Publications > Media Statements

IDEAS: Pasukan Petugas Khas FELDA harus mencadangkan pembaharuan asas untuk menangani kelemahan struktur

Kuala Lumpur, 2 September 2020 – IDEAS mengalu-alukan langkah pihak kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk FELDA sebagai susulan kepada kertas putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)” yang dibentangkan di Parlimen tahun lepas. Pasukan petugas khas FELDA ini dijangka akan membentangkan dapatan mereka awal bulan ini, termasuklah langkah-langkah untuk memastikan kelestarian FELDA serta mencadangkan model FELDA yang baharu dan lebih baik.

Pihak kerajaan perlu menjelaskan arah tuju FELDA dan status Kertas Putih tersebut. Cadangan tersebut juga perlu mengandungi satu garis masa dan pelan pelaksanaan yang jelas. “Kerajaan harus mengesahkan arah tuju dasar masa hadapan FELDA, termasuk komitmen kepada satu garis masa dan pelan pelaksanaan yang jelas”, ulas penyelidik IDEAS, Zulaikha Azmi.

IDEAS pada hari ini telah menerbitkan GLC Monitor yang bertajuk “Perubahan Struktur dan Prospek Untuk FELDA”. GLC Monitor atau pemantauan ini, ditulis bersama oleh Profesor James Chin dari Universiti Tasmania dan Zulaikha Azmi dari IDEAS, menggariskan pembangunan domestik dan antarabangsa yang memberi bayangan bahawa model FELDA semasa tidak lagi sesuai untuk bergerak ke hadapan.

Pertama, kebergantungan yang berterusan kepada eksport minyak sawit mentah (CPO) merupakan sesuatu yang tidak lestari dan mempelbagaikan produk diperlukan untuk meningkatkan ketahanan. Harga minyak sawit bergantung kepada harga pasaran dunia yang telah jatuh disebabkan penghujung kitaran besar komoditi dan permintaan minyak sawit dunia tidak dapat dijangka. Hal ini telah mempengaruhi pendapatan FELDA serta pendapatan para peneroka yang terdedah kepada perubahan harga minyak sawit.

Pengumuman terkini oleh FELDA Global Ventures (FGV) mengenai peningkatan prestasi kewangannya untuk suku kedua tahun 2020 kebanyakannya berpunca daripada harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi telah menunjukkan kebergantungannya kepada harga minyak sawit. “Turun naik harga minyak sawit mentah mempunyai impak yang sangat besar terhadap keuntungan FELDA. Malaysia telah terkesan dengan turun naik harga sebelum ini dan kami menjangkakan turun naik harga ini akan berterusan untuk satu jangka masa yang lama”, kata Profesor James Chin.

Kedua, usaha-usaha untuk mempelbagaikan pendapatan FELDA sebelum ini melalui langkah pengkomersialan tidak berjaya meningkatkan produktiviti dan hasil sosioekonomi. Strategi pengkorporatan termasuklah penyenaraian FGV di Bursa Malaysia tidak berjaya mempelbagaikan pendapatan para peneroka FELDA – sebaliknya, percambahan anak-anak syarikat FELDA telah mengakibatkan banyak pegangan dalam bidang perniagaan tidak berkaitan.

Ketiga, perubahan demografi termasuklah kebergantungan yang melampau terhadap pekerja-pekerja asing dan penghijrahan generasi muda peneroka FELDA ke kawasan bandar telah meningkatkan lagi keperluan untuk FELDA menepati objektif-objektif sosioekonominya. Model ini tidak berjaya menghasilkan satu prospek yang cukup menarik untuk generasi muda terus bekerja di ladang.

Memandang ke hadapan, kami menyeru kepada kerajaan untuk fokus kepada pembaharuan FELDA yang asas. Kertas cadangan pasukan petugas khas FELDA yang dijangkakan ini perlu pergi lebih jauh supaya dapat menangani masalah-masalah asas yang dihadapi oleh FELDA termasuk seperti yang digariskan dalam GLC Monitor yang diterbitkan IDEAS.

Mengulas perkara ini, Profesor James Chin berkata, “Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kebajikan para peneroka berbanding terus fokus kepada usaha mengekalkan FELDA. Hal ini termasuk memastikan insentif kepada inovasi dan penaiktarafan lebih sejajar. Adaptasi akan mengambil masa, oleh itu satu strategi yang lestari amat diperlukan.”

—TAMAT—

Kertas tersebut boleh dimuat turun di sini.

Untuk pertanyaan, sila hubungi Nur Zulaikha Azmi di zulaikha@ideas.org.my.

2020-09-03T10:06:53+08:00 3rd September 2020|Media Statements|Comments Off on IDEAS: Pasukan Petugas Khas FELDA harus mencadangkan pembaharuan asas untuk menangani kelemahan struktur