Kuala Lumpur, 5 Disember 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memberi peringatan mengenai kemungkinan Malaysia menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP), seperti yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan. IDEAS menekankan bahawa berdasarkan kepada Analisis Kos-Faedah (CBA) yang diterbitkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada bulan Julai 2022, menjadi negara anggota yang meratifikasi CPTPP akan memberi keuntungan kepada Malaysia dari segi pertumbuhan KDNK dan aktiviti perdagangan. IDEAS juga mengingatkan bahawa menarik diri sekarang akan sangat memudaratkan reputasi antarabangsa Malaysia. Sebaliknya, IDEAS menyeru satu penilaian berterusan dilakukan terhadap kesan CPTPP untuk memastikan persetujuan awam dan meminimumkan kos pelarasan jangka pendek.
CPTPP ialah satu perjanjian perdagangan bebas mega yang melibatkan 11 ahli dari seluruh kawasan Lingkaran Pasifik. Pada tahun 2019, ekonomi ahli CPTPP secara kolektif merangkumi 13% daripada KDNK global. Tidak seperti perjanjian perdagangan bebas (FTA) tradisional yang lain, CPTPP melangkaui penyediaan capaian pasaran untuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan sahaja. Ia juga menyediakan piawaian berkualiti tinggi mengenai isu seperti perusahaan milik negara, perolehan kerajaan, alam sekitar dan isu buruh. Piawaian tinggi sedemikian apabila dilaksanakan secara kolektif akan meningkatkan ketelusan dan tadbir urus dalam amalan perdagangan dan pelaburan untuk semua ahli CPTPP yang mengambil bahagian.
Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr. Tricia Yeoh, “Malaysia mengambil masa kira-kira lapan tahun rundingan sebelum akhirnya menandatangani perjanjian ini pada tahun 2018, selepas itu ia mengambil masa empat tahun lagi sebelum akhirnya meratifikasi perjanjian ini pada akhir tahun ini. Menarik diri sekarang akan memberi kesan negatif kepada kredibiliti antarabangsa Malaysia, dan mungkin tidak akan menggalakkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia kerana pelabur-pelabur mahukan kestabilan dalam negara rakan kongsi. Menarik diri bermakna pengeksport Malaysia akan kehilangan capaian kepada pasaran CPTPP yang semakin meningkat, yang mungkin melibatkan negara-negara seperti UK, China, Ecuador, Uruguay, Costa Rica dan Taiwan pada masa hadapan. Kami percaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baru dilantik akan membuat keputusan yang bijak selepas mendapatkan nasihat daripada para pemain industri dan penasihat dalam kementerian.”
IDEAS merujuk kepada penemuan kuantitatif Analisis Kos-Faedah (CBA) yang dikeluarkan oleh MITI pada bulan Julai tahun ini, yang mencadangkan bahawa meratifikasi CPTPP akan memberi keuntungan kepada Malaysia. CBA ini telah mengunjurkan bahawa ratifikasi akan meningkatkan KDNK sebanyak RM 248.2 bilion dalam tempoh 2021 hingga 2030, sekali gus meningkatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 1.9% berbanding angka asas pada 2030. Selain itu, CBA juga mengunjurkan bahawa imbangan perdagangan Malaysia akan mencecah sebanyak RM 235.1 bilion pada tahun 2030, kekal dalam lebihan pada 8.5% daripada KDNK dalam tahun yang sama.
Bertentangan dengan dakwaan bahawa penyelidikan dan perundingan yang dijalankan berkaitan CPTPP adalah tidak mencukupi, IDEAS menegaskan bahawa sebenarnya pelbagai penerbitan dan kajian penilaian impak telah dijalankan semasa tempoh perundingan TPP dan meratifikasi CPTPP, manakala pelbagai sesi dialog awam turut diadakan.
Melihat kepada kebimbangan yang dibangkitkan mengenai peruntukan khusus perjanjian itu, laporan-laporan sebelum ini mengenai TPP dan CPTPP kedua-duanya mendapati mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) akan membawa kepada tahap perlindungan pelabur yang lebih baik, sambil membenarkan Malaysia mengekalkan ruang dasarnya. Selain itu, ditekankan bahawa peruntukan harta intelek (IP) menyediakan keseimbangan faedah antara pengeluar dan pengguna. Perusahaan milik negara juga akan dapat terus menyokong agenda sosio-ekonomi Kerajaan, khususnya dari segi pembangunan kaum bumiputera.
Kajian yang dijalankan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) pada tahun 2015 mengenai perjanjian TPP yang asal mendedahkan bahawa kerajaan boleh mengekalkan hak tindakan afirmatif untuk kaum bumiputera. Hal ini termasuk hak untuk mengawal barangan dan perkhidmatan yang berkemungkinan mampu memberi kesan terhadap adat, budaya, dan agama kaum bumiputera. Peruntukan Perolehan Kerajaan juga menjadi kebimbangan kerana nilai ambang bekalan barangan dan perkhidmatan akan mengubah status quo peserta kaum bumiputera kerana mereka kini perlu bersaing secara terbuka. Walau bagaimanapun, hal ini hanya akan memberi kesan kepada perniagaan yang melebihi nilai ambang tertentu. Namun begitu, majoriti penerima kontrak di bawah ambang tetap tidak terjejas. Hal ini jelas bagi kontrak pembinaan, di mana rizab 30 peratus untuk kaum bumiputera akan memastikan penyertaan minimum mereka.
“Kini apabila ratifikasi telah berkuat kuasa, kita boleh menjangkakan penurunan kadar tarif dan penghapusan instrumen bukan tarif, yang akan dirasai hampir serta-merta oleh pengguna”, kata Dr. Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan IDEAS. “Dalam jangka sederhana hingga panjang, pekerja dijangka mendapat manfaat apabila gaji mereka meningkat mengikut pasaran dan keperluannya. Di samping itu, pelbagai usaha kerajaan untuk meningkatkan kemahiran dan menyokong PKS, termasuk perusahaan bumiputera, perlu dipertingkatkan supaya ekosistem yang menyokong perniagaan dapat dibangunkan untuk meningkatkan diri mereka kepada piawaian yang diharapkan dalam perjanjian perdagangan ini. Dalam jangka panjang, kami menjangkakan perniagaan Malaysia akan berkembang maju dan ia juga dapat mengambil kesempatan daripada peruntukan dalam CPTPP untuk meningkatkan capaian pasaran mereka. Selain itu, ekonomi Malaysia secara keseluruhan akan mengalami keuntungan kebajikan dalam jangka masa panjang.”
IDEAS bersetuju bahawa perlu ada usaha yang lebih giat untuk menggalakkan lebih banyak persetujuan awam terhadap CPTPP. Walaupun ratifikasi perjanjian ini satu pencapaian penting, kami menggalakkan satu penilaian yang berterusan dijalankan ke atas kesan CPTPP di lapangan, dijalankan di dalam negara dan di kalangan ahli CPTPP. Pelantikan IDEAS dan ISIS oleh MITI sebagai sebahagian daripada rangkaian badan pemikir penilaian semula CPTPP menunjukkan komitmen Malaysia untuk terus menilai manfaat CPTPP selepas ratifikasi. IDEAS juga menyeru sokongan tambahan terhadap PKS dibuat untuk meningkatkan daya saing dan ketersediaan pasaran mereka supaya mereka juga boleh mengambil bahagian secara berkesan dalam rantaian bekalan CPTPP.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan;
Pengarah, Unit Ekonomi dan Perniagaan
T: +603 2070 8881/8882 | E: juita@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar, IDEAS Malaysia
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my