Kuala Lumpur, 19 Ogos 2025: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah menerbitkan kertas kerja dasar terbaharu bertajuk Penetapan Harga Karbon untuk Industri Keluli Malaysia: Merangsang Pertumbuhan Mampan, yang menganggarkan RM200 setiap tan karbon dioksida, CO₂, sebagai harga penanda aras bagi menjadikan pengeluaran keluli rendah karbon berdaya komersial di Malaysia. Laporan ini mengesyorkan pelaksanaan segera tetapi berfasa bagi penetapan harga karbon untuk mencapai penanda aras ini menjelang tahun 2030.
Berdasarkan penyelidikan terdahulu IDEAS (Kertas Kerja Dasar IDEAS No. 79: Memimpin Perubahan Iklim di ASEAN: Penentuan Harga Karbon untuk Industri Keluli Malaysia, 2024), laporan baharu ini menilai profil pelepasan karbon sektor keluli Malaysia masa kini dan membincangkan pilihan reka bentuk dasar, termasuk sistem perdagangan pelepasan karbon (ETS). Cadangan ini akan menyokong pelaksanaan harga karbon oleh kerajaan untuk sektor keluli, sekali gus membantu Malaysia memenuhi komitmen iklim nasionalnya serta mengekalkan daya saing dalam ekonomi global yang semakin pesat melaksanakan nyah karbon.
Sektor keluli Malaysia telah menjadi jauh lebih intensif karbon dalam tempoh sedekad yang lalu, sekali gus menjejaskan matlamat iklim negara. Pada tahun 2014, pengeluaran keluli hanya menggunakan teknologi relau arka elektrik (EAF) yang rendah pelepasan karbon, namun kini 70 peratus pengeluaran berasaskan kaedah relau bagas (BF) yang tinggi pelepasan karbonnya. Kadar putara pelepasan karbon pengeluaran keluli telah meningkat lebih daripada empat kali ganda, menggugat sasaran pelepasan karbon sifar bersih Malaysia dan mendedahkan sektor ini kepada langkah perdagangan baharu seperti Carbon Border Adjustment Mechanism (CBAM) oleh Kesatuan Eropah.
“Harga karbon yang tinggi berpotensi mengubah hala sektor keluli Malaysia ke arah laluan rendah pelepasan karbon dan bernilai tinggi. Ia boleh membuka ruang kepada teknologi baharu, mengurangkan pendedahan kepada sekatan perdagangan yang sedang muncul serta menjamin capaian ke pasaran yang pantas menuju nyah karbon. Malah, ia boleh menjana sehingga RM3 bilion setahun dalam hasil kerajaan, yang boleh dilaburkan semula untuk menyokong proses penyesuaian oleh pengeluar dan pengguna keluli. Kami juga mendapati kesan terhadap sektor hiliran adalah sederhana dan boleh diurus,” kata Prof Madya Dr Renato Lima de Oliveira, penulis bersama laporan tersebut dan Felo Kanan di IDEAS.
“Beberapa tahun mendatang akan menjadi penentu sama ada sektor keluli Malaysia mampu bersaing dalam pasaran global rendah karbon atau berisiko ketinggalan apabila negara lain melangkah ke hadapan,” tambah Dr Pieter Stek, seorang lagi penulis bersama laporan tersebut.
Kajian ini turut memberi amaran bahawa kegagalan bertindak boleh menyebabkan pengeluar keluli berintensiti pelepasan karbon tinggi berdepan kos yang lebih tinggi serta capaian pasaran antarabangsa yang semakin terhad. Satu sistem ETS yang disesuaikan dengan konteks Malaysia dicadangkan bagi memberikan keanjalan kepada industri, isyarat pelaburan jangka panjang yang lebih jelas, serta kredibiliti dalam tadbir urus iklim. IDEAS menggesa para penggubal dasar supaya melaksanakan strategi harga karbon yang dicadangkan ini tanpa berlengah.
Untuk maklumat lanjut, muat turun laporan ini di laman web kami.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my