Publications > Media Statements

IDEAS mengucapkan tahniah kepada Malaysia dan negara anggota lain kerana mencipta sejarah menandatangani RCEP

  • IDEAS mengalu-alukan penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)
  • RCEP dapat menyediakan platform untuk pertumbuhan dan ketahanan dalam menghadapi tekanan dan ketidaktentuan ekonomi dunia
  • IDEAS menyeru kerajaan Malaysia untuk meneruskan momentum ini, dengan dasar lain termasuk meratifikasi CPTPP

Kuala Lumpur, 16 November 2020 IDEAS mengalu-alukan penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang berada dalam pembangunan selama bertahun-tahun. Perjanjian perdagangan yang meluas ini kini menyokong bloc perdagangan terbesar di dunia. Perjanjian ini memperkemas rangkaian perjanjian-perjanjian sedia ada dalam rantau ini dan menyediakan satu kerangka kerja yang jelas untuk kerajaan dan perniagaan yang beroperasi di seluruh Asia Pasifik. RCEP juga akan memberi kesan menyatukan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas (FTA) atau perjanjian-perjanjian perkongsian ekonomi komprehensif (CEP) yang ditandatangani oleh ASEAN bersama rakan kongsi tambahan ASEAN, bersama kemungkinan untuk memasukkan India ke dalam perjanjian berikut pada masa hadapan, untuk mempromosi integrasi ekonomi yang lebih besar antara 15 negara anggota. Perjanjian ini  akan menawarkan peluang-peluang pertumbuhan baharu, terutamanya kepada negara yang ekonominya kurang membangun dalam bloc tersebut. Perjanjian ini juga akan menyediakan kepada rantaian nilai serantau dan dunia lebih fleksibiliti dan pilihan untuk menyusun semula dalam menghadapi tekanan dan ketidaktentuan yang semakin membesar, termasuk sebagai kesan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat-China dan wabak COVID-19. Ini merupakan satu pencapaian yang penting kepada rantau ini dalam memberi isyarat kepada perdagangan yang lebih bebas dan kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.

Pakatan perdagangan pelbagai hala ini dijangka akan memberi kesan kepada penghapusan tariff sekurang-kurangnya 92% daripada barangan yang didagangkan antara negara anggota RCEP, dan juga untuk memastikan ketelusan yang lebih besar terhadap langkah-langkah bukan tariff (NTM). RCEP akan membantu menguatkan aktiviti-aktiviti e-perdagangan rentas sempadan dan juga pendigitalan dalam sektor logistik rantau ini untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta memastikan standard amalan perniagaan beretika dan lestari yang lebih tinggi. RCEP juga akan mempromosikan komitmen amalan terbaik persaingan dan harta intelek berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang dipersetujui untuk melindungi kedua-dua pengguna dan perniagaan dari sikap antipersaingan disamping menggalakkan pelaburan dalam inovasi.

Pasukan perundingan Malaysia telah bekerja keras untuk menyumbang kepada perjanjian bersejarah ini. Malaysia berterusan menjadi destinasi pelaburan yang menarik, walaupun ketika wabak melanda, dan penandatanganan RCEP dijangka akan membuka peluang kepada akses pasaran yang lebih besar dalam meletakkan Malaysia ke arah pemulihan yang lebih pantas. Kami menggesa pihak kerajaan dan Ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak untuk meneruskan kejayaan RCEP dengan mengambil dasar dan perubahan yang lebih bercita-cita tinggi, termasuk meratifikasi Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP), yang akan menyediakan platform pelengkap kepada RCEP. Mengulas mengenai penandatanganan perjanjian ini, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh berkata, “Perjanjian ini merupakan satu detik bersejarah, di mana bloc perdagangan terbesar dunia kini berpusat di ekonomi Asia Pasifik. Tahniah diucapkan kepada para pegawai dari Malaysia dan negara anggota lain yang telah bekerja keras selama beberapa tahun untuk sampai ke saat ini. Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk meneruskan kejayaan ini, termasuk melalui ratifikasi terhadap CPTPP, yang akan meluaskan peluang-peluang ekonomi rantau ini.”

— TAMAT —

Untuk sebarang pertanyaan, hubungi lau@ideas.org.my

2020-11-16T17:09:00+08:00 16th November 2020|Media Statements|Comments Off on IDEAS mengucapkan tahniah kepada Malaysia dan negara anggota lain kerana mencipta sejarah menandatangani RCEP