Kuala Lumpur, 7 Disember 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), disokong oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia, telah melancarkan satu laporan dasar bertajuk “Strengthening the Digital Trade Ecosystem: The Next Frontier for Malaysia” pada 1 Disember 2022. Laporan dasar ini menilai keadaan ekosistem perdagangan digital Malaysia dan mengenal pasti amalan terbaik antarabangsa untuk menangani cabaran tadbir urus digital, berdasarkan siri perbincangan meja bulat dengan pakar tempatan dan serantau.
Malaysia dianggap sebagai salah satu negara yang lebih digital di dunia dengan budaya yang positif untuk penggunaan teknologi. Pada tahun 2021, lebih daripada 95% individu berada dalam talian manakala akses komputer isi rumah mencapai 88.3%. Capaian mudah alih isi rumah adalah pada 99.6% dan capaian internet individu memuncak pada 96.8%. COVID-19 melalui perintah sekatan pergerakan telah membantu proses pendigitalan Malaysia yang memaksa sektor awam dan swasta untuk menggunakan ruang siber untuk keperluan ekonomi dan sosial. Menurut tinjauan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aktiviti internet di Malaysia kekal tertumpu pada tujuan rangkaian sosial, dengan lebih 90% pengguna menggunakan internet untuk pemesejan.
Lanskap ekonomi Malaysia secara asasnya telah diubah oleh teknologi digital, dengan ekonomi digital dan aktiviti perdagangan digital dikenal pasti membawa potensi besar untuk pembangunan masa depan Malaysia. Perintah sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19 telah membantu mempercepat transformasi digital Malaysia. Walau bagaimanapun, hal ini turut membawa cabaran dari sudut dasar.
Dalam laporan dasar IDEAS ini, dua komponen kritikal ekosistem perdagangan digital telah disemak, iaitu mengenakan cukai terhadap ekonomi digital dan kebimbangan keselamatan siber. Para penulis meneliti bagaimana Malaysia telah cuba memperbaharui rangka kerja percukaiannya dengan ekonomi digital melalui percukaian langsung dan tidak langsung, serta bagaimana Malaysia mengatasi cabaran terhadap tadbir urus data dan mewujudkan budaya keselamatan siber yang diperlukan untuk dipadankan dengan prospek penerimaan teknologi yang positif.
Kajian laporan dasar ini telah menyelidiki cabaran ke atas mengenakan cukai terhadap ekonomi digital serta memastikan perlindungan data dan keselamatan siber yang mencukupi untuk mengekalkannya. Dalam kes percukaian digital, ekonomi digital sering kali dianggap kurang dikenakan cukai dan dikawal berbanding sektor ekonomi lain. Hal ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sistem percukaian kontemporari yang sudah lapuk untuk ekonomi digital, dengan firma digital dapat mengaut keuntungan dalam bidang kuasa yang mereka tidak mempunyai kehadiran fizikal. Ketika Malaysia berusaha untuk pulih daripada pandemik COVID-19 serta meningkatkan perbelanjaan awam untuk mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat, melaksanakan pembaharuan cukai secara keseluruhan akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini untuk kesihatan fiskal Malaysia pada masa hadapan.
Dalam kes keselamatan siber, beberapa cabaran telah dikenal pasti untuk mewujudkan budaya perlindungan data yang diperlukan. Hal ini termasuk kekurangan penyelarasan undang-undang perlindungan data, kemungkinan ketidakmampuan PKS membayar kos keselamatan siber yang tinggi, kesukaran melaksanakan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), serta ketiadaan keperluan pemberitahuan pelanggaran data mandatori, sama ada kepada kerajaan atau untuk pengguna data atau subjek data.
Laporan dasar ini menyenaraikan beberapa cadangan dasar yang konkrit dan berasaskan bukti untuk menangani jurang yang dikenal pasti dan mengakses peluang perdagangan baharu dalam ekosistem perdagangan digital. Disebabkan oleh kesukaran dan sifat kompleks untuk mengenakan cukai kepada ekonomi digital, latihan pembinaan kapasiti dan kerjasama amat digalakkan dengan negara yang telah membangunkan rangka kerja percukaian yang teguh seperti Australia dan Singapura untuk berkongsi amalan terbaik mereka. Dari segi penyiasatan pelanggaran data, pada masa ini undang-undang tidak memerlukan agensi keselamatan siber untuk menghebahkan penyiasatan, iaitu satu langkah penting untuk meningkatkan kewaspadaan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan dan Pengarah Ekonomi dan Perniagaan di IDEAS, menegaskan bahawa, “Salah satu kebimbangan terbesar di Malaysia adalah perancangan dan pengenalan bentuk cukai baharu untuk ekonomi digital dan aktiviti perdagangan digital, penting bahawa penilaian impak bagi langkah-langkah tersebut mengambil kira maklum balas dan input daripada pihak pemegang taruh yang terjejas. Dasar sedemikian dan garis panduan pelaksanaan yang jelas memberikan kemudahan menjalankan perniagaan untuk kedua-dua firma tempatan dan antarabangsa.”
Dr. Juita menambah, “Apabila bercakap tentang keselamatan siber, salah satu cadangan dasar kami adalah untuk Malaysia menggunakan Perjanjian Ekonomi Digital (DEA) dan Zon Perdagangan Bebas Digital untuk terus membina persekitaran berasaskan peraturan untuk rangka kerja percukaian siber dan digital serta memastikan kepentingan Malaysia dilindungi dan industrinya digalakkan.”
Laporan dasar ini kini boleh didapati di laman sesawang IDEAS.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan;
Pengarah, Unit Ekonomi dan Perniagaan
T: +603 2070 8881/8882 | E: juita@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar, IDEAS Malaysia
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my