Publications > Media Statements

IDEAS: Halangan terbaharu berkenaan Melaka Gateway menunjukkan keperluan perancangan infrastruktur yang lebih baik

  • Melaka Gateway pernah ditangguhkan sebelum ini dan kini akan dibatalkan
  • Projek ini telah menghadapi beberapa cabaran, termasuk penolakan dari komuniti tempatan dan kebimbangan mengenai ketidakbolehlaksanaan ekonomi
  • Pembatalan projek ini menunjukkan keperluan untuk menambahbaik perancangan projek infrastruktur, untuk memastikan Malaysia beroleh manfaat dari inisiatif Belt and Road dan kini hanya tinggal projek “gajah putih”

Kuala Lumpur, 18 November 2020 Kerajaan negeri Melaka telah membatalkan perjanjian tebus guna tanah untuk Melaka Gateway Development, selepas pihak pemaju gagal menyiapkan projek tersebut. Melaka Gateway merupakan satu projek pembangunan bercampur untuk membina pulau-pulau buatan sebagai memenuhi keperluan komersial dan pelancong, sebagai tambahan kepada satu pelabuhan laut dalam baharu. Pembangunan ini dianggap sebahagian dari Belt and Road Initiative (BRI), bersama satu konsortium perusahaan milik negara China, diketuai oleh PowerChina International, dan syarikat tempatan KAJ Development Sdn. Bhd.

Sebagaimana projek infrastruktur besar lain, pembangunan ini menghadapi beberapa cabaran. Projek ini telah menerima kritikan dari komuniti tempatan yang telah membuat aduan mengenai kesan terhadap kehidupan mereka. Sehingga kini, aktiviti pembinaan telah dihadkan, tetapi kebimbangan telah dibangkitkan mnegenai kesan terhadap alam sekitar. Kebolehlaksanaan ekonomi projek ini juga telah dipersoalkan – terutamanya mengenai permintaan kapasiti tambahan pelabuhan, di kala pelabuhan-pelabuhan Malaysia yang sedia ada, termasuk Pelabuhan Klang yang berdekatan, beroperasi di bawah kapasiti sebenar. Sokongan kerajaan terhadap projek ini juga bercampur-campur. Pembangunan ini pada awalnya disokong oleh kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional tetapi rundingan mengenai lesen pelabuhan bersama kerajaan Pakatan Harapan menjadi tegang, menunjukkan kemungkinan ketidaksinambungan dasar antara dua pentadbiran tersebut. Kerajaan negeri Melaka pada awalnya memberikan pulau-pulau itu status tanah pegangan bebas kepada pemaju tetapi kemudian cuba menukar kepada pegangan pajakan. Kini, disebabkan kegagalan menyiapkan projek tersebut, kerajaan negeri Melaka telah membatalkan perjanjian tebus guna tanah itu.

Isu-isu seperti ini sebahagiannya menunjukkan perancangan projek infrastruktur yang tidak mencukupi. Infrastruktur pada skala ini memerlukan perancangan yang teliti, terutamanya: penilaian impak terhadap alam sekitar dan sosial untuk menjamin sokongan tempatan serta melindungi ekosistem tempatan; dan penilaian kebolehlaksanaan ekonomi dan kewangan untuk memastikan terdapat keperluan yang mendasari infrastruktur baharu dan pelaksana projek mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Melaka Gateway merupakan satu inisiatif yang dipandu oleh pihak swasta, tetapi kerajaan Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk memastikan perancangan infrastruktur diperkukuhkan untuk projek yang dipandu oleh kedua-dua sektor awam dan swasta. Tanpa proses sebegini, projek-projek tersebut berisiko tidak dapat disiapkan.

Mengulas mengenai perkembangan ini, Pengarah Penyelidikan IDEAS Laurence Todd berkata, “Inisiatif Belt and Road  ini berpotensi untuk memberikan manfaat ekonomi kepada Malaysia dan rantau yang lebih luas, melalui infrastruktur yang amat diperlukan. Namun, menyempurnakan infrastruktur berskala besar bukan sesuatu yang mudah dan tanpa perancangan yang rapi akan menghasilkan projek gajah putih. Melaka Gateway kini mungkin menerima nasib sebegini. Kita perlu mengambil teladan dari perkara ini dan memastikan semua projek infrastruktur pada masa hadapan akan melalui penilaian kebolehlaksanaan ekonomi dan kewangan yang menyeluruh dan penilaian impak sosial, yang tersedia untuk diakses oleh masyarakat awam.”

— TAMAT —

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi amir@ideas.org.my

2020-11-18T17:10:36+08:00 18th November 2020|Media Statements|Comments Off on IDEAS: Halangan terbaharu berkenaan Melaka Gateway menunjukkan keperluan perancangan infrastruktur yang lebih baik