Kuala Lumpur, 6 Ogos 2020 – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah memberi gambaran bahawa Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) akan terus kekal menjadi penjaga pintu tunggal bagi import beras. Walaupun BERNAS telah memenuhi tanggungjawab sosialnya, monopoli ini telah menyebabkan kesan negatif yang tidak disengajakan dan terlepas beberapa peluang untuk industri padi dan beras. Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa pihak kerajaan untuk mempunyai satu perancangan yang konkrit dalam usaha meliberalisasikan industri padi dan beras jika ingin melanjutkan konsesi kepada BERNAS.
Mengulas isu ini, pengarang bersama laporan IDEAS, “Keberkesanan Syarikat-Syarikat Perdagangan Negara dalam Mencapai Sekuriti Makanan: Kajian Kes BERNAS di Malaysia dan BULOG di Indonesia”, Prof. Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad dan Dr. Tey Yeong Sheng telah menyatakan bahawa “Keengganan pihak kerajaan untuk merombak industri beras tempatan boleh difahami; meneruskan status quo itu merupakan satu keputusan yang lebih mudah berbanding dengan menghapuskan satu sistem berusia 50 tahun, walaupun terdapat gesaan daripada kerajaan terdahulu dan pemain-pemain industri secara amnya untuk meliberalisasikan sektor tersebut. Tindakan tersebut juga mempunyai beberapa kelebihan, seperti gangguan yang minimum sekaligus kestabilan kepada sistem beras dan tanpa kerumitan penstrukturan semula aktiviti yang boleh menjadi satu tugas yang sukar dan berisiko.
Fatimah dan Tey menyambung, “Namun, keputusan ini mempunyai beberapa implikasi penting. Pelbagai masalah yang melanda industri akan berterusan, jika tidak semakin parah. Kewujudan struktur yang tidak berdaya saing merupakan ketidakadilan, menyebabkan pengeluar-pengeluar kecil sebagai pihak yang rugi dalam rantaian bekalan, disebabkan mereka bergantung kepada subsidi untuk terus kekal dalam industri. Hal ini menerangkan pertumbuhan industri yang perlahan serta pelaburan modal baharu dan kemasukan baru para petani muda yang rendah ke dalam industri kerana prospek yang suram. Ketidakcekapan pasaran seperti kualiti padi dan kadar pengilangan yang rendah, kemajuan teknologi yang terhad, amalan pemasaran tidak beretika seperti pengadukan beras, aktiviti-aktiviti nilai tambah yang terhad, dan pembangunan IKS yang minimum akan berterusan jika pelbagai isu dalam struktur pasaran tidak ditangani.”
Mereka berdua menambah, “Jika pihak kerajaan mengenakan tanggungjawab sosial tambahan kepada BERNAS, BERNAS akan menanggung kos yang lebih tinggi yang mungkin akan dipindahkan kepada para pengeluar atau pengguna pada masa akan datang sama ada harga yang lebih rendah kepada para pengeluar atau harga yang lebih tinggi kepada pengguna.”
Tey berkata, “Saya rasa semua pemegang taruh dalam industri padi dan beras Malaysia perlu mengakui bahawa pembangunan rantaian nilai merupakan tulang belakang kepada transformasi pertanian. Ini bukan semata-mata mengenai sekuriti makanan; hal ini juga mengenai kebajikan para petani dan pengguna selain peningkatan dalam ekosistem perniagaan dan alam sekitar. Jika BERNAS dianggap sebagai ejen perubahan, BERNAS perlu lebih dahulu mengambil langkah mencipta satu pasaran berdaya saing, melalui pemerkasaan usahawan-usahawan tempatan untuk merebut peluang-peluang yang ada dan menjadi sebahagian daripada pembinaan negara. Kerajaan juga perlu memainkan peranan sebagai pemudahcara, termasuklah pemantauan dan penilaian berkala.”
Fatimah berkata, “Memandang ke hadapan, disebabkan satu keputusan telah diambil kini terdapat satu keperluan mendesak untuk menyediakan pelbagai program meningkatkan kapasiti dan keupayaan para pekebun kecil dengan cara membenarkan mereka mengambil bahagian dalam aktiviti pengilangan serta pengagihan input dan mempelbagaikan tanaman. Koperasi dalam kalangan para petani perlu diperkuatkan untuk meningkatkan prospek mobiliti dalam aktiviti perniagaan mereka. Komoditi awam lain seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dipergiatkan untuk meningkatkan kepelbagaian, intensiti tanaman, pengurusan air, mesin-mesin kecil untuk ladang-ladang kecil, amalan lestari, ketepatan pertanian dan sebagainya.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh merumuskan, “Satu rencana yang konkrit untuk meliberalisasi pasaran diperlukan jika konsesi itu dilanjutkan. Tempoh masa lanjutan tersebut perlu dinilai semula kerana terdapat banyak peluang yang terlepas dan kesan-kesan negatif yang tidak disengajakan yang mengiringi monopoli. Untuk jangka masa panjang, mencipta lebih banyak persaingan akan menjana lebih banyak inovasi dalam industri padi dan beras, sekaligus akan meningkatkan sekuriti makanan kebangsaan dan memastikan pengeluaran hasil beras tempatan dapat bersaing di peringkat global.”
Salinan laporan boleh dimuat turun dari sini.
— TAMAT —
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Wan Ya Shin di yashin@ideas.org.my