Kuala Lumpur, 8 April 2025: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melahirkan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan Amerika Syarikat yang baru-baru ini mengenakan tarif secara meluas ke atas eksport Malaysia di bawah inisiatif “Liberation Day”. Polisi yang mengganggu dan tidak selaras dari segi ekonomi ini merupakan satu lagi penyimpangan daripada pendekatan multilateralisme berasaskan peraturan, sekali gus menimbulkan risiko lebih besar terhadap integrasi ekonomi dunia serta prinsip perdagangan bebas dan terbuka.
“Tarif menyeluruh ini merupakan satu lagi tindakan merosakkan dan tersasar oleh pentadbiran Trump yang menyimpang daripada dasar ekonomi yang kukuh. Ia menambah kepada penutupan USAID dan penarikan diri Amerika Syarikat daripada tadbir urus antarabangsa, yang secara keseluruhannya mewujudkan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat dan mengancam mata pencarian rakyat Malaysia dan masyarakat dunia,” ulas Dr Stewart Nixon, Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS.
Tarif membebankan yang dikenakan oleh pentadbiran Trump tidak berkaitan langsung dengan dasar perdagangan Malaysia (atau mana-mana negara lain). Purata tarif berwajaran perdagangan Malaysia ke atas import dari Amerika Syarikat hanyalah 1.5%, dengan lebihan dagangan barangan Malaysia lebih mencerminkan kelebihan daya saing dan pilihan permintaan berbanding sekatan perdagangan. Tarif tersebut akan meningkatkan kos perdagangan, sekali gus menghalang pertukaran barangan dan perkhidmatan yang sebenarnya memberikan manfaat besar kepada kedua-dua negara, termasuk dalam meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan dan menurunkan harga.
IDEAS menyambut baik tindak balas segera dan seimbang oleh kerajaan Malaysia — termasuk penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) dan pasukan petugas tarif MITI. Tumpuan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin strategi bersama di peringkat ASEAN semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 amatlah tepat pada masanya dan wajar dipuji. Tindak balas ini perlu disusuli dengan makluman berkala bagi meyakinkan para pemain industri dan orang awam bahawa kepentingan mereka dilindungi serta pasaran kekal kukuh dan stabil.
IDEAS juga menggesa kerajaan supaya tidak mengambil langkah balas atau menaikkan tarif seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, kerana tindakan itu hanya akan menambah beban ekonomi terhadap rakyat Malaysia. Sebaliknya, Malaysia perlu terus menjalin perkongsian jangka panjang yang saling menguntungkan dengan negara yang komited terhadap perdagangan bebas dan adil. Penekanan juga harus diberikan kepada peningkatan ketelusan institusi dan pemerkasaan reformasi struktur bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang stabil, berdaya tahan dan mampan.
“Para penggubal dasar perlu sedar bahawa kejutan ekonomi memberi kesan paling besar kepada golongan rentan dan perniagaan kecil. Malaysia mesti berwaspada untuk mengurangkan kerentanan ini, tatkala Amerika Syarikat kelihatan seolah-olah sengaja mewujudkannya,” tambah Dr Nixon.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my