan isi rumah. Sebagai tambahan, Indonesia baru-baru ini telah mengumumkan satu larangan mengeksport minyak kelapa sawit yang kemudiannya telah ditarik semula. Kadar tukaran wang Indonesia menjadi lemah setelah pengumuman pelaksanaan larangan eksport tersebut dilakukan kerana pasaran menjangkakan hasil eksport akan menurun. Di sebalik percubaan melindungi rakyat sendiri, larangan eksport tersebut menyebabkan kenaikan kos import melalui penyusutan nilai mata wang lalu membawa kepada lebih banyak kenaikan harga barang. Perkara yang sama juga boleh berlaku kepada rakyat Malaysia.
Juita Mohamad, Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan IDEAS berkata, “Larangan eksport dilaksanakan secara meluas ketika pandemik, terutamanya untuk barangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dalam kalangan negara-negara anggota Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) terpilih. Sehingga kini, larangan eksport tersebut masih lagi berkuat kuasa walaupun kapasiti pengeluaran telah dipertingkatkan dan memenuhi permintaan tempatan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa langkah-langkah sebegini amat mudah untuk diperkenalkan oleh kerajaan tetapi pembatalannya tidak berlaku dengan segera walaupun hasil pengeluaran telah meningkat dan permintaan tempatan berjaya dipenuhi.”
Dalam jangka masa pendek, IDEAS menyarankan agar Malaysia dapat menggunakan rakan kongsi dua hala dan juga rakan kongsi pelbagai hala yang sedia ada serta rakan dagang yang berpotensi untuk bekerjasama dengan lebih lanjut agar dapat memastikan keselamatan makanan dapat dicapai bukan sahaja ketika waktu senang malah ketika ketidaktentuan melanda berbanding hanya mengambil pendirian pandang dalam untuk menyelesaikan isu keselamatan makanan ini.
Pemansuhan lesen import (AP) juga merupakan satu langkah yang baik untuk memastikan bekalan bahan makanan yang mencukupi. Namun begitu, tanpa pemansuhan halangan tarif dan bukan tarif dalam jangka masa terdekat, seperti mengurangkan duti import, memperkemas dan mempercepat proses pensijilan, bekalan makanan dan ayam semasa di Malaysia tidak akan meningkat dengan ketara. Untuk jangka panjang, Malaysia harus menambah baik aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor teknologi makanan dan pertanian supaya kapasiti, produktiviti, dan pertumbuhan hasil tanaman dapat dibina dari semasa ke semasa untuk memberikan lebih sokongan kepada keselamatan makanan Malaysia pada masa hadapan.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Dr Juita Mohamad, Pengarah, Unit Ekonomi dan Perniagaan
Pemangku Pengarah Penyelidikan
T: +603 2070 8881/8882 | E: juita@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my