Publications > Media Statements

IDEAS menggesa sebarang persetujuan antara Ahli Parlimen dilakukan dengan penuh ketelusan dan mengambil kira kepentingan rakyat

  1. IDEAS mengalu-alukan keputusan untuk tidak melaksanakan perintah darurat.
  2. IDEAS menyokong Persetujuan Keyakinan dan Pembekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA) bersyarat dengan tiga syarat yang harus dipatuhi.
  3. Ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak harus mencapai kompromi yang telus dan demokratik demi kepentingan rakyat.
  4. Sebarang kompromi yang dicapai antara Ahli-ahli Parlimen harus berorientasikan polisi, bukannya melindungi kepentingan peribadi.
  5. CSA tidak boleh melibatkan sebarang kompromi berkenaan tuduhan jenayah yang sedang dihadapi oleh beberapa orang Ahli Parlimen.

Kuala Lumpur, 26 Oktober 2020 Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memuji keputusan Yang di-Pertuan Agong, selepas satu mesyuarat khas bersama Raja-raja Melayu, untuk tidak memperkenankan cadangan Perdana Menteri menggunapakai Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengisytiharkan satu perintah Darurat di Malaysia. Keputusan Baginda tiba ketika Malaysia sedang berada di satu persimpangan penting untuk melawan peningkatan kes COVID-19 dan juga satu persidangan Parlimen yang Belanjawan 2021 akan dibentangkan.

Mengulas perkembangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, “Institusi demokrasi Malaysia harus sentiasa didokong, dan sebarang percubaan untuk meragut demokrasi berparlimen ini mesti dielakkan. Keputusan untuk tidak melaksanakan Darurat bermakna Ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak di Dewan Rakyat perlu mengenepikan perbezaan mereka dan memberi keutamaan kepada kesihatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Demi menjadikannya satu realiti, satu kompromi mesti dicapai antara Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan pada Jumaat, 6 November akan datang, yang tidak dinafikan akan melibatkan beberapa bentuk persetujuan. Beberapa orang Ahli Parlimen dan organisasi masyarakat sivil (CSO) yang berwibawa telah memberi cadangan bahawa satu Persetujuan Keyakinan dan Pembekalan (CSA) diperlukan untuk memeterai kompromi ini. IDEAS mengalu-alukan CSA ini secara bersyarat, hanya jika terma-terma yang akan dinyatakan ini dipenuhi. Jika dilaksanakan dengan baik, CSA ini berpotensi menjadi alat untuk penambahbaikan institusi.”

Pertama, IDEAS menggesa agar sebarang perundingan ke arah kompromi ini dilakukan dengan telus kerana rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui maksud dan tujuan sebarang tindakan wakil rakyat yang mereka pilih. Kedua, perundingan ini harus berorientasikan polisi, dan bukan melibatkan sebarang janji berorientasikan pernaungan politik, pengagihan jawatan dan apa-apa rundingan yang  menguntungkan. Ketiga, proses perundingan ini tidak boleh melibatkan apa-apa kompromi terhadap tuduhan-tuduhan jenayah yang sedang dihadapi oleh beberapa orang Ahli Parlimen.

Peningkatan jangkitan COVID-19 buat masa ini mewajibkan semua Ahli Parlimen dan pegawai kerajaan kekal fokus kepada pemulihan kesihatan dan ekonomi negara. Hal ini mewajarkan kestabilan politik dan institusi serta segala perbezaan diketepikan sehingga situasi kembali pulih.

Namun, andai PRU menjadi satu kemestian pada waktu COVID-19 sebagai satu jalan terakhir, maka Suruhanjaya Pilihan Raya harus bersedia untuk menjalankannya sebagai satu-satunya penyelesaian demokratik kepada kebuntuan politik semasa. Kita harus mengambil iktibar daripada PRN Sabah, dan SPR perlu dibekalkan dengan segala sumber yang diperlukan untuk bersedia ke arah kebarangkalian tersebut. Beberapa negara lain telah menunjukkan contoh yang baik bagaimana pilihan raya boleh dijalankan dengan selamat ketika wabak melanda. Satu larangan menyeluruh ke atas proses berkempen secara fizikal perlu dipertimbangkan dan semua parti politik perlu mematuhinya secara saksama. Hal ini juga akan mengurangkan kos mengadakan pilihan raya.

Buat masa ini, semua Ahli Parlimen perlu memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam kerjasama mereka dan memberi keutamaan untuk meluluskan Belanjawan 2021. Malaysia amat memerlukan semua sumber yang dimiliki negara disalurkan ke arah membina semula kesejahteraan sosial dan ekonomi negara. Yeoh berkata, “Negara benar-benar sedang berada di persimpangan dan para pemimpin negara mempunyai satu peluang untuk membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul. Harapan kami, mereka mampu membuktikan pada rakyat Malaysia yang mereka sebenar-benar pemimpin pada saat mendesak ini.”

—TAMAT—
Bagi sebarang pertanyaan media: E: tricia@ideas.org.my

2020-10-26T16:23:38+08:00 26th October 2020|Media Statements|Comments Off on IDEAS menggesa sebarang persetujuan antara Ahli Parlimen dilakukan dengan penuh ketelusan dan mengambil kira kepentingan rakyat