Kuala Lumpur, 1 Ogos 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan pelancaran ‘Cost-Benefit Analysis on the Potential Impacts of CPTPP on the Malaysian Economy and Key Economic Sectors’ oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). IDEAS mengambil maklum dapatan utama laporan ini, termasuk tindakan ratifikasi akan meningkatkan KDNK sebanyak US$56.5 bilion dari tahun 2021 hingga 2030, serta unjuran bahawa Malaysia akan menikmati lebihan dagangan berterusan sebanyak 8.5% KDNK pada tahun 2030. Laporan Analisis Kos-Manfaat (Cost-Benefit Analysis, CBA) oleh MITI ini telah mengukuhkan lagi kajian-kajian terdahulu IDEAS mengenai CPTPP dan unjuran manfaatnya, maka IDEAS menggesa ratifikasi segera perjanjian ini untuk membantu pemulihan negara pasca Covid-19.
Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) adalah satu perjanjian perdagangan mega melibatkan 11 buah negara merentasi Lingkaran Pasifik. Pada tahun 2019, anggota ekonomi CPTPP secara kolektif merangkumi 13% daripada KDNK dunia dan 15% daripada perdagangan dunia. Namun, tidak seperti perjanjian perdagangan bebas (FTA) tradisional, CPTPP melangkaui sekadar memberikan capaian pasaran untuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan serta mempunyai matlamat menyediakan piawaian berkualiti tinggi berkenaan isu-isu seperti perusahaan milik negara (state-owned enterprises, SOE), alam sekitar dan buruh.
Laporan CBA ini menyimpulkan bahawa meratifikasi CPTPP akan memberikan lebih banyak kebaikan berbanding keburukan kepada Malaysia, dan mendatangkan pelbagai projek sehingga akan meningkatkan KDNK sebanyak US$56.5 bilion dalam tempoh 2021 hinggan 2030, dengan itu meningkatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 1.9% berbanding angka dasar pada tahun 2030. Dengan kemungkinan kemasukan UK dan China ke dalam CPTPP, keuntungan KDNK terkumpul diunjurkan akan meningkat kepada US$125.4 bilion melebihi angka dasar untuk tempoh yang sama. Laporan ini juga menunjukkan bahawa unjuran imbangan dagangan Malaysia adalah sebanyak US$53.5 bilion pada tahun 2030, dan kekal mempunyai lebihan pada 8.5% KDNK dalam tahun yang sama.
“Laporan CBA ini mengukuhkan lagi kajian kami mengenai CPTPP dan potensi kesannya terhadap Malaysia,” kata Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS. “Kajian kami mendapati bahawa meratifikasi dan melaksanakan CPTPP akhirnya akan meningkatkan KDNK Malaysia sebanyak 1% serta menambahkan sebanyak 140,000 peluang pekerjaan baharu. Kemungkinan kemasukan anggota ekonomi seperti UK, China, dan Taiwan akan memberikan lebih banyak capaian pasaran kepada syarikat-syarikat perniagaan Malaysia”.
IDEAS turut menggariskan dua National Interest Studies tentang penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diterbitkan pada tahun 2015, setiap satu bersifat kuantitatif dan kualitatif. Dari segi kuantitatif, kajian tersebut mendapati penyertaan Malaysia dalam TPPA diunjurkan akan mencapai keuntungan terkumpul dalam KDNK berjumlah antara USD107 sehingga 211 bilion dalam tempoh 2018-2027, dengan mengandaikan semua tarif dihapuskan dan langkah-langkah bukan tarif (Non-tariff Measures, NTMs) dikurangkan sebanyak 25 hingga 50% merentasi 12 negara bakal anggota TPPA. Lebih daripada 90% keuntungan terkumpul KDNK berpunca daripada pengurangan NTMs. Penghapusan tarif tanpa pengurangan NTMs akan meraih keuntungan terkumpul hanya USD12 bilion sepanjang 2018-2027.
Dari segi kualitatif pula, telah ditegaskan bahawa Malaysia akan memperoleh manfaat apabila menyertai TPPA yang asal dengan melihat kepada tonggak ekonomi, sosial dan keselamatan secara seimbang.
“Penerbitan CBA terbaharu dilancarkan pada tahun 2022 memperkukuh keuntungan kebajikan yang Malaysia bersedia untuk mendapat manfaat dalam jangka sederhana hingga jangka panjang sebagai sebahagian daripada pakatan CPTPP. Namun, kos Malaysia tidak meratifikasi perjanjian itu agak ketara kerana keuntungan kebajikan dijangka lebih rendah disebabkan kesan pelencongan perdagangan dan capaian pasaran yang terhad kepada rakan kongsi perdagangan baharu”, ulas Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan dan Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan IDEAS.
“Meratifikasi CPTPP sudah pasti akan meyebabkan kos pelarasan jangka pendek, walau bagaimanapun, kami percaya cabaran ini dapat diatasi oleh pihak kerajaan dalam ruangan dasar sedia ada, sambil melihat contoh cara rakan kongsi CPTPP lain berjaya melakukan peralihan.”
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dr Juita Mohamad,
Pengarah Penyelidikan,
Pengarah, Unit Ekonomi dan Perniagaan
T: +603 2070 8881/8882 | E: juita@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my