Publications > Media Statements

IDEAS mengingatkan kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap daya saing jangka panjang jika Malaysia ingin pulih sepenuhnya dari wabak

Kuala Lumpur, 8 Januari 2021 Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru kerajaan untuk memberikan respons terhadap kemerosotan ranking Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia 2020 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), di mana kedudukan Malaysia telah jatuh lima anak tangga dari kedudukan ke-22 pada tahun 2019 kepada kedudukan ke-27 pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh dalam responsnya berkata, “Kemerosotan dalam ranking ini sangat penting kerana laporan ini secara jelas menyatakan kita mempunyai prestasi yang lebih teruk dalam infrastruktur, kecekapan kerajaan, dan kecekapan perniagaan. Daya saing merupakan satu kepentingan disebabkan ia memastikan sumber-sumber yang produktif diperuntukkan kepada penggunaan yang terbaik. Penggunaan sumber secara cekap adalah satu langkah untuk maju ke hadapan andai kita mahu pulih sepenuhnya dari wabak ini. Justeru hal ini merupakan satu kemerosotan yang membimbangkan dalam persekitaran ekonomi Malaysia, dan kita seharusnya memanfaatkan fasa pemulihan yang sedang dilalui ini sebagai satu peluang untuk mengukuhkan daya saing dalam jangka masa panjang.”

Berdasarkan profil negara Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia 2020 oleh IMD ini, komponen yang paling teruk secara relatifnya merupakan perundangan perniagaan, berada pada kedudukan ke-49 dunia. “Terdapat banyak ruang untuk peningkatan yang berkaitan dengan perundangan perniagaan. Sebahagian dari kayu ukur yang IMD gunakan untuk perundangan perniagaan ialah penglibatan perusahaan milik negara (SOE) dalam ekonomi. Kajian kami yang pelbagai telah menyimpulkan bahawa ekonomi Malaysia banyak dipengaruhi oleh SOE atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Penglibatan GLC yang tinggi dalam ekonomi menimbulkan persoalan yang serius terhadap daya saing”, katanya.

Tahap daya saing Malaysia akan menjadi faktor utama dalam memastikan pemulihan sepenuhnya ekonomi dari kemelesetan yang melanda pada tahun 2020. Tricia memberi amaran bahawa kita perlu mengiktiraf wabak ini masih belum berakhir dan masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan. Kata beliau lagi, “Jika kita berharap untuk pulih sepenuhnya dari kemelesetan tahun 2020, peri mustahak untuk kita mula memikirkan keutamaan-keutamaan dasar jangka panjang yang mampu meningkatkan daya saing kita. Sebagai contoh, kajian kami sebelum ini mengenai kawal selia pematuhan kos menunjukkan beberapa peraturan perniagaan mendatangkan kos yang ketara terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) – PKS merupakan antara perusahaan yang terjejas teruk akibat wabak ini. Sekarang merupakan masa untuk mengurangkan beban mereka dengan cara mengenal pasti peraturan yang membebankan lalu menghadang keupayaan mereka beroperasi dengan cekap.”

Tricia turut menambah penambahbaikan dasar pendidikan juga sama penting dalam memastikan daya saing Malaysia setara dengan negara-negara dunia pertama. Ranking Daya Saing Dunia IMD ini mengambil kira kualiti pendidikan sesebuah negara. Beliau menambah, “Terdapat bukti kukuh bahawa wujud jurang dalam dasar pendidikan di Malaysia, dan permasalahan ini terutamanya sangat jelas dalam kalangan beberapa golongan rentan. Misalnya, Orang Asli mempunyai kadar keciciran sekolah yang tinggi serta prestasi akademik yang rendah walaupun dengan kewujudan dasar-dasar pengurangan sedia ada. Untuk mengatasi masalah ini dan juga cabaran lain dalam sistem pendidikan, kita memerlukan pembaharuan yang menyeluruh untuk menyelesaikan punca permasalahan ini berbanding hanya simptom.”

— Tamat —

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi adli@ideas.org.my

2021-01-08T17:48:02+08:00 8th January 2021|Media Statements|Comments Off on IDEAS mengingatkan kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap daya saing jangka panjang jika Malaysia ingin pulih sepenuhnya dari wabak