Publications > Media Statements

IDEAS: Kerajaan perlukan strategi menyeluruh untuk kembalikan ekonomi kepada pertumbuhan pada tahun 2021

Kuala Lumpur, 15 Februari 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru kerajaan untuk mengukuhkan strategi pemulihan, memandangkan pengecutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku ke-4 tahun 2020 (Q420). Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan bahawa ekonomi Malaysia mengecut sebanyak 5.6% pada tahun 2020 –  kemerosotan terbesar sejak pengecutan sebanyak 7.4% pada tahun 1998.

Dalam maklum balasnya, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, “Angka KDNK terkini ini tidak mengejutkan tetapi telah menggariskan skala cabaran yang dihadapi oleh ekonomi Malaysia pada tahun 2021. Untuk menghadapi cabaran yang mendatang ini kita menambah baik dalam tiga perkara: pertama, kita perlu akan kejelasan dan ketekalan yang lebih baik dalam melawan wabak ini. Kedua, kita perlu mengambil iktibar dari tahun lalu untuk memberi sokongan yang diperlukan kepada perniagaan dan isi rumah. Ketiga, kita perlu menyediakan satu strategi pemulihan yang mengukuhkan ketahanan ekonomi terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia.”

Untuk menguatkan usaha Malaysia melawan wabak, Yeoh menyeru agar pihak kerajaan dapat memberi penjelasan: “Kerajaan perlu memberi lebih penjelasan untuk tempoh 6 hingga 12 bulan yang akan datang apakah titik data kesihatan awam yang digunakan untuk menentukan sama ada penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat atau lebih longgar. Kerajaan perlu mengguna pakai satu neraca pengurusan wabak, iaitu satu pendekatan berperingkat pada tahap sekatan yang kerajaan tentukan akan dilaksanakan. Kerajaan perlu mempertimbangkan satu Indeks Keparahan Wabak atau Pandemic Severity Index, seperti yang dicadangkan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC), atau satu set petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mengukur keparahan wabak sebagaimana yang telah disarankan oleh Dr. Khor Swee Kheng dari Gabungan Kesihatan Malaysia.”

Dalam usaha memberikan sokongan terhadap isi rumah dan perniagaan ketika wabak, IDEAS menyeru pihak kerajaan supaya mengambil iktibar dari pengalaman pada tahun lepas untuk menambah baik perlindungan sosial dan sokongan kepada perniagaan. Mengulas mengenai sistem perlindungan sosial Malaysia, Yeoh berkata, “Wabak COVID-19 telah menyerlahkan jurang-jurang dalam sistem perlindungan sosial kita yang sebahagian besarnya berasaskan kepada pekerjaan. Kita perlu menambah baik liputan dan kecukupan program-program bantuan sosial supaya dapat memastikan golongan rentan tidak bekerja yang lain  dilindungi secukupnya. Khususnya, kerajaan perlu mengkaji faktor-faktor yang membawa kepada kadar ambilan Skim i-Saraan KWSP dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO yang rendah oleh para pekerja tidak formal serta mencipta insentif yang berpatutan agar mereka menyumbang secara sukarela kepada skim-skim ini.”

Berkenaan sokongan kepada perniagaan, Yeoh menambah, “Kami tahu PKS antara yang terjejas teruk oleh wabak ini, tetapi terdapat beberapa cabaran dalam memastikan sokongan yang mencukupi kepada perniagaan-perniagaan ini, termasuk ketepatan masa bantuan, kurang kesedaran dalam kalangan PKS dan cabaran-cabaran praktikal dalam mencapai bantuan. Jurang-jurang perlaksanaan perlu ditangani untuk memastikan PKS dapat menghadapi kesan berterusan wabak ini.”

Melihat ke hadapan untuk tahun 2021 dan seterusnya, Yeoh berkata, “Kami berharap dan menjangkakan tahun 2021 merupakan tahun kita dapat menewaskan COVID-19 dan ekonomi serta masyarakat kita dapat kembali kepada kebiasaan. Namun, kita juga harus bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan dan ini bererti menangani pelbagai kelemahan struktural yang didedahkan oleh wabak. Satu daripadanya ialah jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar yang memberi kesan kepada banyak isu ekonomi dan sosial. Hasil kajian kami menyokong bahawa pihak kerajaan perlu meluaskan capaian internet supaya meliputi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar demi memastikan keterangkuman digital.”

Yeoh juga menambah bahawa pendigitalan harus menjadi tunjang kepada strategi jangka masa panjang kita untuk memberikan sokongan kepada PKS. Masih banyak antara PKS yang belum mendigitalkan aktiviti perniagaan mereka dan hal ini telah menyebabkan cabaran tambahan dalam situasi wabak. Sebagai tindak balas, kerajaan perlu meluaskan ruang lingkup geran-geran peningkatan supaya termasuk inovasi utiliti, serta pembaharuan TVET dan kursus-kursus peningkatan kemahiran demi menghasilkan para graduan yang bersedia untuk memasuki industri dan meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia. Untuk melengkapi usaha ini, kami juga menyarankan untuk mewujudkan perkongsian antara PKS dan institusi penyelidikan untuk membangunkan satu kajian sektoral yang cergas dan juga sistem pembangunan dan inovasi. Pengkomersilan hasil-hasil kajian akan mencipta pelbagai sumber daya saing PKS yang baharu serta mampan.”

“Tahun 2020 merupakan tahun yang sukar untuk masyarakat dan ekonomi kita. Demi memastikan tahun 2021 menjadi tahun Malaysia kembali kepada pertumbuhan ekonomi, kita perlu mengguna pakai satu strategi yang menyeluruh yang akan menewaskan wabak, menyokong isi rumah dan perniagaan serta meletakkan asas kepada sebuah ekonomi yang lebih berdaya tahan pada masa hadapan. Pihak kerajaan perlu bekerjasama secara erat dengan industri, badan-badan pemikir dan para penyelidik agar dapat memastikan semua sektor mengalami pemulihan ekonomi, dan menggunakan saat penting ini sebagai satu peluang untuk menangani pembaharuan-pembaharuan struktural yang berkemungkinan akan menghalang pelaburan yang akan datang kepada kita.”

— TAMAT —-

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Amir Ridzuan Jamaludin, Penolong Pengurus, Perhubungan Luar

T: +603 2070 8881/8882 E: amir@ideas.org.my

Adli Amirullah, Penyelidik Kanan Ekonomi, Unit Ekonomi dan Perniagaan

T: +603 2070 8881/8882  E: adli@ideas.org.my

2021-02-15T15:37:51+08:00 15th February 2021|Media Statements|Comments Off on IDEAS: Kerajaan perlukan strategi menyeluruh untuk kembalikan ekonomi kepada pertumbuhan pada tahun 2021