Kuala Lumpur, 10 Ogos 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memuji Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Parlimen atas penerbitan laporan tentang perolehan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menggesa pihak kerajaan untuk melaksanakan saranan PAC. PAC telah menyarankan tujuh langkah termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap dapatan Laporan PAC, Laporan Audit Forensik dan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan & Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta untuk Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek tersebut disiapkan. Sebagai tambahan, PAC juga telah menyarankan agar laporan JKSTUPKK itu dinyahklasifikasikan. JKSTUPKK ini telah ditubuhkan pada tahun 2018 di bawah kerajaan Pakatan Harapan untuk menyiasat tadbir urus, perolehan dan kewangan dalam semua kementerian dan diterajui oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin bin Buang.
“PAC telah menjalankan tugas Parlimennya dalam memberikan semak dan imbang kepada badan Eksekutif kerajaan. Pihak kerajaan kini perlu melaksanakan saranan-saranan ini dengan segera jika menghormati dan mengambil serius akan institusi Parlimen. Berbanding menubuhkan lebih banyak suruhanjaya dan jawatankuasa siasatan, tindakan perlu diambil segera berdasarkan laporan PAC oleh agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM. Rakyat Malaysia ingin melihat pihak yang bertanggungjawab di atas pembaziran dan rasuah wang rakyat dikenakan hukuman. Dengan melaksanakan saranan yang diberikan, pihak kerajaan akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa kerajaan memandang serius perkara ini. Antara saranan tersebut, kami tekankan bahawa laporan Jawatankuasa Khas (JKSTUPKK) harus dinyahklasifikasikan. Kami juga menggesa kerajaan untuk memberikan kemas kini mengenai pelaksanaan saranan yang diberikan kepada masyarakat awam serta menggesa PAC untuk menyemak semua laporan JKSTUPKK,” ulas Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
IDEAS turut menggesa kerajaan untuk mengambil langkah yang serius ke arah melaksanakan pembaharuan terhadap perolehan awam, termasuk dengan memperkenalkan Akta Perolehan Kerajaan (GPA) seperti yang dijanjikan sebagai sebahagian daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP). “Kes LCS ini menunjukkan satu lagi contoh buruk pematuhan dan tadbir urus yang lemah dalam perolehan awam di Malaysia dan penyalahgunaan kaedah rundingan terus. Kita perlu membendung kelaziman salah urus operasi, variasi projek yang tidak terkawal, kurangnya ketepatan masa jadual pembayaran dan kurangnya pengawasan yang dikuatkuasakan dalam sistem perolehan. Peraturan rundingan terus semasa mempunyai beberapa kelemahan, seperti yang dicadangkan oleh kertas cadangan dasar kami. GPA, terutamanya jika digubal berdasarkan perundangan perolehan antarabangsa seperti UNCITRAL Model Law on Public Procurement, akan memberikan mekanisme kebertanggungjawaban yang lebih baik untuk rundingan terus dan perolehan awam secara amnya,” kata Sri Murniati Yusuf, Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS dan juga penulis Kertas Cadangan Dasar IDEAS bertajuk “Improving Direct Negotiation rules in Malaysia: Learning from current practices and international laws”.
“GPA juga akan membantu meningkatkan ketelusan dalam perolehan pertahanan. Malaysia diletakkan dalam Band D di dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) 2020, menunjukkan terdapat risiko rasuah yang tinggi dalam perolehan pertahanan. Skandal LCS ini seharusnya menjadi teguran kepada kita untuk mengambil lebih serius akan usaha pembaharuan sistem perolehan negara,” kata Dr Yeoh.
— TAMAT —
Kertas Cadangan Dasar IDEAS No 68, “Improving Direct Negotiation rules in Malaysia: Learning from current practices and international laws” boleh dimuat turun di sini.
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Alissa Rode, Pengurus, Unit Kewangan Awam
T: +603 2070 8881/8882 | E: alissa@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my