Kuala Lumpur, 14 September 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) amat gembira akan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU-TPS) yang ditandatangani antara pihak kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH). IDEAS percaya bahawa MoU ini adalah satu langkah positif ke arah persaingan berteraskan dasar antara parti-parti politik.
MoU ini mengandungi beberapa elemen penting. Berkenaan Pelan COVID-19, amat penting untuk komposisi anggota Majlis Pemulihan Nasional untuk mengandungi pakar sektor awam dan swasta dan juga wakil Pembangkang. Bantuan tunai sebanyak RM10 billion untuk 11 juta rakyat Malaysia juga merupakan satu kelegaan yang disambut baik oleh ramai yang telah kehilangan sumber pendapatan disebabkan wabak ini. IDEAS juga mengalu-alukan peluang kepada Pembangkang untuk menyumbang kepada isi kandungan Belanjawan 2022. Mengehadkan tempoh Perdana Menteri memegang jawatan selama 10 tahun turut menyediakan peluang kepada ahli politik muda mendaki tangga kepimpinan dengan lebih pantas serta mengurangkan naungan berpandukan personaliti di dalam parti politik yang memerintah.
Dari segi pembaharuan institusi, IDEAS berbesar hati dengan komitmen untuk mempercepat pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik setelah melalui banyak penangguhan. Satu lagi komitmen penting yang diperkenalkan semula ialah Akta Perkhidmatan Parlimen agar Parlimen mempunyai autonomi untuk menjalankan pentadbiran dan mengurus kewangan. Akhir sekali, perwakilan setara antara Ahli Parlimen Pembangkang dan Kerajaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen penting untuk memastikan semak dan imbang berkesan dalam membuat pertimbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, mengulas, “Menandatangani MoU pada hari ini tiba setelah lebih setahun ketidaktentuan melanda politik Malaysia pada masa yang sama menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara. Kami berharap prinsip-prinsip yang diperjuangkan kedua belah pihak hari ini bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir, tetapi berusaha untuk menjadikannya satu kenyataan. Sekarang merupakan masa yang terbaik untuk mendesak pelaksanaan pembaharuan institusi yang bermakna dan kami harap komitmen ini akan dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan tanpa berlengah-lengah. Ha ini juga akan memberikan isyarat jelas bahawa matlamat dan hasil politik boleh dicapai menerusi persaingan dasar dan rundingan yang sihat, sebagaimana yang kami amat galakkan.”
“Namun, IDEAS gusar jika hanya Ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam MoU ini sahaja yang akan diberikan peruntukan setara untuk peruntukan pembangunan kawasan (CDF). Seperti yang telah diperkatakan di dalam kenyataan kami bersama Bersih 2.0, semua Ahli Parlimen seharusnya layak diberikan peruntukan CDF yang saksama kerana mereka berkhidmat kepada rakyat Malaysia di kawasan masing-masing maka, layak mendapat peruntukan ini tanpa mengira keanggotaan parti politik mereka.”
IDEAS berharap MoU ini akan menjadi satu permulaan kepada hubungan dwipartisan yang lebih sihat dalam politik Malaysia ke arah demokrasi berparlimen berorientasikan dasar yang lebih matang. Rakyat Malaysia perlu dibenarkan untuk memilih kerajaan, tetapi sehingga keadaan menjadi selamat dan sesuai untuk diadakan pilihan raya, pihak Kerajaan dan Pembangkang perlu bersedia mengenepikan perbezaan dan menumpukan kepada agenda pemulihan Malaysia.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah, Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: zokhri@ideas.org.my