Kuala Lumpur, 6 Februari 2024: IDEAS memandang dengan penuh kebimbangan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap kes SRC bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak, yang mana beliau telah disabitkan di mahkamah. Pada 2 Februari 2024, diumumkan bahawa hukumannya telah dikurangkan separuh daripada 12 kepada 6 tahun penjara, dan denda yang dikenakan ke atasnya dikurangkan kepada RM50 juta ringgit daripada RM210 juta ringgit.
Hukuman itu dijatuhkan atas kesalahan bekas Perdana Menteri itu menerima RM42 juta kerana mendapatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion yang diperoleh SRC International Sdn Bhd (SRC) daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP). Pinjaman itu bertujuan untuk SRC, anak syarikat milik penuh 1MDB, menjadi kenderaan strategik untuk memegang kepentingan utama dalam sumber utama seperti arang batu, aluminium, uranium dan besi serta minyak dan gas (O&G). Wang RM42 juta itu dipindahkan melalui beberapa lapisan yang kompleks ke dalam akaun bank peribadinya dan digunakan, antaranya untuk membayar kad kredit, dan untuk membiayai badan amal dan aktiviti politik.
Pinjaman sebanyak RM4 bilion itu diberi sebagai satu jaminan kerajaan oleh kerajaan persekutuan yang diketuai Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, yang juga merupakan Pengerusi 1MDB dan Penasihat Emeritus SRC International. Sehingga 28 Mac 2022, pinjaman ini telah dibayar sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia menggunakan wang pembayar cukai. SRC adalah satu kes salah guna kuasa dan rasuah oleh pegawai awam yang sepatutnya menjadi penjaga dana awam. Hal ini juga menjadi peringatan yang tepat pada masanya bahawa mana-mana pinjaman perusahaan milik negara (SOE) yang diberi jaminan kerajaan berisiko menanggung hutang jika perusahaan tersebut gagal.
Keputusan untuk mengurangkan hukuman memberi isyarat bahawa penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam mudah ditoleransi. Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Dr Tricia Yeoh menyatakan, “Orang ramai melihat bahawa kedua-dua Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara, yang dilantik oleh Perdana Menteri, menganggotai Lembaga Pengampunan. Dengan keanggotaan mereka, orang ramai mungkin menganggap bahawa penangguhan hukuman itu akan dipertimbangkan dengan persetujuan daripada kepimpinan politik semasa. Keputusan itu secara langsung bercanggah dengan komitmen kerajaan Madani untuk menangani rasuah, di mana sebenarnya Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim telah bercita-cita tinggi menetapkan sasaran untuk Malaysia mencapai kedudukan 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International menjelang tahun 2033. Jenayah yang dilakukan Najib adalah berkaitan langsung dengan skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara. Pengurangan hukuman itu berkemungkinan akan membalikkan langkah positif yang dicapai Malaysia baru-baru ini dalam ranking terbaharunya, setelah Malaysia naik empat anak tangga ke kedudukan ke-57.”
Malah, keputusan itu mempunyai akibat yang serius terhadap sebuah pentadbiran yang telah menyatakan secara terbuka hasratnya untuk melaksanakan pembaharuan institusi. Hal ini akan segera menghakis kepercayaan orang ramai terhadap keupayaan kerajaan untuk menegakkan pendirian moralnya dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan tadbir urus yang baik. Di samping itu, hal ini akan memberi implikasi negatif terhadap persepsi komuniti perniagaan antarabangsa. Antara komitmen reformasi kerajaan ini ialah pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penggubalan Akta Perolehan Kerajaan, Kebebasan Maklumat, dan Pendanaan Politik, serta meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
Melangkah ke hadapan, IDEAS menyeru pihak kerajaan untuk memberikan kejelasan mengenai kedudukannya terhadap demokrasi dan tadbir urus yang baik. Secara khusus, cara kerajaan memperbaharui hasrat dan usaha ke arah memerangi rasuah. Dr Yeoh menyimpulkan, “Sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk serius memerangi rasuah, Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan yang baharu, yang dijadualkan dilancarkan tidak lama lagi, harus menyatakan dengan jelas perancangannya untuk mengukuhkan institusi negara supaya kes 1MDB dan SRC, yang telah banyak menyusutkan sumber kewangan negara dan merosakkan reputasi antarabangsa kita dengan teruk, tidak akan berlaku lagi.”
— TAMAT—
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Aira Azhari
Pengurus Kanan
T: 012-6646059 | E: aira@ideas.org.my