Kuala Lumpur, 27 Mei 2025: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kebimbangan terhadap kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencadangkan bahawa lantikan politik boleh dianggap sebagai ganjaran atas khidmat kepada parti. Naratif sebegini menghantar mesej yang berbahaya bahawa jawatan dalam badan awam boleh diberikan seperti cenderamata politik, bukannya berdasarkan kelayakan dan kecekapan.
Lantikan politik bukanlah satu bentuk imbuhan. Ia adalah jawatan yang memikul amanah awam dan tanggungjawab yang besar. Sama ada individu yang dilantik mempunyai latar belakang politik atau tidak, semua lantikan sebegini mesti berdasarkan merit, integriti dan pengalaman profesional. Hanya melalui proses yang telus dan berasaskan prestasi sahaja kita akan dapat memastikan institusi awam negara dipimpin oleh individu yang mampu berkhidmat untuk rakyat dengan cekap.
Perusahaan milik kerajaan (SOE) wujud untuk melaksanakan dasar negara dan menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat. Ia bukanlah alat untuk mengukuhkan naungan politik. Dengan lebih daripada 1,800 buah SOE di Malaysia, kebanyakannya membawa risiko fiskal yang besar, beberapa institusi yang tidak diurus dengan baik sahaja sudah cukup untuk memberikan kerosakan teruk kepada ekonomi negara. Melantik pengarah yang berkelayakan, beretika dan berpengalaman bukan sekadar amalan baik, ia adalah keperluan ekonomi negara.
“Apapun justifikasinya, kita tidak boleh melazimkan pelantikan jawatan dalam badan awam sebagai hadiah politik. Walaupun terdapat realiti politik yang perlu dihadapi oleh Perdana Menteri, prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik tidak boleh dikompromi. Kekurangan ketelusan dalam lantikan politik akan menghakis kepercayaan terhadap demokrasi, menyuburkan sinisme awam dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa. Inilah sebabnya IDEAS membangunkan Pantau Kuasa, satu alat ketelusan awam yang menjejak lantikan politik merentas lebih daripada 400 entiti. Platform ini merangkumi data daripada lima pentadbiran persekutuan antara tahun 2013 hingga 2024, membolehkan orang ramai mengakses rekod dan trend lantikan secara mudah dan berasaskan data,” kata Aira Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
Laman web Pantau Kuasa (pantaukuasa.com) dibuka kepada pelaporan awam. Kami menggalakkan mana-mana individu untuk melaporkan sebarang lantikan politik sama ada melalui borang maklum balas di laman web ini atau dengan menghantar e-mel ke communications@ideas.org.my. Elemen penyertaan ini membantu memperkukuh pemantauan demokrasi dan kebertanggungjawaban kolektif.
IDEAS menyeru kerajaan untuk meninggalkan budaya naungan politik dan beralih ke arah model tadbir urus yang mementingkan profesionalisme, khidmat awam dan integriti institusi. Demokrasi di Malaysia hanya akan tumbuh subur apabila para pemimpinnya dilantik berdasarkan keupayaan untuk berkhidmat, bukannya hubungan politik mereka.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my