Publications > Media Statements

IDEAS menggesa kerajaan untuk bentangkan Akta Pembiayaan Politik, sepertimana cadangan dalam laporan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC)

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2020 – IDEAS mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) kerana telah melengkapkan misi selama 2 tahun untuk mencadangkan penambahbaikan cara pilihan raya dijalankan di Malaysia. Penyerahan laporan akhir itu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam mengandungi 49 cadangan, beberapa daripadanya memerlukan pindaan Perlembagaan, pindaan undang-undang sedia ada, dan penggubalan undang-undang baru.

Salah satu cadangan yang penting ialah memperkenal mekanisme untuk mengawasi pendanaan politik. “Ketiadaan satu undang-undang mengawalselia pendanaan politik telah diketengahkan oleh pelbagai organisasi masyarakat sivil (CSO) beberapa tahun ini. Pelbagai CSO dan ahli akademik, termasuk IDEAS, telah menghasilkan cadangan-cadangan dasar tentang bagaimana derma politik, pembiayaan dan perbelanjaan perlu diawasi dan dikawalselia. Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) yang berperanan sebagai strategi kerajaan dalam membasmi rasuah telah memberikan garis masa yang jelas bilakah Akta Pendanaan Politik perlu dibentangkan. Saya optimis bahawa Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya telah mengambil kira pelbagai cadangan reformasi mengenai pendanaan politik dalam laporan akhir mereka. Saya berharap larangan derma politik oleh Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan satu mekanisme untuk menyediakan peluang sama rata kepada parti-parti politik yang lebih kecil dimasukkan ke dalam cadangan itu. Selain itu, penting untuk mempertimbangkan yang banyak  parti politik di Malaysia mempunyai pelbagai aset dan perniagaan yang menyumbang kepada dana aktiviti politik mereka. Undang-undang itu harus memastikan parti-parti tidak rasa tawar hati daripada mendedahkan penderma mereka kerana takut akan kesan buruk yang akan menimpa”, kata Aira Azhari, Pengurus Unit Demokrasi & Urus Tadbir IDEAS.

IDEAS telah terlibat di dalam perbahasan pendanaan politik untuk beberapa tahun dan kami berharap cadangan-cadangan ini akan menatijahkan pembentangan akta tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh menambah, “Saya rasa senang hati kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin telah menerima laporan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya itu dan saya optimis beliau akan membentangkan Akta Pembiayaan Politik yang sangat kita perlukan ini di Parlimen nanti. Saya menggesa semua parti politik dari kedua-dua belah pihak termasuk juga organisasi masyarakat sivil untuk menyokong usaha ini.”

Satu lagi cadangan penting oleh jawatankuasa ini ialah untuk mengubah sistem pilihan raya sekarang iaitu dari sistem pemenang undi terbanyak (first-past-the-post system, FPTP) kepada sistem senarai tertutup perwakilan berkadar (closed-list proportional representation system, CLPR), yang mana pengundi akan mengundi parti dan bukannya calon individu.

Perubahan dari sistem FPTP kepada CLPR ini merupakan sesuatu yang sudah dibincangkan secara meluas selama beberapa tahun. “Saya rasa ia merupakan perkara yang menggalakkan apabila Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya memasukkan cadangan in ke dalam laporan mereka. Perbahasan dan kajian lanjut boleh dilakukan untuk menilai kesesuaian sistem CLPR di Malaysia, tetapi kemasukan perkara ini ke dalam laporan merupakan langkah pertama dalam mengakui had keterbatasan sistem FPTP. Disebabkan ini satu perubahan yang asas, masih terdapat kekhuatiran mengenai kebiasaan kita memilih individu untuk mewakili sesuatu kawasan, lagipun, Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf parti-parti politik. Hal-hal sebegini harus dilihat tanpa mengkompromikan keperluan untuk memikirkan semula impak sistem FPTP ke atas perwakilan, kepelbagaian dan demokrasi keseluruhannya,” kata Aira.

– – – TAMAT– – –

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Aira Azhari di aira@ideas.org.my.

2020-09-01T13:55:57+08:00 1st September 2020|Media Statements|Comments Off on IDEAS menggesa kerajaan untuk bentangkan Akta Pembiayaan Politik, sepertimana cadangan dalam laporan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC)