Publications > Media Statements

Pengurusan COVID-19 perlukan segera ketekalan dan kejelasan

Kuala Lumpur, 10 Februari 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru agar pihak kerajaan segera melaksanakan tatacara pengendalian piawai (SOP) yang tekal dan jelas untuk mengekang virus tersebut. Pelbagai perubahan dan kurang kejelasan tidak membantu negara dalam usaha menentang COVID-19.

PKP 2.0 telah bermula pada 13 Januari 2021. Sejak itu, tiada angka pengurangan ketara dalam jumlah jangkitan positif harian. Malah, seolah-olah terdapat peningkatan dalam jumlah kematian, termasuk jumlah yang meninggal dunia di rumah tanpa mendapat rawatan ketika simptom mereka bertambah teruk.

Pada hari Selasa 9 Februari 2021, pihak kerajaan telah mengumumkan peraturan yang telah melonggarkan PKP. Pada hari Isnin 8 Februari 2021, kerajaan mengumumkan bahawa para Menteri hanya perlu menjalani kuarantin selama 3 hari selepas pulang dari luar negara. Sepanjang pelaksanaan PKP ini, terdapat terlalu banyak perubahan dalam masa yang singkat, dan situasi semasa dasar yang sentiasa berubah serta garis panduan baharu amat tidak munasabah kerana pelbagai perniagaan dan organisasi memerlukan kebolehramalan dan ketekalan untuk tujuan perancangan.

“Ketika terdapat keperluan untuk menyeimbangkan antara kesihatan awam dan kebimbangan ekonomi, garis panduan semasa tidak mampu menyediakan penyelesaian kepada kedua-dua perkara,” ulas Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.

“Adakah PKP yang dijalankan sudah mencapai objektifnya dalam melawan COVID-19 dan adakah kita mempunyai data yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa strategi ini berkesan? Sungguh pun amat penting untuk memastikan mata pencarian ekonomi perniagaan-perniagaan dan para pekerja mereka tidak terjejas disebabkan kawalan pergerakan, perkara yang lebih penting ialah ketekalan dan kejelasan dalam membuat keputusan.”

“Para menteri kini dikecualikan dari tempoh standard kuarantin selama 10 hari memberi isyarat ketidaktekalan dalam pelaksanaan peraturan.”

IDEAS menyarankan agar pihak kerajaan memberikan lebih kejelasan dalam jangka masa 6 hingga 12 bulan yang akan datang berkenaan apakah titik data kesihatan awam yang digunakan untuk menentukan pelaksanaan sama ada peraturan yang lebih ketat atau lebih longgar. Kerajaan perlu mengguna pakai satu neraca pengurusan wabak, iaitu satu pendekatan berperingkat pada tahap sekatan yang ingin dilaksanakan. Kerajaan perlu mempertimbangkan Pandemic Severity Index  yang diperkenalkan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat atau menetapkan satu set petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mengukur keparahan wabak sebagaimana yang disarankan sebelum ini oleh Dr. Khor Swee Kheng dari Gabungan Kesihatan Malaysia.

Set KPI ini akan menjadi lebih menyeluruh dan tepat untuk menentukan keparahan wabak serta prestasi kerajaan, berbanding hanya seolah-olah bergantung kepada KPI tunggal jumlah kes harian yang mudah dipengaruhi, tidak menyeluruh dan tidak tepat. Set KPI ini bererti keputusan adalah bersandarkan kepada data, bebas, dan tidak dilakukan sewenang-wenangnya sebagaimana yang berlaku ketika ini. Contoh KPI yang dapat memandu penetapan keputusan termasuk jumlah purata kes baharu dalam tempoh 7 hari, peratusan jumlah kes positif berbanding jumlah keseluruhan ujian pengesanan yang dilakukan, R0 dan juga kadar kematian.

“Kami menggesa pihak kerajaan untuk memastikan proses membuat keputusan berlangsung dengan telus, bersandarkan kepada data dan berdasarkan kepada bukti. Untuk mengelakkan kekeliruan, kerajaan perlu memaklumkan bagaimana proses membuat keputusan mengenai perkara dan waktu sesuatu kebenaran diberikan. Kerajaan-kerajaan negeri juga perlu kerap dirunding sepanjang proses membuat keputusan ini. Hal ini supaya dapat memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban awam sepenuhnya sewaktu sekatan pergerakan ditentukan seterusnya dilaksanakan, termasuk proses implementasi pelan vaksinasi,” ulas Yeoh.

IDEAS mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa penasihat kerajaan berkenaan perintah Darurat dan menantikan untuk memantau proses membuat keputusannya. Namun, amat penting untuk kita perhatikan bahawa tidak ada langkah-langkah tambahan yang diumumkan di bawah perintah Darurat untuk menentang COVID-19. “Hal ini menimbulkan semula persoalan mengenai keperluan pelaksanaan perintah Darurat, yang telah IDEAS timbulkan ketika kali pertama Darurat diumumkan. Kami berharap pihak jawatankuasa ini akan mengambil keputusan dengan bijak dalam menamatkan sebarang perkara yang tidak diperlukan pada awalnya,” simpul Yeoh.

— TAMAT —-

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Amir Ridzuan Jamaludin, Penolong Pengurus, Perhubungan Luar

T: +603 2070 8881/8882   E: amir@ideas.org.my

2021-02-11T09:50:59+08:00 11th February 2021|Media Statements|Comments Off on Pengurusan COVID-19 perlukan segera ketekalan dan kejelasan