Publications > Media Statements

IDEAS lancar kempen Kita, Bukan Kami untuk mempromosi perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum

Kuala Lumpur, 21 Mac 2021Bersempena dengan Hari Antarabangsa mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum hari ini, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah melancarkan Kita, Bukan Kami, satu kempen media untuk mempromosi kesaksamaan dan keterangkuman melalui seni perbualan berempati.

Laman sesawang kempen dan ikrar antiperkauman telah dilancarkan hari ini, bersama dengan satu siri video eksperimen sosial unik bertajuk Sama-Sama, diterbitkan oleh pakar media berimpak The Fourth. Siri video ini bertujuan untuk mempromosi dan membentuk perbualan berempati sebagai satu alternatif kepada pergaduhan penuh amarah yang toksik yang selalu dapat kita lihat dalam perbualan mengenai isu-isu perpecahan pada hari ini.

Video Sama-Sama membabitkan dua kumpulan yang tidak mengenali satu sama lain dan mempunyai pandangan yang sangat berbeza, dikumpulkan bagi mencari titik persetujuan menggunakan tiga peraturan mudah untuk perbualan berempati.

Dalam episod pertama, mereka berbincang sama ada kriteria kaum dalam iklan pekerjaan dan hartanah boleh dianggap sebagai perkauman, dan bagaimana mereka kemudiannya mencapai  satu kesimpulan yang mengejutkan. Tonton video ini di laman sesawang dan halaman Facebook Kita, Bukan Kami.

“Sebarang bentuk diskriminasi, sama ada berdasarkan kaum, agama, jantina dan lain-lain, snetiasa berpunca dari kurang kefahaman tentang kelompok yang dirasakan ‘orang lain’, kemudian melarat kepada syak wasangka dan ketakutan. Kita perlu mengatasi halangan ketakutan ini”, kata Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.

“Gerakan Kita, Bukan Kami ini merupakan satu langkah positif ke arah mewujudkan ruangan selamat di mana perhubungan kaum boleh dibincangkan dalam satu suasana yang sihat. Mereka mungkin tidak bersetuju antara satu sama lain, tetapi menerima perbezaan dan belajar antara satu sama lain merupakan bahagian yang penting untuk mengatasi ketakutan”, katanya.

Sebahagian dari kempen ini, IDEAS dan The Fourth juga akan melancarkan Perinci, satu siri video penerangan yang menerokai sejarah, sains dan psikologi yang menarik di sebalik diskriminasi kaum dan juga pelbagai bentuk ketaksuban serta ketidaksamaan lain secara mendalam.

Masyarakat awam boleh menyokong kempen ini dengan berkongsi video Sama-Sama dan Perinci di media sosial, dan dengan menandatangani ikrar antiperkauman Kita, Bukan Kami pada laman sesawang.

Masyarakat awam juga boleh mendaftar bersama The Fourth untuk mengambil bahagian dalam sesi Sama-Sama yang akan datang, dengan menghantar mesej ke halaman Facebook atau akaun Instagram Projek Sama-Sama.

Kempen Kita, Bukan Kami merupakan sebahagian dari projek yang lebih besar untuk mempromosi Perpaduan Nasional dan Keharmonian Antara Kaum, di sokong oleh Kesatuan Eropah. “Kesatuan Eropah merasa bangga untuk menyatakan sokongan terhadap IDEAS dalam usaha mempromosi perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum melalui program European Instrument for Democracy and Human Rights (EIDHR) kami. Kempen yang dilancarkan hari ini akan menyumbang kepada perjalanan Malaysia ke arah sebuah negara lebih inklusif yang meraikan kepelbagaiannya. Kesatuan Eropah kekal komited terhadap setiap usaha mengurangkan diskriminasi dan ketidaksamaan di seluruh dunia, seiring dengan Sustainable Development Goals (SDG) nombor 10 – mengurangkan ketidaksamaan”, ulas Tuan Yang Terutama Michalis Rokas, Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia.

Tonton video pertama dalam siri Sama-Sama bertajuk Adakah kriteria bangsa dalam iklan kerja rasis? di pautan ini.

—TAMAT —

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di sini

Mengenai Kita, Bukan Kami:

Kita, Bukan Kami merupakan satu gerakan sosial yang diasaskan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan pakar media berimpak The Fourth. Gerakan ini disokong oleh Kesatuan Eropah.

Mengenai The Fourth:

The Fourth merupakan sebuah syarikat media berimpak bebas, terdiri daripada wartawan-wartawan penyiasatan pemenang anugerah yang pakar menggunakan dokumentari multimedia dan kempen berimpak untuk mendokong gerakan keadilan sosial. Di samping kandungan asal berupa penyiasatan dan berimpak, The Fourth juga menyediakan khidmat perundingan media berimpak, pendidikan, dan latihan profesional kepada organisasi yang ingin meningkatkan impak sosial mereka.

Untuk maklumat lanjut, sila layari facebook.com/TheFourth.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Aira Azhari, Pengurus, Demokrasi dan Tadbir Urus

+603 2070 8881/8882, aira@ideas.org.my

Ian Yee, Pengasas Bersama, Fourth Media

+6012-2121421, people@thefourth.media

2021-03-21T15:00:41+08:00 21st March 2021|Media Statements|Comments Off on IDEAS lancar kempen Kita, Bukan Kami untuk mempromosi perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum