Publications > Media Statements

IDEAS Menggesa Kerajaan Melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Jangka Panjang untuk Menangani Sektor Peancongan Malaysia yang Sedang Bergelut

  1. Pelancongan merupakan salah satu daripada sektor paling teruk terjejas disebabkan oleh wabak COVID-19, kemungkinan besar gangguan akan terus berlaku untuk beberapa bulan akan datang.
  2. Sebelum wabak melanda, sektor pelancongan Malaysia sudah bergelut kerana kekurangan inovasi, takut kepada persaingan, dan pendedahan perlindungan sosial yang tidak mencukupi disebabkan wabak.
  3. IDEAS menyeru kepada satu strategi untuk menangani kelemahan-kelemahan jangka panjang di dalam sektor pelancongan, di samping rangsangan jangka pendek, termasuklah meningkatkan perhubungan untuk pelancongan PKS, melebarkan jaring keselamatan sosial dan mengubah peraturan lapuk yang mengekang industri

Kuala Lumpur, 28 September 2020 IDEAS telah menerbitkan Kertas Polisi Ringkas IDEAS No. 28, “Pelan Pemulihan Pelancongan: Satu Peluang untuk Perubahan Pasca-COVID-19”, ditulis bersama oleh penyelidik ekonomi kanan IDEAS, Adli Amirullah dan pembantu penyelidik, Yohendran Nadar Arulthevan. Sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang paling teruk terjejas di Malaysia. Ketiadaan pelancong dan pelancongan menyebabkan sektor pelancongan Malaysia hampir lumpuh kerana aktiviti pelancongan sangat bergantung kepada pergerakan manusia dari satu destinasi ke satu destinasi lain. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melaporkan anggaran kerugian sektor pelancongan separuh pertama tahun ini ialah sekitar RM45 bilion disebabkan kesan PKP.

IDEAS mengalu-alukan pelancaran pelan pemulihan ekonomi jangka pendek, PENJANA, yang tepat pada masanya oleh kerajaan yang menyediakan bantuan yang diperlukan untuk melindungi para pekerja dan perniagaan namun begitu, penting untuk satu pelan pemulihan jangka panjang dilaksanakan dalam masa terdekat. Sebelum wabak melanda, industri pelancongan sudah pun bergelut dengan beberapa cabaran struktural:

  • Jumlah pelancongan antarabangsa Malaysia lembap jika dibandingkan dengan jiran serantau seperti Thailand dan Singapura dan perbelanjaan untuk perkhidmatan berkaitan pelancongan pula mendatar;
  • Industri mengalami kekurangan inovasi, disebabkan PKS domestik perlahan untuk menyesuaikan diri dengan kecenderungan baharu pengguna. PKS dalam industri dikekang oleh kekurangan kesalinghubungan internet, terutamanya di kawasan luar bandar dan peraturan lapuk yang tidak mempromosi persaingan;
  • Industri pelancongan juga menunjukkan penghindaran risiko dan kecenderungan terhadap status quo, apabila berhadapan dengan teknologi mengganggu baharu yang sedang mengubah industri.
  • Akhir sekali, wabak semasa telah mendedahkan jurang dalam kerangka perlindungan sosial apabila ramai pekerja tidak rasmi tidak layak untuk mendapat sokongan.

IDEAS mengusulkan supaya satu strategi jangka panjang dibangunkan di samping pakej rangsangan jangka pendek. Strategi jangka panjang ini perlu (i) Mempromosi inovasi termasuk meningkatkan kesalinghubungan, terutamanya di kawasan luar bandar; (ii) Menyokong persaingan, juga mengemaskini perundangan dan peraturan lapuk termasuklah Akta Pelancongan; dan (iii) Memastikan perlindungan sosial diperluas kepada pekerja-pekerja tidak rasmi untuk mencipta ruang inovasi dan mobiliti.

Mengulas pelancaran kertas ini, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh memberikan komen; “Pelancongan merupakan salah satu sektor yang terjejas teruk akibat wabak dan dengan sekatan terhadap  perjalanan antarabangsa akan terus berlangsung, gangguan ini mungkin akan berlaku selama berbulan-bulan jika tidak bertahun-tahun. Krisis ini telah melanda satu industri yang sedang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan teknologi dan trend pengguna yang baru. Satu pelan kelangsungan hidup jangka pendek tidak akan mencukupi – satu strategi jangka panjang juga diperlukan untuk menyokong industri pelancongan – PKS terutamanya – untuk berinovasi dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar ini.”

Kertas polisi ringkas, “Pelan Pemulihan Pelancongan: Satu Peluang untuk Perubahan Pasca-COVID-19” boleh di muat turun di sini.

—Tamat—

Untuk pertanyaan media: T: +603 6201 8896 E: lau@ideas.org.my

2020-10-16T16:53:16+08:00 29th September 2020|Media Statements|Comments Off on IDEAS Menggesa Kerajaan Melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Jangka Panjang untuk Menangani Sektor Peancongan Malaysia yang Sedang Bergelut