Publications > Media Statements

IDEAS: Kementerian Kewangan perlu memberikan ketelusan fiskal berikutan pindaan Belanjawan 2021

Kuala Lumpur, 30 November 2020 IDEAS mengalu-alukan penelitian dan pindaan ke atas Belanjawan 2021. Ini selari dengan proses demokrasi. Beberapa pindaan terhadap belanjawan telah dicadangkan oleh ahli Dewan Rakyat. Namun, amat penting untuk setiap pindaan, terutama pindaan yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan pada hari Khamis lepas (26 November 2020), dilakukan secara telus. Khususnya, bagaimanakah perbelanjaan baharu ini akan dibiayai dan apakah impak terhadap hutang dan juga defisit. Malaysia secara beransur-ansur telah menambah baik skor ketelusan belanjawannya, tetapi masih memerlukan penambahbaikan dalam banyak perkara.

Perbahasan peringkat jawatankuasa berlangsung tanpa kejelasan mengenai jumlah akhir dalam Rang Undang-undang Perbekalan. Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh mengulas, “Menteri Kewangan dalam ucapan penggulungan bagi perbahasan peringkat dasar Khamis lepas (26 November 2020) mengumumkan tambahan peruntukan untuk beberapa perkara dalam belanjawan. Antaranya ialah peruntukan untuk e-belia, petugas barisan hadapan, serta nelayan. Berdasarkan ucapannya, jumlah peruntukan tambahan tersebut melebihi RM100 juta. Walaupun pertambahan ini dialu-alukan oleh penerima, Menteri tidak menyatakan dari mana peruntukan ini diambil. Jika peruntukan tambahan untuk e-belia diambil dari perbelanjaan Menteri Belia dan Sukan, jumlah akhir yang diperuntukkan kepada kementerian ini dalam Rang Undang-undang Perbekalan perlu ditambah. Andai peruntukan ini diambil dari dana tambahan COVID-19 sebanyak RM17 bilion, hal ini perlu dijelaskan kepada masyarakat awam.”

Tanpa mengambil kira dari mana sumber dana tambahan ini, IDEAS menyeru Menteri Kewangan untuk memberikan maklumat mengenai perbelanjaan manakah yang akan terkesan oleh peruntukan tambahan ini. “Maklumat ini diperlukan kerana peruntukan tambahan ini akan memberi kesan terhadap tahap defisit serta jumlah hutang yang diperlukan untuk menanggung kekurangan. Komitmen pihak kerajaan untuk menjadi responsif terhadap keperluan rakyat juga perlu merangkumi meluluskan belanjawan dengan telus”, tambah Tricia.

IDEAS pun mengalu-alukan pengumuman dari Kementerian Kewangan mengenai pengurangan peruntukan untuk JASA (J-KOM), tetapi beliau tidak menyatakan jumlah pengurangan. Kami juga mengalu-alukan cadangan beberapa ahli Parlimen untuk meminda peruntukan JASA, termasuk cadangan untuk menguntukkan semula peruntukan ini untuk perbelanjaan yang lebih penting, seperti perbelanjaan bagi Kementerian Kesihatan. Bermula semalam (30 November 2020) sehingga 15 Disember 2020, ahli-ahli Parlimen membahaskan belanjawan pada peringkat jawatankuasa. Dalam peringkat ini, ahli-ahli Parlimen boleh mengemukakan cadangan pengurangan terhadap perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat hanya membenarkan Menteri untuk menguntukkan semula satu peruntukan kepada peruntukan lain. Oleh itu, kami meminta pihak kerajaan untuk menjelaskan jumlah pengurangan ke atas peruntukan JASA dan kemanakan pengurangan ini akan disalurkan. Justeru itu, apabila undian ke atas peruntukan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dibuat nanti, jumlah akhir peruntukan untuk JASA ini mestilah didedahkan.

Akhir sekali, kami berharap pihak kerajaan mengambil serius kepentingan ketelusan fiskal terutama matlamat kerajaan untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal pada tahun 2021. “Saya berharap Kementerian Kewangan akan bekerja dengan erat bersama pemegang taruh luar, termasuk badan pemikir seperti kami, dalam proses merumuskan Akta Tanggungjawab Fiskal ini. Ketelusan fiskal dan belanjawan merupakan perkara yang mustahak untuk dimasukkan dalam mana mana perundangan berkaitan tanggungjawab fiskal”, kata Yeoh.

— Tamat —

Untuk sebarang pertanyaan media, hubungi tricia@ideas.org.my

2020-12-08T16:32:02+08:00 1st December 2020|Media Statements|Comments Off on IDEAS: Kementerian Kewangan perlu memberikan ketelusan fiskal berikutan pindaan Belanjawan 2021