Publications > Media Statements

IDEAS: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin

Kuala Lumpur, 26 Februari 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Februari 2021 yang mengandungi nasihat oleh DYMM YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam perintah Darurat.

Satu perintah Darurat telah diisytiharkan pada 12 Januari 2021 yang bertujuan mengekang wabak COVID-19. Sebahagian daripada pengisytiharan arahan perintah Darurat tersebut, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah digantung.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, “Nasihat dari Agong ini tepat pada masanya. Tuanku dengan jelas menyatakan bahawa baginda bersetuju dengan perintah Darurat pada Januari lalu semata-mata sebagai satu langkah proaktif untuk mengekang wabak, dan sidang Parlimen sememangnya boleh diadakan ketika Darurat.”

Istana Negara pada hari Rabu melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin telah mengeluarkan kenyataan media menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong berpandangan Parlimen boleh kembali bersidang pada satu tarikh yang dirasakan sesuai oleh baginda berdasarkan nasihat Perdama Menteri ketika baginda menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Tambahan pula, tiada sebarang pelaksanaan undang-undang baharu di bawah perintah Darurat dalam mengekang wabak yang tidak dapat dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali menimbulkan persoalan mengapa perintah Darurat diisytiharkan,” Yeoh mengulas lagi.

“Parlimen – dan juga semua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen – perlu kembali bersidang secepat mungkin untuk memastikan para wakil rakyat dapat menjalankan tugas mereka. Jika sekolah dan persidangan dapat kembali beroperasi tidak lama lagi, tidak ada sebab mengapa Parlimen tidak boleh bersidang. Prosedur yang selamat boleh dilaksanakan supaya dapat mengelakkan penyebaran virus. Bahkan, vaksinasi juga sudah dimulakan dan Ahli-ahli Parlimen diberikan keutamaan sebahagian dari Fasa 1, semakin kurang alasan kekhuatiran terhadap jangkitan,” simpul Yeoh.

IDEAS menyeru Perdana Menteri untuk segera memanggil Parlimen bersidang sesegera mungkin kerana Parlimen merupakan satu elemen penting dalam demokrasi berparlimen, memberikan pengawasan perundangan dan tadbir urus pada saat yang penting ketika pakej rangsangan ekonomi negara dan Pelan Imunisasi Kebangsaan sedang dilaksanakan di seluruh negara.

— TAMAT —

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di  sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Amir Ridzuan Jamaludin, Penolong Pengurus, Perhubungan Luar

T: +603 2070 8881/8882 E: amir@ideas.org.my

2021-02-26T13:58:44+08:00 26th February 2021|Media Statements|Comments Off on IDEAS: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin